Diterbitkan: Feb 26, 2025 7:10 PM
Dewan Ulama PAS Pusat dinasihati supaya tidak mencari titik-titik perbezaan politik dalam mengupas isu petikan tafsir al-Quran oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bercakap mengenai amalan berpuasa semalam.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata sebaliknya PAS wajar mengangkat titik-titik kebersamaan untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara.
Langkah itu, katanya, wajar diambil walaupun kedua-dua pihak berada pada dua sisi yang saling bertentangan.
"Saya menasihatkan Dewan Ulama PAS Pusat agar tidak mencari titik-titik berbeza dengan perdana menteri kerana perbezaan parti dan pegangan politik untuk diangkat menjadi polemik.
"Sewajarnya kita mengangkat titik-titik kebersamaan untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Khairuddin yang pernah menjadi setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya, yang menggesa pihak autoriti agama menegur Anwar kerana didakwa menyandarkan pandanganya kepada dalil al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir.

Ahmad Yahaya
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengulas ucapan Anwar yang menggunakan frasa "sepertimana umat terdahulu" semasa mentafsir ayat ke-182 surah al-Baqarah.Mohd Kahiruddin berkata, huraian Anwar terhadap maksud ayat "sebagaimana" sudah menepati apa maksud al-Quran seperti dihurai oleh para alim ulama Islam iaitu "persamaan" dari sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu, tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah.
"Para ulama tafsir sepakat bahawa persamaan puasa dengan umat terdahulu ialah pada persamaan kewajiban berpuasa atau pada persamaan konsep puasa iaitu meninggalkan makan dan minum, tetapi para ulama berbeza pendapat adakah ia juga persamaan pada masa dan cara atau tidak.
"Begitu juga ulama berbeza pendapat adakah umat terdahulu itu merangkumi agama Samawi sahaja kerana Arab jahiliyah yang menyembah berhala juga berpuasa asyura," katanya.
Justeru jelas Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri itu lagi, Dewan Ulama PAS yang perlu ditegur kerana membuat tafsiran baru dan tersendiri yang menyempitkan maksud ayat tersebut.
Katanya, Ahmad menyatakan maksud "umat yang terdahulu berpuasa" dalam ayat al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.
"Hal ini kerana para ulama ketika mentafsirkan ayat di atas menyebut tentang puasa orang Kristian yang direka oleh paderi-paderi Kristian dan tentunya ia bukannya atas dasar ketauhidan.
"Begitu juga puasa asyura orang Arab jahiliyah tentunya bukan atas dasar ketauhidan.
"Justeru, yang disepakati oleh ulama ialah pada 'persamaan' dengan umat terdahulu ialah pada hukum kewajiban dan pada konsep berpuasa iaitu meninggalkan makan minum. Adapun lain pada itu menjadi khilaf," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.