Showing posts with label Himpunan Rakyat Benci Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Himpunan Rakyat Benci Rasuah. Show all posts

Saturday, February 1, 2025

Demo antirasuah: AMK bantah polis panggil 13 mahasiswa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 1, 2025 2:05 PM
Pemuda PKR menyatakan bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa memanggil 13 orang individu dalam kalangan mahasiswa yang menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Haziq Azfar berkata tindakan itu adalah tidak wajar memandangkan kerajaan tidak menghalang perhimpunan berkenaan.

“Ini kerana perdana menteri telah pun memberi jaminan kepada orang ramai sebelum perhimpunan itu bahawa kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan berkenaan.

“Walaupun pihak berkuasa bertindak berdasarkan prosedur, keputusan memanggil peserta perhimpunan aman bagi memberi keterangan wajar dinilai semula dan ditarik balik kerana tidak sejajar dengan dasar dan pendekatan kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu pihak polis memanggil 13 pelajar universiti yang terlibat dalam perhimpunan antirasuah pada 25 Januari lalu untuk memberikan keterangan.

Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan itu, Tobey Qi-Sean ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan dia menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan perkara itu.

“Saya menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada polis hari ini sekitar jam 12.30 tengah hari (semalam).

“Senarai 13 nama pelajar telah diberikan dan kami dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini pada pukul 1 tengah hari,” katanya.

Himpunan yang diadakan Sabtu lalu mengumpulkan kira-kira 200 peserta yang berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka di ibu negara.

Perhimpunan itu mendapat perhatian berikutan kebimbangan dibangkitkan penganjur mengenai syarat yang dikenakan oleh pihak polis.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehari sebelum perhimpunan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk perhimpunan itu diteruskan.

Saturday, January 25, 2025

Tak sangka skandal rasuah berlaku dalam pemerintahan Madani, dakwa mahasiswa

ByJanatul Firdaus Yaacob
25/01/2025
KUALA LUMPUR – Himpunan rakyat benci rasuah yang di Dataran Merdeka menuntut tiga tuntutan penting daripada Kerajaan Madani.

Rata-rata peserta himpunan terdiri dalam kalangan mahasiswa melibatkan 50 gerakan mahasiswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) berarak dari Kompleks beli belah Sogo ke Dataran Merdeka dalam anggaran 200 peserta.
Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli, 21, mahasiswa Universiti Islam Antrabangsa (UIA) berkata, antara tuntutan himpunan hari ini ialah menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) dari Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Selain itu, mereka turut menggesa kerajaan mengasingkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar diletakkan di bawah kelolaan Parlimen.

“Kerjaan digesa mengasingkan SPRM daripada kuasa eksekutif dengan meletakkan entiti itu di bawah Parlimen dan seliaan rakyat.

“Tuntutan ketiga ialah menyegerakan penggubalan Akta Pendanaan Politik,” katanya ketika berucap sewaktu himpunan pada Sabtu.

Ujar Zaim lagi, himpunan ini adalah luahan beban kekecewaan rakyat.

“Himpunan ini adalah manifestasi mahasiswa telah memikul kekecewaan, kemarahan dan semua bentuk emosi rakyat di bawah.

“Mahasiswa ketika ini paling cerdas menyuarakan kebimbangan negara.

“Kita juga tidak menduga skandal rasuah berlaku dalam kedaan Kerajaan Madani memerintah.

“Selain itu, kami juga nak tegur Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mereka berdua mengecewakan kita. Sedangkan perjuangan PKR bermula di jalanan, namun mereka menidakkan kita untuk berhimpun,” bidas Zaim.

Mengulas lanjut, Zaim memaklumkan memorandum tuntutan itu akan dimajukan ke Putrajaya dalam tempoh terdekat ini.

Friday, January 24, 2025

Jangan bawa senjata tajam, anak bawah umur ke himpunan esok – Saifuddin

kosmo online
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
24 Januari 2025, 6:47 pm
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu IPD Jeli, Jeli, hari ini.
JELI – Peserta yang menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur diberi amaran agar tidak membawa senjata tajam ke perhimpunan itu, esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, pihak yang terlibat juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang berada di bawah umur ketika berhimpun.

Menurutnya, kerajaan menghormati hak rakyat terhadap kebebasan berhimpun yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Polis akan menjadi pemudah cara kepada himpunan tersebut selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tetapi, penganjur dan peserta perlu mematuhi peraturan termasuk tidak membawa senjata tajam atau anak di bawah umur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana himpunan jika itu bertujuan untuk melawan atau membanteras aktiviti rasuah di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengesahkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual esok telah diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa tempat atau lokasi himpunan yang tidak dibenarkan untuk berhimpun. 

KOSMO! ONLINE

'Pemuda PAS, Bersatu jangan tunggang demo atau kami tendang'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 8:15 AM
Gerakan mahasiswa sekretariat perhimpunan benci rasuah menyambut baik sokongan sayap Pemuda PAS dan Bersatu terhadap demonstrasi yang akan berlangsung Sabtu 25 Jan ini.

Namun, sekretariat itu menegur parti politik berkenaan supaya jangan menjadi hipokrit dan menunggang populariti himpunan benci rasuah untuk kepentingan mereka.

“Pesanan kami kepada Pemuda PAS dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta himpunan ini kerana ini merupakan himpunan untuk semua warga tanpa kira latar belakang parti atau ideologi.

"Tapi kami memberi amaran supaya jangan membawa logo, slogan, nama, dan imej parti ketika menyertai himpunan 25 Januari ini. Himpunan ini sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang.
Gambar hiasan.
"Kalau anda didapati menunggang himpunan ini, rakyat tidak akan terkial-kial untuk menendang kamu keluar daripada himpunan serta pilihan raya akan datang,” kata mereka pada satu kenyataan semalam.

Terdahulu, sayap pemuda PAS dan Bersatu mengesahkan penyertaan mereka dalam “Himpunan Rakyat Benci Rasuah”.

Ketua penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi menggambarkan perhimpunan itu sebagai cerminan hak demokratik rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan," katanya semalam.
Bagaimanapun, sekretariat gerakan mahasiswa itu mengingatkan bagaimana ahli parlimen PAS seperti Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Siti Mastura Muhammad pernah hadir menyokong bekas perdana menteri Najib Razak semasa perbicaraan kes beliau berkaitan isu tambahan diraja.

“Solidariti yang dilakukan ini adalah untuk bersimpati dan menyokong seorang bekas PM yang terpalit isu rasuah melibatkan berbilion ringgit wang rakyat, kononnya beliau ialah mangsa kezaliman,” katanya.

Sekretariat itu juga mengingatkan bagaimana PAS menolak langkah untuk mengisytiharkan harta semasa pentadbiran PH pada 2019 .

"Alasan yang mereka gunakan sangat tidak masuk akal iaitu kerana ‘Islam melarang pengisytiharan harta'.
Gambar fail, pemimpin PAS hadir himpunan solidariti Najib di pekarangan Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
"Rentetan daripada itu, PAS selaku pembangkang tidak pernah mencadangkan solusi antirasuah dan reformasi institusi kepada kerajaan Madani." kata mereka.

Sekretariat himpunan itu berkata PAS tidak kompeten untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah kerana terpalit kontroversi dan skandal.

"(Ia) menunjukkan bahawa PAS ini sama sahaja tidak berguna untuk membanteras isu rasuah negara. Mereka sanggup berpura-pura bersih untuk meraih undi rakyat.

"Sebab itu, kami mahu kritik pendirian PAS tentang komitmen mereka terhadap isu antirasuah.

"Kalau mereka pun mempertahankan seorang perasuah, apa yang antirasuah dan bersihnya di situ,” soal sekretariat itu.

Thursday, January 23, 2025

Pemuda Pas sertai demo antirasuah, tuntut kerajaan bersikap matang

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
23/01/2025
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyatakan komitmen untuk turut serta sebagai tanda sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu, 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur.

Perhimpunan anjuran Bersih dan Suaram itu dianggap satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Nadzir Helmi menuntut agar kerajaan bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah.

Selain itu katanya, Pemuda Pas juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari 2025 sebagai tanda solidariti menolak rasuah dan menuntut pentadbiran yang bersih serta telus.

“Pemuda Pas menyatakan komitmen untuk turut serta sebagai tanda sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu, 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur. Himpunan ini merupakan satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah antara ‘tiang seri’ demokrasi serta komponen utama proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan.

“Himpunan Sabtu ini yang melibatkan sokongan daripada pembangkang dan rakyat adalah cerminan sifat responsif dan konsruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.

“Hal ini selari dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang telah beberapa kali menyatakan pendirian bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang kritikan dan cadangan untuk kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Nadzir lagi, himpunan ini juga bukan sekadar hak demokratik tetapi juga salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-