harakahdaily.net
February 18, 2025Normalisasi lelaki berpakaian, berperwatakan wanita
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkembangan golongan sebegini harus ditegah sebelum semakin merebak dan meruncing pada masa akan datang.
“Pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) harus memanggil dan menasihati segelintir pempengaruh lelaki yang berpakaian dan berperwatakan wanita kerana ia adalah satu kesalahan yang besar di sisi agama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia juga suatu kesalahan yang jelas dalam beberapa enakmen negeri termasuklah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
Maka katanya, sewajarnya suatu tindakan yang tegas diambil bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang pada masa akan datang sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.
“Nabi SAW pernah memberikan peringatan tegas yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA; “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki” (Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Ibn Majah),” katanya memetik hadis Nabi SAW.
Sebelum ini menurutnya, negara pernah dikejutkan dengan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita menunaikan umrah di Tanah Suci.
Malangnya beliau berkata, kelompok sebegini terus berleluasa melihatkan ketiadaan ketegasan pihak berkuasa untuk menangani isu ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat juga tegasnya, menolak pandangan sesetengah pihak bahawa isu itu harus dihormati di atas prinsip hak asasi manusia.
“Sayugia diingatkan bahawa hak asasi bagi seseorang manusia ditegakkan hanya dengan patuhnya mereka dengan ajaran agama Islam. Kalau nafsu yang memimpin hak asasi, maka binatang pun akan terkalahkan!” peringatnya.
– HARAKAHDAILY 18/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.