Wednesday, February 5, 2025

'Terjemahan niat jahat': Polis digesa siasat pertikaian istilah 'kuda gila'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 5, 2025 8:41 AM
Pemuda MCA Petaling Jaya membuat laporan polis semalam, menggesa pihak berkuasa menyiasat pertikaian antara parti itu dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh mengenai istilah "kuda gila".

Sayap pemuda bahagian itu percaya istilah berkenaan telah diterjemahkan dengan niat jahat dan diputarbelitkan untuk mengelirukan orang ramai, yang menyebabkan parti itu menerima tuduhan tidak adil.

“Apa yang memburukkan keadaan ialah maklumat salah seperti itu boleh dieksploitasi oleh pihak yang berniat jahat, memperdalam lagi perpecahan sosial dan menjejaskan keharmonian antara kumpulan etnik yang berbeza,” kata timbalan ketuanya Lee Yee Yuan.

“Justeru, Pemuda MCA menggesa polis menyiasat secara menyeluruh perkara itu bagi menegakkan kebenaran dan mengelak penyebaran maklumat palsu,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Pemuda MCA Petaling Jaya berkata laporan polis itu dibuat oleh ketuanya Teoh Tuck Wah, yang diiringi Lee dan beberapa pemimpin parti lain.

Teoh menegaskan bahawa kebebasan bersuara harus berdasarkan fakta dan sebab, bukannya maklumat yang salah.

Dia menggesa semua pihak supaya tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan sebelum kebenaran dijelaskan sepenuhnya, bagi mengelakkan salah faham dan konflik yang tidak perlu.

“Dalam masyarakat yang pelbagai, kewujudan bersama yang harmoni adalah kunci kepada kestabilan negara. Khabar angin dan kenyataan yang mengelirukan tidak boleh dibiarkan menghakis kepercayaan bersama,” katanya.

Pada 30 Jan, Akmal membidas Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang berhubung penggunaan istilah Cina ‘癫马’ dalam catatan media sosialnya, yang secara harfiah diterjemahkan sebagai “kuda gila”.

Aksara Cina "马" - disebut mā - bermaksud "kuda".

Bagaimanapun, aksara itu juga boleh digunakan secara fonetik untuk mewakili bunyi “ma” apabila mengalih huruf daripada bahasa lain, termasuk perkataan Cina untuk Malaysia, Melayu, Mahathir dan Akmal.

Akmal mendakwa bahawa istilah itu digunakan untuk bermaksud "Melayu gila" dan menghina, tetapi Law menjawab dengan penjelasan panjang yang menyatakan bahawa istilah itu bermaksud "Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional".

Akmal berkata dia akan mengarahkan peguamnya dan Pemuda Umno untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Law.

Naib Presiden MCA Tan Teck Cheng kemudiannya mempertahankan Law dan menggesa Akmal supaya tidak bertindak keterlaluan serta merenung tindakan dan sikapnya yang menurutnya menyebabkan orang bukan Melayu tidak menyukai pemimpin Umno itu.

Sebagai tindak balas, Akmal mengingatkan MCA bahawa kedua-dua kerusi parlimennya adalah dalam kawasan majoriti Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi turut menyokong Akmal, menggesa MCA merenung mengapa ia ditinggalkan oleh pengundi bukan Melayu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-