Showing posts with label URA. Show all posts
Showing posts with label URA. Show all posts

Thursday, February 20, 2025

PAS perlu henti bodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal - MP DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 20, 2025 10:04 AM
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membidas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah satu rancangan halus untuk mengusir komuniti tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menuduh PAS ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’.

“Hakikatnya, URA diwujudkan untuk memperbaharui kawasan perumahan lama yang usang, tidak selamat dan berisiko tinggi untuk didiami.

“Banyak bangunan mengalami masalah struktur, sistem elektrik dan saliran uzur, selain ketiadaan fasiliti moden. Jika PAS mahu mempertahankan rumah hampir roboh dan membiarkan rakyat hidup dalam keadaan berbahaya, itu pilihan mereka.

“Tetapi kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat terus terperangkap dalam kemiskinan bandar hanya kerana takut kepada perubahan,” katanya.

Lim menafikan dakwaan bahawa URA ialah “kaedah halus” untuk mengusir orang Melayu dan India dari bandar, dengan menjelaskan bahawa pemilik asal—tanpa mengira kaum—akan diberi keutamaan.

“Mereka tidak diusir, malah ditawarkan kediaman lebih selesa di lokasi yang sama. Jadi, dari mana datangnya dakwaan bahawa URA adalah “kaedah halus” untuk menghalau orang Melayu dan India keluar dari bandar? Atau mungkinkah PAS sebenarnya takut rakyat memahami fakta sebenar dan tidak lagi termakan propaganda mereka?”soalnya.
Dalam pada itu, Lim turut mengecam kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa undang-undang sedia ada, yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik sebelum pembangunan semula boleh dijalankan, adalah memadai.

“Logik apa yang PAS guna? Bagaimana mahu mendapatkan persetujuan penuh jika ada pemilik yang sudah meninggal dunia, hilang, atau terbabit dalam pertikaian hak milik? Kalau ikut logik PAS, sampai kiamat pun pembangunan tidak boleh dijalankan. Hanya di Korea Utara setiap keputusan diterima bulat-bulat tanpa sebarang bantahan,” katanya.

Justeru Lim menggesa PAS berhenti mengelirukan orang ramai dengan teori konspirasi.

“PAS peru berhenti memperbodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal. URA bukan rancangan jahat, tetapi satu usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Akta Pembaharuan Bandar— yang masih belum dibentangkan di Parlimen— dikatakan merupakan usaha untuk membangunkan semula perumahan lama di kawasan bandar.

Salah satu perkara yang dicadangkan ialah untuk mengatasi halangan syarat 100 peratus persetujuan pemilik bagi pembangunan semula perumahan strata lama.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan mencadangkan agar nilai ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus bagi bangunan berusia bawah 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus bagi hartanah yang tidak selamat atau terbengkalai.

Pada Okt lalu, Nga, sebagai menjawab kritikan PAS mengenai rang undang-undang itu, menafikan bahawa ia akan meminggirkan mana-mana kaum.
Namun, ahli parlimen pembangkang mendakwa akta itu adalah perancangan secara halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, mendesak kerajaan menamakan URA tersebut sebagai akta "rampas rumah" kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Semalam, Nga menafikan dakwaan Syed Saddiq dengan mengatakan bekas menteri itu telah membuat tuduhan jahat yang bersifat fitnah di Dewan Rakyat.

Dia memberi jaminan akta yang akan dibentangkan itu melindungi pemilikan asal hartanah dan tiada pihak akan dapat merampasnya secara paksa, selain menolak kebimbangan pengkritik bahawa ia meminggirkan kaum tertentu.

Wednesday, February 19, 2025

Ahli Parlimen PN bawa suara rakyat bantah URA

harakahdaily.net
February 19, 2025

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin mewakili Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menerima serahan memorandum membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Menurut beliau, URA yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan itu akan menyebabkan beberapa kumpulan yang terlibat ‘gusar’ dengan undang-undang di dalam akta tersebut.

“Dalam mana kita mengekalkan hidup kita yang aman dan harmoni, segala undang-undang itu sepatutnya mengambil kira kedudukan semua kaum. Supaya kita dapat memberikan keadilan dalam negara kita.

“Sekiranya akta ini boleh memberikan keharmonian kepada semua kaum yang ada dalam negara ini, akan kita bantah sebaik mungkin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut di pintu pagar masuk Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima serahan memorandum yang disampaikan oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mewakili 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam lain.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Hamzah dalam pada itu memberikan jaminan untuk turut berjuang bagi mengemukakan bantahan terhadap akta teesebut.

“Saya dan semua kawan-kawan daripada Perikatan Nasional bersama-sama untuk berjuang dengan saudara-saudara. Di semua peringkat sama ada mereka yang profesional, bertanggungjawab untuk memikirkan akta mana yang lebih baik.

“Maka percayalah kami akan berada di sini bersama saudara-saudara semua,” katanya.

 HARAKAHDAILY 19/2/2025

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-