Wednesday, February 26, 2025

Anwar kena jawab 1MDB gugur saman terhadap Riza - aktivis

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 8:43 PM
Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, perlu memberi penjelasan mengenai keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman sivil terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dan syarikat Red Granite, kata peguam Charles Hector.

Memandangkan 1MDB dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), Hector menuntut Anwar menjelaskan keputusan itu dan melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan.

"Tanggungjawab terletak pada menteri kewangan, perdana menteri dan kabinet kerana ini syarikat milik kerajaan, bukan sekadar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerajaan hanya memiliki sebahagian saham.

"Anwar Ibrahim mungkin seorang perdana menteri yang ‘paling pemaaf’, dan dia boleh memaafkan tindakan orang lain yang hanya menjejaskan dirinya secara peribadi – seperti dia memaafkan bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, kerana memberinya ‘mata lebam’.
"Tetapi jenayah Najib, isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza dan timbalan perdana menteri sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, adalah jenayah terhadap rakyat Malaysia. Jadi, Anwar, walaupun seorang ‘sahabat baik’, harus bertindak untuk Malaysia – dan rakyat Malaysia masih belum memaafkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia turut mencadangkan supaya jawatankuasa pilihan khas parlimen menyiasat keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman terhadap Riza.
Untuk rekod, Riza dan Zahid sebelum ini telah dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) dalam kes jenayah terhadap mereka.

Dalam kes Riza, DNAA itu merupakan sebahagian daripada perjanjian pada tahun 2020 yang memerlukan dia memulangkan berjuta-juta ringgit.

Bagaimanapun, Najib dan Rosmah masih berdepan beberapa kes mahkamah yang sedang dibicarakan.


Sementara itu, Hector berpendapat penjenayah tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja hanya kerana mereka memulangkan hasil jenayah mereka. Ini, katanya, hanya boleh dianggap sebagai faktor mitigasi bagi mahkamah dalam mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

Dia juga menyoal jika wang yang didakwa diseleweng oleh Riza benar-benar telah dikembalikan.

Kes Riza Aziz dan Red Granite

Pada tahun 2019, Riza didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa menerima dana yang diselewengkan daripada 1MDB melalui akaun bank Red Granite.

Red Granite syarikat penerbitan Hollywood yang diasaskannya, yang menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street" dan "Dumb and Dumber Too".

Bagaimanapun, kesnya digugurkan pada tahun berikutnya dengan syarat dia mengembalikan dana tersebut. Jika gagal, pihak pendakwaan berhak untuk mendakwanya semula.

Namun, pada tahun 2021, 1MDB dan anak syarikatnya sekali lagi memfailkan saman sivil terhadap Riza, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited.

Mereka mendakwa Riza dan dua syarikatnya menerima dana sebanyak AS$248 juta (sekitar RM1.09 bilion) yang disalahgunakan untuk keuntungan peribadi, termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah mewah.

Bagaimanapun, saman tersebut ditarik balik pada Isnin tanpa sebarang alasan diberikan di mahkamah terbuka.

Penarikan saman itu dibuat seminggu selepas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zamri Zainul Abidin, memberi keterangan bahawa Riza dan peguamnya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mencapai penyelesaian global untuk mendapatkan semula dana AS$248 juta.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-