Thursday, March 13, 2025

Ibrahim Ali persoal bila SPRM nak siasat Teresa?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 13, 2025 
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali mempersoalkan bila SPRM akan menyiasat ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu rasuah yang membabitkan bekas kakitangan pejabatnya.

Ini kerana katanya, Kok boleh disiasat berdasarkan Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 kerana gagal melaporkan rasuah.

“Kalau tahu ada rasuah tapi buat bodoh dan tak lapor, itu dah satu kesalahan.

“Teresa sendiri mengaku dia dah tahu sejak tahun lepas, tapi tak ambil tindakan. Hukuman penjara sampai 10 tahun atau denda RM100,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Teresa Kok
Kok sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan kontroversi melibatkan bekas pembantunya yang disiasat SPRM akan mempengaruhi peluangnya untuk mempertahankan kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam pemilihan parti pada 16 Mac ini.

Menurutnya, dia sedia maklum ramai pihak yang tidak berpuas hati dengannya susulan penangkapan bekas kakitangannya itu yang didakwa terlibat dalam rasuah berhubung pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Pada 6 Mac, naib pengerusi DAP itu mendedahkan bahawa SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum meletak jawatan tahun lepas.

Bekas menteri perladangan dan komoditi itu percaya siasatan SPRM ada kaitan dengan pembelian papan pintar pada harga yang didakwa melambung tinggi.

Jelasnya, pada penghujung Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasan pilihan rayanya sebanyak RM99,000 telah digunakan untuk menyalurkan papan pintar dan TV pintar kepada 16 sekolah.

Ibrahim turut mempersoalkan apakah Kok tidak melaporkan kes penyelewengan tersebut tetapi hanya memecat pembantunya itu.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu menyorot kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana sengaja tutup mata.

“Apabila dana awam dirompak depan mata, tapi orang yang bertanggungjawab buat tak tahu, itu bukan salah ke?

“Undang-undang kata kalau tahu jenayah berlaku dan sengaja tak lapor, boleh kena tindakan. Hukuman penjara sampai enam bulan atau denda,” katanya yang turut merujuk Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kes pecah amanah jenayah.

Ibrahim berkata sekiranya Kok tahu bahawa ada penyelewengan, tetapi tidak berbuat apa-apa, maka tindakannya boleh dianggap sebagai kecuaian yang membawa kepada pecah amanah jenayah.

Sabit kesalahan, bekas presiden Perkasa itu berkata hukumannya adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda.

“Soalan mudah: kalau bukan salah staf tu, kenapa pecat? Kalau staf tu salah, kenapa tak lapor?

“Ini bukan syarikat mak bapak dia, ini duit peruntukan RM700,000 bagi sekolah-sekolah dalam kawasan dia yang lesap.

“Kalau ini terjadi dekat MP (ahli parlimen) pembangkang, agak-agak apa jadi? Mesti SPRM dah berkampung depan rumah siap ada sidang media.

“Tapi sebab Teresa Kok dari kerajaan Madani dan bekas menteri DAP, tiba-tiba semua senyap. Undang-undang mesti sama untuk semua. Kalau dia dah tahu duit lesap, tak lapor, cuma pecat staf, itu bukan tindakan, itu cover-up. Jadi, bila SPRM nak siasat?” soal Ibrahim lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-