Friday, February 28, 2025

Isu beras: Kajian MARDI buktikan rakyat ditipu

harakahdaily.net
February 28, 2025
SHAH ALAM: Hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkenaan percampuran antara beras tempatan dan beras import menunjukkan rakyat Malaysia telah ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan didesak bersikap jujur dan agresif terhadap isu beras yang masih tidak selesai hingga ke saat ini.

“Apakah yang menjadi halangan untuk kerajaan bertindak dengan cekap bagi menangani masalah ini? Sampai bila rakyat perlu ditabur dengan harapan palsu? Hari ini, rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal berbanding harga beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram.

“Secara logik, beras tempatan mustahil hilang begitu sahaja kerana padi masih tetap ditanam dan dituai. Malah beras tempatan sepatutnya mampu menampung permintaan lebih 60 peratus rakyat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan yang dilihat lambat bertindak di dalam polemik beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran tempatan selama lebih dua tahun walaupun mempunyai kuasa sejak awal isu ini berlaku.

“Hasil percampuran beras ini dipercayai dilakukan oleh pengilang yang sengaja mahu mengaut keuntungan lebih apabila dapat menjual campuran beras ini pada harga yang lebih mahal.

“Namun, tindakan ini seakan direstui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri apabila mencadangkan pada Januari lepas berkenaan percampuran beras untuk mencukupkan bekalan beras.

“Idea ini seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat dan mahu menormalisasikan manipulasi beras yang sedang dilakukan,” ujarnya.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya dengan tegas menggesa kerajaan untuk mengambil serius dalam isu berkenaan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan tetapi mahu melihat tindakan. Semoga pengumuman penjualan beras tempatan RM26 untuk kampit 10 kilogram mulai 1 Mac ini bukanlah suatu janji palsu,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 28/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-