Diterbitkan: Feb 18, 2025 8:30 AM
Najwan, yang juga pemimpin PKR, menyelar tindakan stesen swasta itu yang membenarkan penampilan lelaki berpakaian feminin pada acara tersebut.
"Biadab dan memualkan! Saya nasihatkan @tv3malaysia jangan jadi enabler golongan mutasyabbih ini. Apakah TV3 menerusi #AJL39 cuba untuk menormalisasikan budaya LGBT di kalangan masyarakat?
"Tak sewajarnya insiden sebegini berlaku dalam majlis anugerah seni yang secara tradisi sejak 40 tahun lalu dianjurkan untuk meraikan karya terbaik di kalangan komposer dan penulis lirik tanah air," kata Najwan dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial semalam.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim, turut menyuarakan kebimbangan terhadap gaya pemakaian ala busana wanita yang dikenakan segelintir penonton lelaki pada acara itu.
"Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat, di mana pemakaian lelaki dan wanita mempunyai perbezaan yang jelas.
“Fesyen yang menampilkan lelaki berpakaian seperti wanita dilihat bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk prinsip dalam Islam dan budaya Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dia menyifatkan mereka yang memilih berpakaian sedemikian bukan kerana gaya atau ekspresi seni, tetapi untuk mencipta kontroversi dan menarik perhatian media serta netizen.
Menurutnya, ini menjadikan AJL lebih kepada pentas "mencari publisiti" daripada acara penghargaan muzik yang sebenar.
“AJL seharusnya menjadi medan untuk meraikan muzik dan bakat artis, tetapi malangnya perhatian kini lebih tertumpu kepada pakaian aneh dan ‘songsang’ yang digayakan.
“Pemakaian seperti ini bukan sahaja menenggelamkan pencapaian artis dan lagu yang bertanding, malah menjadikan AJL sebagai acara fesyen yang penuh kontroversi,” ujarnya.
Justeru dia memberi amaran jika trend ini dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai yang tidak sejajar dengan budaya Malaysia.
“Saya dengan ini mendesak agar AJL menetapkan kod pakaian yang lebih jelas pada masa akan datang agar tidak mencetuskan kontroversi yang boleh mencemarkan imej acara berprestij tersebut.
"Penganjur hendaklah memastikan bahawa pakaian yang dipakai oleh selebriti mahupun peminat atau penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan,” katanya.
Selain itu dia turut mencadangkan agar Majlis Agama Islam memainkan peranan dalam menangani isu ini melalui peruntukan enakmen atau akta syariah serta mekanisme fatwa sedia ada.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.