Friday, February 28, 2025

Tanam padi lima kali dua tahun sedang direalisasi

harakahdaily.net
February 28, 2025
Tampung keperluan negara, kurangkan import beras


JERLUN: Projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun adalah sangat penting untuk masa depan negara, bagi menampung keperluan makanan penduduk yang semakin meningkat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain itu kerajaan juga terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk mengimport beras iaitu RM2,800 bagi setiap tan metrik.

Berbanding katanya, kos yang lebih rendah iaitu hanya RM1,500 untuk satu tan metrik beras tempatan.

Beliau juga menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan
projek Jeniang Transfer, bagi menangani masalah bekalan air yang dijangka serius akibat fenomena cuaca dan iklim bermula tahun ini hingga 2035.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga, pada masa ini hanya dapat menggunakan 35 peratus sahaja bekalan air daripada sistem pengairan yang sedia ada.

“Oleh itu projek Jeniang Transfer ini diharapkan segera mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk membantu mengatasi masalah bekalan air akibat fenomena tersebut,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima kali dua tahun di kawasan Muda fasa 1, Kampung Pida 4, Ayer Hitam, semalam.

Program tersebut dihadiri Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu

Dalam pada itu Sanusi juga menegaskan, Kerajaan Persekutuan perlu bertindak tuntas untuk memastikan matlamat dan dasar-dasar yang akan dilaksanakan, dapat dicapai.

Apatah lagi ujarnya, berkaitan masalah dihadapi oleh kilang-kilang beras milik Bumiputera yang terpaksa ‘gulung tikar’ disebabkan beberapa faktor tertentu.

“Contohnya Kilang Beras Dibuk di Perlis yang terpaksa ‘gulung tikar’ selepas 57 tahun beroperasi, sudah tentu amat menyedihkan bagi kita semua.

“Isu-isu seperti ini diharapkan mendapat perhatian yang serius oleh pihak kementerian berkaitan dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” tambahnya.

Selain itu tegas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian kepada isu tanah jerlus yang membelenggu para petani sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

Di kawasan MADA sahaja, jelasnya, lebih 2,000 hektar sawah berisiko menghadapi masalah itu, sementara 800 hektar sudah dikenal pasti.

“Masalah tanah jerlus ini akan menyebabkan padi tidak dapat dituai walaupun kerja-kerja penanaman dan penjagaan semua sudah selesai. Hal ini menyebabkan para petani rugi besar.

“Sedangkan mereka telah mengeluarkan kos yang tinggi serta berpenat lelah membanting tulang di tengah bendang. Namun tidak dapat menuai hasil apabila tiba waktunya,” ujarnya lagi.

Kata Sanusi, beliau difahamkan punca utama masalah ini ialah penggunaan mesin besar dan berat sejak puluhan tahun lalu, menyebabkan struktur tanah tidak cukup kuat untuk menampung beban.

Sekali gus katanya, menghalang jentera menuai masuk ke kawasan jerlus tersebut, malah masalah tanah jerlus ini juga tambahnya, menyebabkan berlaku tumpahan padi kira-kira 20 peratus pada setiap musim.

“Oleh itu, saya mohon perhatian agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dapat mengambil langkah yang bersepadu dan berkesan bagi menangani masalah ini yang didapati semakin serius.

“Kita bimbang jika langkah yang dilaksanakan pada masa ini masih kurang menampakkan hasil, ia akan menimbulkan masalah keyakinan para petani untuk terlibat dalam projek penanaman padi lima kali dua tahun yang sedang diusahakan ini,” tegas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, juga menyarankan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar mengambil kesempatan itu untuk meninjau masalah para pesawah.

Isu padi benih katanya, antara yang menjadi rungutan para pesawah kerana pihak mereka sering memperolehi benih tidak berkualiti dan menjejaskan hasil padi mereka.

“Saya bukanlah nak mengajar, tetapi apabila kerap sangat mendengar rungutan yang sama, maka saya nak minta Abang Mat kita dapat memberikan perhatian untuk masalah ini.

“Pastikan benih yang dibekalkan kepada petani hanya dari petak khusus untuk benih yang terjamin kualitinya, jangan asal ada atau tangkap muat,” kata Sanusi lagi.

Tegasnya, masalah yang membelenggu para petani ini wajar diusahakan jalan penyelesaiannya kerana projek penanaman padi lima musim dua tahun ini adalah langkah pertama bagi satu transformasi besar-besaran khususnya di Kedah ini.

Malah, pihaknya juga amat berbesar hati kerana memilih kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam ini untuk pelaksanaan projek.

Selain itu, Sanusi juga menarik perhatian pemimpin Kerajaan Persekutuan itu agar baja yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dapat diperluaskan penggunaannya kepada para petani di seluruh negara.

Hasil lawatannya ke Kilang Baja Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, iaitu syarikat milik NAFAS di Gurun, mendapati baja yang dihasilkan oleh kilang itu sangat baik dan bermutu tinggi. 

– HARAKAHDAILY 28/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-