Diterbitkan: Jan 24, 2025 8:15 AM
Gerakan mahasiswa sekretariat perhimpunan benci rasuah menyambut baik sokongan sayap Pemuda PAS dan Bersatu terhadap demonstrasi yang akan berlangsung Sabtu 25 Jan ini.
Namun, sekretariat itu menegur parti politik berkenaan supaya jangan menjadi hipokrit dan menunggang populariti himpunan benci rasuah untuk kepentingan mereka.
“Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.
"Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Januari ini. Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang.
Gambar hiasan.
"Kalau anda didapati menunggang himpunan ini, rakyat tidak akan terkial-kial untuk menendang kamu keluar daripada himpunan serta pilihan raya akan datang,” kata mereka pada satu kenyataan semalam.Terdahulu, sayap pemuda PAS dan Bersatu mengesahkan penyertaan mereka dalam “Himpunan Rakyat Benci Rasuah”.
Ketua penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi menggambarkan perhimpunan itu sebagai cerminan hak demokratik rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan," katanya semalam.
Bagaimanapun, sekretariat gerakan mahasiswa itu mengingatkan bagaimana ahli parlimen PAS seperti Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Siti Mastura Muhammad pernah hadir menyokong bekas perdana menteri Najib Razak semasa perbicaraan kes beliau berkaitan isu tambahan diraja.
“Solidariti yang dilakukan ini adalah untuk bersimpati dan menyokong seorang bekas PM yang terpalit isu rasuah melibatkan berbilion ringgit wang rakyat, kononnya beliau ialah mangsa kezaliman,” katanya.
Sekretariat itu juga mengingatkan bagaimana PAS menolak langkah untuk mengisytiharkan harta semasa pentadbiran PH pada 2019 .
"Alasan yang mereka gunakan sangat tidak masuk akal iaitu kerana ‘Islam melarang pengisytiharan harta'.
Gambar fail, pemimpin PAS hadir himpunan solidariti Najib di pekarangan Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
"Rentetan daripada itu, PAS selaku pembangkang tidak pernah mencadangkan solusi antirasuah dan reformasi institusi kepada kerajaan Madani." kata mereka.Sekretariat himpunan itu berkata PAS tidak kompeten untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah kerana terpalit kontroversi dan skandal.
"(Ia) menunjukkan bahawa PAS ini sama sahaja tidak berguna untuk membanteras isu rasuah negara. Mereka sanggup berpura-pura bersih untuk meraih undi rakyat.
"Sebab itu, kami mahu kritik pendirian PAS tentang komitmen mereka terhadap isu antirasuah.
"Kalau mereka pun mempertahankan seorang perasuah, apa yang antirasuah dan bersihnya di situ,” soal sekretariat itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.