Sunday, February 2, 2025

BN positif mampu rampas kerusi 'Tier II' dalam PRU16

bharian.com.my
Oleh Muhammad Yusri Muzamir 
yusri.muzamir@bh.com.my
Februari 2, 2025 @ 12:01pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui media selepas sesi Podcast Utama Buletin TV3 Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis untuk menawan beberapa kerusi Parlimen yang disenaraikan sebagai Kategori 'Tier II' pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ia membabitkan kerusi yang gagal dimenangi pihaknya pada PRU15, namun gabungan itu berada di kedudukan kedua selepas parti yang menawan kawasan berkenaan.

"Saya yakin kita boleh mencakupi kerusi dalam kategori Tier II. Kerusi yang telah dan sedia dimenangi adalah Tier I.

"(Kerusi dalam kategori) Tier II, kita kalah tetapi kedudukan kita berada di tempat kedua, ini insya-Allah kita akan berunding dengan parti lain untuk tawan semula," katanya menerusi rakaman audio siar Podcast Utama siaran Buletin Utama TV3, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah atau memperincikan kerusi mana tersenarai dalam kategori Tier II itu.

Pada PRU15, BN memenangi 30 kerusi Parlimen iaitu 26 melalui UMNO, dua melalui MCA dan masing-masing satu melalui MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pemimpin serta ahli parti berkenaan berada pada tahap lebih kukuh, terutama ketika menuju PRU16.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada sambutan ulang tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - NSTP/Asyraf Hamzah
"(Kerjasama dan perpaduan) wujud dan lebih kukuh sekarang ini. Saya sangat yakin kalau soal perpaduan ini diutamakan dan menjadi tajuk utama dalam mentadbir organisasi politik seperti UMNO.

"Malah, UMNO terkenal dengan susunan jentera parti untuk pilihan raya. Kita bukan hanya mengadakan kursus tetapi 'practice makes perfect' (latihan menjadikan kesempurnaan), terutama GOT (menggerakkan pengundi keluar mengundi) boleh dilakukan," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, sekolah patriotik UMNO yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda untuk menerajui parti itu pada masa hadapan.

"Ini (sekolah patriotik UMNO) untuk mencungkil bakat muda dalam kalangan generasi X dan Y, terutama generasi Y untuk bersama (UMNO).

"Kita mempunyai beberapa modul bagi menggilap bakat kepemimpinan mereka untuk mengambil alih (kepemimpinan UMNO) suatu ketika nanti. Kita mengadakan program susun lapis dan lapisan kedua dan ketiga perlu disediakan," katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-