Showing posts with label Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Show all posts
Showing posts with label Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Show all posts

Friday, March 7, 2025

Gambar beras 'Super Stupid - Terima kasih Fahmi, kata Mat Sabu

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2025 3:47 PM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih kepada Fahmi Reza atas karikatur yang dihasilkannya.

“Terima kasih atas karya saudara Fahmi,” kata Mohamad dalam ruangan komen pada hantaran media sosial aktivis dan pereka grafik itu.

Dalam komen sama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut berjanji untuk mempergiat usaha mereformasi sektor padi dan beras negara.

"Insya-Allah, saya akan terus berusaha agar reformasi besar-besaran sektor padi dan beras dapat dijayakan dan keberhasilan beras tempatan mencapai sasaran. Doakan ya,” katanya.

Terdahulu, Fahmi memuat naik poster grafik yang menjadikan Mat Sabu sebagai parodi.
Fahmi Reza
Poster itu memaparkan kampit beras campuran import dan tempatan - ‘Beras Spesial - Super Stupid’ - berserta lakaran wajah Mat Sabu yang kelihatan berpeluh.

Turut kelihatan pada poster itu ialah logo 'kartel beras' dan tanda harga RM84.81.

Hantaran tersebut meraih lebih 10,000 tanda suka dan lebih 1,000 komen balas daripada netizen.

Poster itu dihasilkan ketika isu kekurangan beras tempatan terus menjadi perhatian.

Laporan media baru-baru ini mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus Beras Putih Import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disahkan bercampur dengan Beras Putih Tempatan (BPT).

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, memaklumkan bahawa kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Mohamad Sabu (tengah)
Bagaimanapun, Mat Sabu sebelum ini menjelaskan campuran beras tempatan dan import sudah diamalkan sejak tahun 1970-an.

Namun, katanya, tiada peruntukan undang-undang yang jelas bagi mendakwa kes sedemikian di mahkamah.

Dia turut menegaskan isu itu bukan sesuatu yang baru, malah kajian oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) awal tahun lalu turut mendedahkan sejarah panjang amalan tersebut dalam industri beras negara.

Friday, February 28, 2025

Isu beras: Kajian MARDI buktikan rakyat ditipu

harakahdaily.net
February 28, 2025
SHAH ALAM: Hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkenaan percampuran antara beras tempatan dan beras import menunjukkan rakyat Malaysia telah ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan didesak bersikap jujur dan agresif terhadap isu beras yang masih tidak selesai hingga ke saat ini.

“Apakah yang menjadi halangan untuk kerajaan bertindak dengan cekap bagi menangani masalah ini? Sampai bila rakyat perlu ditabur dengan harapan palsu? Hari ini, rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal berbanding harga beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram.

“Secara logik, beras tempatan mustahil hilang begitu sahaja kerana padi masih tetap ditanam dan dituai. Malah beras tempatan sepatutnya mampu menampung permintaan lebih 60 peratus rakyat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan yang dilihat lambat bertindak di dalam polemik beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran tempatan selama lebih dua tahun walaupun mempunyai kuasa sejak awal isu ini berlaku.

“Hasil percampuran beras ini dipercayai dilakukan oleh pengilang yang sengaja mahu mengaut keuntungan lebih apabila dapat menjual campuran beras ini pada harga yang lebih mahal.

“Namun, tindakan ini seakan direstui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri apabila mencadangkan pada Januari lepas berkenaan percampuran beras untuk mencukupkan bekalan beras.

“Idea ini seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat dan mahu menormalisasikan manipulasi beras yang sedang dilakukan,” ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya dengan tegas menggesa kerajaan untuk mengambil serius dalam isu berkenaan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan tetapi mahu melihat tindakan. Semoga pengumuman penjualan beras tempatan RM26 untuk kampit 10 kilogram mulai 1 Mac ini bukanlah suatu janji palsu,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Saturday, February 15, 2025

PeSAWAH dakwa kos perkhidmatan naik cecah 55 peratus

bharian.com.my
Oleh Saadiah Ismail 
saadiah_ismail@bh.com.my
- Februari 15, 2025 @ 2:29pm
Foto hiasan - FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa masih menanggung kerugian kerana menanggung kos perkhidmatan sehingga 55 peratus, walaupun harga lantai belian padi diselaras.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata ia susulan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran iaitu peningkatan RM1.20.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kumpulan petani menanggung kos kejenteraan, pembajakan, penuaian mesin padi yang disifatkan naik terlalu mendadak.

Katanya, harga penyedia perkhidmatan berbeza di setiap kawasan dan tidak menentu.

Sebagai contoh, katanya, harga sewa mesin padi di Kedah bagi satu relung sebelum ini ialah RM120 dan kini dinaikkan mencecah RM230.

"Ini tidak dikawal kerajaan dan menyebabkan petani terpaksa menanggung kos perkhidmatan keseluruhan.

"Tujuh bulan berlalu, tiada tindakan daripada kerajaan untuk memberi 'fleet card' atau insentif kesan daripada pengumuman itu," katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa esok.

Seiring penyelarasan baharu harga lantai padi itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran kekal RM2.60 sekilogram.

Susulan pengekalan harga itu, kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.

Abdul Rashid berkata, sekiranya kerajaan mampu memberi subsidi RM150 juta kepada pengilang, tiada masalah untuk subsidi kepada petani ditambah.

"Tanaman padi ini di bawah Akta 522 yang dikawal rapi yang mana harga padi dan beras dikawal. Bila kedua-duanya dikawal, kerajaan perlu berikan subsidi kepada petani.

"Bila kerajaan nak kekalkan harga beras murah, kena tambah subsidi sebab kos meningkat.

"Bagi mengelak masalah ini berterusan, kami harap kerajaan menghasilkan model baharu untuk industri padi," katanya.

Wednesday, October 16, 2024

Harga maksimun beras putih tempatan tak berubah sejak 2008

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 16, 2024 @ 10:39am
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Harga siling beras tempatan perlu disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan dan pergerakan harga beras putih dunia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata harga maksimum beras putih tempatan (BPT) ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008 lagi bagi memastikan rakyat mendapat harga berpatutan susulan peningkatan mendadak harga makanan itu di pasaran global.

Namun, katanya, selepas 16 tahun, harga maksimum beras berkenaan belum lagi disemak walhal harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi.

"Sejak 2008, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM750 per tan kepada RM1,200 per tan pada 2014 dan terkini pada kadar RM1,300 setiap tan manakala harga BPT masih kekal tidak berubah," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata KPKM sudah pun menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga.

Di samping itu, katanya, kementeriannya juga sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi.

"Dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada KPKM untuk menambah baik industri padi beras melalui `task force' yang telah ditubuhkan.

"KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian yang sewajarnya," katanya.

Akhir tahun lalu, Pengilang Beras Malaysia memberi jaminan mereka akan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan sekiranya harga siling BPT dapat dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Ini adalah susulan langkah kerajaan yang akan meneliti semula harga siling BPT dinaikkan dalam usaha menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

Wednesday, October 2, 2024

Tular tak bersalam dengan menteri, CEO MADACorp mohon maaf kepada Mohamad Sabu

hmetro.com.my
M Hifzuddin Ikhsan
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di media sosial.

Alor Setar: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp) mengemukakan permohonan maaf atas kekhilafannya tidak bersalam dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Abdullah Ismail berkata, beliau sudah bersalam dengan Mohamad sebaik menteri tiba di Program Sentuhan Madani yang diadakan di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar dekat sini, Isnin lalu.

"Saya ingin merujuk kepada video yang tular mengenai isu saya tidak bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Sabu, ketika beliau membuat lawatan kerja di Kedah pada Isnin, 30 September.

"Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan menteri sebaik saja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdullah berkata, ketika mengiringi Mohamad bersalaman dengan pegawai lain, menteri itu menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengannya.

Katanya, oleh kerana sudah bersalaman dengan Mohamad sebelum itu, beliau menjadi terkedu dan terkhilaf apabila tidak bersalaman sekali lagi dengan menteri terbabit.

"Justeru saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi menteri dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.

"Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya," katanya.

Terdahulu tular video memaparkan Abdullah dilihat enggan bersalaman bersama Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke Kedah pada Isnin lalu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Firdaus Shater dalam kenyataan, melahirkan kekesalannya terhadap tindakan yang dianggap sebagai tidak cermat dan tidak profesional dilakukan Abdullah.

Katanya, insiden itu tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama dan komunikasi beradab malah ia bertentangan nilai Islam yang menuntut adab terhadap pemimpin serta sesama insan.

"Sebarang tindakan yang memperlekehkan atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka, adalah satu perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.

"Amanah Kedah berpandangan bahawa sekiranya terdapat sebarang perbezaan ideologi politik, seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati antara satu sama lain, terutamanya dalam kalangan Melayu Islam," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat insiden itu bagi mendapatkan cerita sebenar daripada pegawai yang berada di lokasi serta dari Abdullah sendiri.

Disiarkan pada: Oktober 2, 2024 @ 1:46pm

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-