Saturday, February 15, 2025

PeSAWAH dakwa kos perkhidmatan naik cecah 55 peratus

bharian.com.my
Oleh Saadiah Ismail 
saadiah_ismail@bh.com.my
- Februari 15, 2025 @ 2:29pm
Foto hiasan - FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa masih menanggung kerugian kerana menanggung kos perkhidmatan sehingga 55 peratus, walaupun harga lantai belian padi diselaras.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata ia susulan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran iaitu peningkatan RM1.20.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kumpulan petani menanggung kos kejenteraan, pembajakan, penuaian mesin padi yang disifatkan naik terlalu mendadak.

Katanya, harga penyedia perkhidmatan berbeza di setiap kawasan dan tidak menentu.

Sebagai contoh, katanya, harga sewa mesin padi di Kedah bagi satu relung sebelum ini ialah RM120 dan kini dinaikkan mencecah RM230.

"Ini tidak dikawal kerajaan dan menyebabkan petani terpaksa menanggung kos perkhidmatan keseluruhan.

"Tujuh bulan berlalu, tiada tindakan daripada kerajaan untuk memberi 'fleet card' atau insentif kesan daripada pengumuman itu," katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa esok.

Seiring penyelarasan baharu harga lantai padi itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran kekal RM2.60 sekilogram.

Susulan pengekalan harga itu, kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.

Abdul Rashid berkata, sekiranya kerajaan mampu memberi subsidi RM150 juta kepada pengilang, tiada masalah untuk subsidi kepada petani ditambah.

"Tanaman padi ini di bawah Akta 522 yang dikawal rapi yang mana harga padi dan beras dikawal. Bila kedua-duanya dikawal, kerajaan perlu berikan subsidi kepada petani.

"Bila kerajaan nak kekalkan harga beras murah, kena tambah subsidi sebab kos meningkat.

"Bagi mengelak masalah ini berterusan, kami harap kerajaan menghasilkan model baharu untuk industri padi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-