Haspaizi Zain & Hariz Mohd & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 20, 2025
Pembangkang mempersoalkan kegagalan kerajaan untuk menyediakan buku rang undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) meskipun pembentangannya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) berkata, perkara itu bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah membuktikan RUU tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan mempunyai muslihat tertentu.
"Sehingga hari ini blue bill RUU masih belum ada di atas meja ahli parlimen, kita ada lagi lapan hari.
"Kita tak fahamlah kenapa begitu lewat. Sepatutnyaa RUU dapat (dibentang) di awal persidangan, sebahagian daripada RUU sampai ke hari ini masih lagi belum (dapat).
"Jadi, kesimpulannya RUU ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan juga mempunyai muslihat yang tertentu," katanya pada sidang media bersama Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin di parlimen, hari ini.
Semalam ahli parlimen pembangkang menyifatkan cadangan akta itu sebagai taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu dan kaum India miskin daripada menetap di kawasan bandar.
Ini kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula kawasan perumahan strata.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan mencadangkan agar ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus untuk bangunan di bawah umur 30 tahun, 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus untuk hartanah tidak selamat atau terbiar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan undang-undang itu sebagai “akta rampas rumah”.
Nga bagaimanapun membidas kenyataan tersebut yang didakwanya berniat jahat serta menafikan URA menindas kaum tertentu.
‘Macam budak sekolah’
Dalam pada itu Hamzah Zainuddin (PN-Larut) menyifatkan parlimen tidak memiliki kebebasan untuk bersuara apabila sering dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat daripada membangkitkan sesuatu isu ataupun pertanyaan.

"Bila timbulnya isu-isu gag order dan sebagainya, kita kadang-kadang merasakan Dewan (Rakyat) ini patut bebas kerana kita law maker, hari ni kita bukan lagi jadi law maker, kita jadi budak sekolah.
"Yang ada bukan monitor lagi, yang ada pengetua yang begitu strict, jangan cakap, duduk dalam kelas, jangan tanya. Cikgu hanya ada berapa minit sahaja, kau tengok sahaja, kalau tak reti tak faham, tengok sahaja," katanya.
Hamzah turut menyentuh isu ketiadaan beras tempatan di pasaran yang didakwa berpunca daripada kartel dan masih gagal ditangani kerajaan sehingga kini.
Katanya, dia membuat lawatan ke sebuah pasar raya di Cheras baru-baru ini dan mendapati tiada langsung beras tempatan.
Sebaliiknya, katanya, hanya beras import dijual dengan harga RM48 dan diberi diskaun sebanyak RM15.
"Cuba kita fikir logik, kalau orang buat diskaun sampai RM15, mesti ada kartel...ini kerajaan kena sedar.
"Pengurus (pasar raya) beritahu hanya pada hari minggu beras dijual pada harga RM2.6 sekilogram pada Jualan Rahmah...itu 300 kampit sahaja," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.