Diterbitkan: Feb 18, 2025 11:02 AM
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mahu Kementerian Dalam Negeri menyemak dan mengharamkan penjualan buku autobiografi karangan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh secara terbuka di kedai buku kepada orang Islam.
Dia juga telah memfailkan laporan polis menggesa Yeoh disiasat atas dakwaan menyebarkan agama Kristian.
"Saya membuat laporan polis ini bagi membolehkan pihak polis menyiasat mengenai gerakan evangelist melibatkan Yeoh yang merupakan sesuatu yang bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan merupakan satu kesalahan untuk buku berkenaan (Becoming Hannah) dijual secara terbuka dan turut boleh dibaca oleh umat Islam," katanya dalam laporan polis itu.
Laporan itu termasuk petikan daripada autobiografi Yeoh yang menyentuh tentang kepercayaan Kristiannya dan bagaimana berada dalam politik telah membolehkannya berkhidmat mengikut kehendak Tuhan.

Laporan polis Razman dan kenyataan susulannya menggesa pengharaman buku dibuat semalam.
Ini sebagai tindak balas kepada Yeoh yang menghantar surat tuntutan terhadap Razman kerana mendakwa dia mempunyai agenda menyebarkan agama Kristian dalam ucapan pada akhir Januari.
Pemimpin PAS Perak itu menegaskan sekali lagi bahawa dia sedang menghadapi tindakan undang-undang berhubung dakwaan Yeoh menyebarkan agama Kristian dan bukan kerana secara salah mendakwa pemimpin DAP itu adalah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.
Selain menggesa siasatan terhadap Yeoh dan bukunya diharamkan, Razman juga mendesaknya meletakkan jawatan dalam kabinetnya.
"Saya juga menyeru kepada semua umat Islam di negara ini yang mencintai agama Islam dan keharmonian agar dapat mengesa Yeoh meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan," kata Razman.
Lebih 100 laporan polis dibuat terhadap buku autobiografi Yeoh pada awal Januari.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.