Diterbitkan: Feb 20, 2025 10:04 AM
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membidas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah satu rancangan halus untuk mengusir komuniti tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menuduh PAS ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’.
“Hakikatnya, URA diwujudkan untuk memperbaharui kawasan perumahan lama yang usang, tidak selamat dan berisiko tinggi untuk didiami.
“Banyak bangunan mengalami masalah struktur, sistem elektrik dan saliran uzur, selain ketiadaan fasiliti moden. Jika PAS mahu mempertahankan rumah hampir roboh dan membiarkan rakyat hidup dalam keadaan berbahaya, itu pilihan mereka.
“Tetapi kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat terus terperangkap dalam kemiskinan bandar hanya kerana takut kepada perubahan,” katanya.
Lim menafikan dakwaan bahawa URA ialah “kaedah halus” untuk mengusir orang Melayu dan India dari bandar, dengan menjelaskan bahawa pemilik asal—tanpa mengira kaum—akan diberi keutamaan.
“Mereka tidak diusir, malah ditawarkan kediaman lebih selesa di lokasi yang sama. Jadi, dari mana datangnya dakwaan bahawa URA adalah “kaedah halus” untuk menghalau orang Melayu dan India keluar dari bandar? Atau mungkinkah PAS sebenarnya takut rakyat memahami fakta sebenar dan tidak lagi termakan propaganda mereka?”soalnya.

“Logik apa yang PAS guna? Bagaimana mahu mendapatkan persetujuan penuh jika ada pemilik yang sudah meninggal dunia, hilang, atau terbabit dalam pertikaian hak milik? Kalau ikut logik PAS, sampai kiamat pun pembangunan tidak boleh dijalankan. Hanya di Korea Utara setiap keputusan diterima bulat-bulat tanpa sebarang bantahan,” katanya.
Justeru Lim menggesa PAS berhenti mengelirukan orang ramai dengan teori konspirasi.
“PAS peru berhenti memperbodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal. URA bukan rancangan jahat, tetapi satu usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Akta Pembaharuan Bandar— yang masih belum dibentangkan di Parlimen— dikatakan merupakan usaha untuk membangunkan semula perumahan lama di kawasan bandar.
Salah satu perkara yang dicadangkan ialah untuk mengatasi halangan syarat 100 peratus persetujuan pemilik bagi pembangunan semula perumahan strata lama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan mencadangkan agar nilai ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus bagi bangunan berusia bawah 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus bagi hartanah yang tidak selamat atau terbengkalai.
Pada Okt lalu, Nga, sebagai menjawab kritikan PAS mengenai rang undang-undang itu, menafikan bahawa ia akan meminggirkan mana-mana kaum.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, mendesak kerajaan menamakan URA tersebut sebagai akta "rampas rumah" kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
Semalam, Nga menafikan dakwaan Syed Saddiq dengan mengatakan bekas menteri itu telah membuat tuduhan jahat yang bersifat fitnah di Dewan Rakyat.
Dia memberi jaminan akta yang akan dibentangkan itu melindungi pemilikan asal hartanah dan tiada pihak akan dapat merampasnya secara paksa, selain menolak kebimbangan pengkritik bahawa ia meminggirkan kaum tertentu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.