Monday, February 24, 2025

Lebih RM100 juta disita SPRM daripada rumah bekas pegawai kanan Ismail Sabri

bharian.com.my
Oleh Jassmine Shadiqe 
Februari 24, 2025 
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST), berkata wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.

Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberaa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.

Sumber itu berkata, siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan terhadap dana yang dirampas.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat orang yang berkhidmat sebagai pegawai kanan Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan rasuah dan pengubahan wang haram.

Walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar wang yang terlibat, Azam berkata, ia adalah "jumlah yang besar".

Ismail Sabri dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Damansara selepas rebah di rumah pada pagi Sabtu.

Setiausaha Akhbarnya, Azran Fitri Rahim, berkata kejadian itu berlaku disebabkan tekanan darah tinggi dan beliau kini dalam keadaan stabil. 

- NST

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-