Thursday, February 27, 2025

Caj kesesakan boleh kurangkan kesesakan lalu lintas di KL, kata menteri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 27, 2025 12:08 PM
PARLIMEN l Kerajaan percaya caj kesesakan boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur sebanyak 20 peratus dan menjimatkan sehingga berbilion-bilion ringgit kerugian akibat masalah itu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan negara mengalami kerugian RM20 bilion akibat kesesakan lalu lintas.
“Ini bermakna, dianggarkan bagi setiap 1 peratus kesesakan yang berjaya dikurangkan, terutamanya di Central Business District (CBD) – dengan izin – seperti Bukit Bintang, Lembah Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju, kerajaan dapat mengurangkan kerugian negara sebanyak RM200 juta,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Zaliha menjawab soalan Azman Nasrudin (Perikatan Nasional-Padang Serai).

Katanya, kerajaan telah mengenal pasti tiga bandar utama yang berpotensi untuk melaksanakan caj kesesakan, dengan dua lagi adalah George Town di Pulau Pinang dan Johor Bahru di Johor.

Dr Zaliha berkata, berdasarkan kajian awal, beberapa mekanisme pelaksanaan telah digunakan di bandar-bandar antarabangsa turut dipertimbangkan.
Antaranya, sistem di New York yang mengenakan caj berdasarkan pembacaan nombor plat kenderaan secara automatik dan sistem di Singapura, yang mana caj kesesakan dikenakan secara elektronik mengikut zon dan waktu tertentu.

Turut dikaji adalah sistem di London yang mengenakan caj tetap ke atas kenderaan yang memasuki kawasan bandar tertentu pada waktu puncak; dan sistem di Jakarta dan Beijing yang penggunaan kenderaan persendirian dihadkan berdasarkan nombor plat ganjil atau genap pada hari-hari tertentu.

Kata Zaliha, caj kesesakan telah terbukti mengurangkan kesesakan lalu lintas antara 20 peratus dan 30 peratus di London dan Stockholm, manakala di Singapura dan New York antara 10 peratus dan 15 peratus.

“Jika caj kesesakan dilaksanakan di Kuala Lumpur, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar 20 peratus.

“Supaya berjaya, kadar caj ini tidak boleh terlalu rendah, dan hendaklah ditetapkan kepada suatu nilai yang akan menyurutkan – atau dengan izin – discouraged pengguna daripada melalui jalan tersebut.

“Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj tersebut menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya.

Zaliha berkata, Kuala Lumpur adalah sebuah bandaraya yang mencatatkan purata kenderaan keluar masuk sebanyak 1.5 juta sehari dan purata 24 jam, dan dalam satu-satu masa, terdapat enam juta kenderaan di dalam ibu kota.

Dia juga mengajui pengguna jalan raya buat masa ini lebih memilih untuk membawa kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam disebabkan kelemahan dalam first mile – last mile.

“Dalam hal ini, saya senada dengan Menteri Pengangkutan bahawa penguatkuasaan caj kesesakan tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandaraya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian caj kesesakan oleh Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan MGTC (Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-