Sunday, February 2, 2025

Hassan Karim persoal dua jawatan tertinggi PKR tak dicabar

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
Februari 2, 2025 @ 11:34am
Dari kiri, Rafizi Ramli, Hassan Abdul Karim dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.

Hassan yang juga pemimpin PKR Johor berkata PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.

Lebih menimbulkan persoalan kepada beliau apabila jawatan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.

Tegasnya, beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.

"Pucuk pimpinan PKR perlu yakin atas kebijaksanaan ahli parti. Jika mereka menilai jawatan presiden sekarang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak dicabar, jadi kita terimalah itu hakikat politik sebenar mengenai kekuatan dan pengaruh Anwar sebagai presiden parti.

"Bagaimanapun, mengapa jawatan nombor dua juga tidak wajar dicabar? Ramai pemimpin kanan layak mencabar Rafizi.

"Mengapa perlu dihalang? Biarkan seribu kuntum bunga berkembang di halaman PKR.

"Jangan disekat pertandingan jawatan nombor dua. Kalau nak lawan presiden pun OK, silakan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, berkata cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

Dalam pemilihan PKR pada 2022, Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Rafizi menang jawatan timbalan presiden selepas menewaskan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hassan juga menggesa supaya tidak ada seruan, arahan atau usul secara langsung atau tidak langsung, yang tersirat atau tersurat, bertujuan supaya dua jawatan tertinggi itu tidak ditandingi atau dicabar.

"Tidak perlu Setiausaha Politik Perdana Menteri menzahirkan penyataan bahawa dua jawatan itu tidak dicabar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-