Tuan Guru Abdul Hadi Awang
February 3, 2025
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai Presiden PAS yang paling berjaya sepanjang lebih 70 tahun usia parti itu walaupun dicemuh dan diperlekeh oleh musuh politiknya, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata demikian sebagai reaksi kepada artikel penganalisis politik veteran Joceline Tan (JT) dalam The Star bertajuk ‘Whispers of Hadi’s Exit’.
Menurutnya, artikel itu perlu dibaca secara keseluruhan dan bukan sekadar tajuknya, sambil menyatakan bahawa beliau sendiri enggan bersetuju dengan naratif yang ingin dibawa oleh penulis berkenaan.
“Memang Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS pada usia 77 tahun hari ini tidaklah segagah dahulu fizikalnya. Beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan, namun yang penting beliau masih ‘alert’, ‘sharp’.
“Dan memiliki keupayaan serta kemampuan mengemudi dan memimpin parti dalam keadaan ahli-ahli parti sendiri tiada melihat sebarang kekurangan dalam kepimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Roslan menegaskan bahawa Tuan Guru masih aktif menulis, mempengerusikan mesyuarat parti, menghadiri sidang Parlimen, dan memimpin kuliah dhuha setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila.
Menurut beliau, pemimpin yang perlu berundur ialah mereka yang gagal dan hilang pengaruh, sedangkan Tuan Guru tidak pernah gagal atau kehilangan pengaruh.
“Pencapaian politik PAS di bawahnya luar biasa sehingga mampu bukan sekadar menguasai negeri tradisi PAS iaitu Kelantan dan Terengganu, malah mampu menang di Kedah dan Perlis.
“PAS menjadi pembangkang terkuat di Pahang dan Perak, begitu juga berpengaruh di Selangor dan malah mula melebarkan sayapnya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Hari ini PAS juga punya wakil di Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa Tuan Guru merupakan satu-satunya pemimpin politik Melayu yang paling berwibawa dan bersih sehingga disegani kawan dan lawan, dalam dan luar negara.
Menurutnya, walaupun secara fizikalnya tidak seperti ketika mula-mula menang kerusi DUN di Terengganu pada 1982, namun menurut Roslan, kecemerlangan kepimpinan diukur berdasarkan pencapaian dan keupayaan menyampaikan hasil kepada parti dan rakyat.
“Tiada siapa dapat nafikan, katalah apa sahaja, beliau sesungguhnya telah cemerlang dan tidak ada sebab untuk mengundur diri kerana sokongan ahli-ahli di belakangnya cukup padu dan kukuh,” ujarnya.
Roslan berkata bahawa tidak mengapa jika PH atau DAP membenci Tuan Guru kerana itu sudah menjadi sikap mereka, tetapi yang lebih penting adalah ahli-ahli PAS terus mengiktiraf dan menyanjung kepimpinannya.
Sementara rakyat Malaysia menurutnya, secara umum menerima serta memberikan penghormatan kepada Tuan Guru Abdul Hadi.
“Dari segi fizikal sebagaimana JT sebut ada ‘good and bad days’ buat Tuan Guru, tetapi sebagaimana saya beritahu beliau, pengamatan peribadi saya Tuan Guru di mata saya masih gagah.
“Buktinya boleh memanjat tangga ke pejabat saya ditingkat satu tahun lepas dan kenyataan saya itu dipetik oleh JT dalam artikelnya. Apa pun pemimpin Gerakan Islam hanya mengundurkan diri apabila tidak lagi memiliki keupayaan.
”Tuan Guru kami walau sudah 77 tahun, tetapi kudrat, pengalaman dan ilmu beliau masih segar malah lebih padu dari ramai mereka yang lebih muda usianya.
“PAS hari ini cemerlang dan dipimpin oleh Presiden yang berpengaruh, mewakili suara Melayu Islam dalam negara.
“Kalau ada pun ‘whispers’ atau bisik-bisik dalam PAS hari ini, ianya adalah ‘whispers’ berkenaan ke mercu mana lagi PAS akan pergi selepas ini, bukan sebaliknya. Allah pelihara Tuan Guru Presiden kami,” katanya.
– HARAKAHDAILY 3/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.