February 22, 2025
Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA)
Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin berkata, penolakan terhadap akta itu bukan bermaksud menolak pembangunan, sebaliknya kerana URA memberi ruang kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih tanah serta kediaman rakyat atas nama pembangunan.
“Namun, realitinya selepas projek siap, harga rumah meningkat mendadak dan penduduk asal, terutamanya golongan B40 Melayu dan Bumiputera, tidak mampu untuk kembali ke kawasan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kami menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang membantah pelaksanaan akta ini kerana ia memberi kuasa kepada pemaju untuk mengambil tanah rakyat tanpa jaminan bahawa pemilik asal akan terus memiliki hak ke atas kediaman mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun kerajaan menyatakan pemilik asal akan diberikan unit baharu, tiada jaminan bertulis bahawa mereka tidak akan dikenakan bayaran tambahan, selain tiada kawalan terhadap kenaikan harga rumah selepas pembangunan.
“Kos penyelenggaraan dan cukai hartanah yang lebih tinggi akan membebankan pemilik asal. Akhirnya, mereka yang tidak mampu akan terpaksa menjual rumah mereka kepada golongan kaya, menyebabkan peminggiran semakin ketara,” katanya.
Abdullah menolak dakwaan bahawa kebimbangan terhadap URA sekadar mitos perkauman atau tuduhan politik, sebaliknya melihatnya sebagai satu peminggiran terancang terhadap rakyat Melayu dan Bumiputera melalui mekanisme undang-undang yang kelihatan sah tetapi berat sebelah.
“Jika kerajaan benar-benar mahu menjaga kepentingan rakyat, mengapa masih tiada jaminan konkrit bahawa pemilik asal tidak akan kehilangan hak milik akibat kenaikan harga rumah dan kos penyelenggaraan?” soalnya.
Justeru, PAS Johor katanya menuntut kerajaan menolak URA yang memberi kelebihan kepada pemaju dan memberi tekanan kepada rakyat Melayu dan Bumiputera, selain mendedahkan mekanisme pelaksanaan pembangunan semula secara telus serta memastikan pemilik asal diberikan unit baharu tanpa bayaran tambahan yang membebankan.
Mereka turut menggesa kerajaan mengawal kenaikan harga rumah bagi mengelakkan spekulasi hartanah yang mengakibatkan peminggiran penduduk asal serta menjamin skim bantuan dan subsidi bagi golongan B40 yang terkesan akibat pembangunan semula.
“Kami menyokong pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, tetapi menolak sebarang bentuk undang-undang yang menindas, terutama terhadap Melayu dan Bumiputera. Jika URA dibenarkan, ia hanya akan menjadi alat kepada pemaju dan pelabur untuk mengaut keuntungan atas tanah yang asalnya milik rakyat biasa,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendirian PAS Pusat dalam membantah URA kerana ia tidak memihak kepada kepentingan rakyat, sebaliknya memberi kelebihan besar kepada pemaju dan pelabur hartanah.
“Akta ini membuka ruang kepada peminggiran dan ketidakseimbangan pemilikan hartanah di bandar, yang akhirnya menekan rakyat Melayu dan Bumiputera,” katanya.
– HARAKAHDAILY 22/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.