Monday, March 17, 2025

Islam wajib dimuliakan walaupun dihina

harakahdaily.net
March 17, 2025
TELAH menggerakkan Tuanku Sultan Pahang untuk menyatakan titah secara terbuka, apabila kini tersebar beberapa kenyataan dan tindakan yang berani secara terang-terangan menghina Islam agama yang dimuliakan oleh Allah, agama asal seluruh alam termasuk manusia. Firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣

“Maka, apakah mereka mencari agama selain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nya jua menyerahkan diri (Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik secara sukarela mahupun terpaksa (mengikut fitrah), dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Semua makhluk ditetapkan oleh Allah Pencipta alam, sifat fitrah masing-masing (naluri) yang terpaksa menganut Islam, mengikut fitrah kejadiannya yang tidak mampu ditolak atau dinafikan, seperti fitrah bernafas kepada yang hidup bernyawa. Binatang dan tumbuhan berada dalam kawasan tertentu dan sebagainya, ketetapan musim cuaca, hujan dan panas, malam dan siang. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ ١٦٤

“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa-apa yang berguna bagi manusia, dan apa-apa yang Allah turunkan dari langit berupa air — lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, serta pengisaran angin dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.”
[Surah al-Baqarah: 164]

Di sana, ada perintah dan ketetapan Allah yang boleh dipilih tanpa paksaan untuk menguji makhluk yang berakal dan bernafsu. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ… ٢٨٦

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia juga mendapat seksaan (daripada kejahatan) yang dikerjakannya…” [Surah al-Baqarah: 286]

Allah juga menegaskan bahawa Islam ialah agama yang paling mulia dan paling tinggi, wajib dipertahankan oleh umat Islam. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩


“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkannya atas segala agama dan ajaran, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Walaupun kita menegaskan konsep tiada paksaan dalam beragama terhadap penganut berbagai-bagai agama dan ideologi yang lain, namun Islam itu wajib dimuliakan dan dipertahankan oleh seluruh penganutnya. Selain itu, meninggikan Islam sehingga dapat memimpin dan mentadbir seluruh manusia kerana kesempurnaannya datang daripada Allah Tuhan semesta alam yang adil terhadap semua. Kesempurnaan sedemikian yang tiada pada agama dan ideologi ciptaan manusia.

Islam menegaskan konsep kepimpinan Islam, raja dan ketua negara berdaulat berdasarkan Islam yang berkuasa memerintah negara berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau pemimpin berperlembagaan mengikut ketetapan para ulama’ dalam kitab-kitab bertulis.

Malangnya, kita telah ditipu oleh penjajah kerana telah merampas kuasa raja-raja yang diberikan oleh Islam yang dibawa ke negara ini. Kuasa khalifah dan raja-raja bernaungkan Islam telah dirampas oleh penjajah, sehingga meninggalkan urusan ibadat dan adat sahaja. Pada masa yang sama, memberikan kebebasan kepada musuh Islam secara halus.

Apabila kita telah memperoleh kemerdekaan, diletakkan Islam adalah agama bagi Persekutuan, sepatutnya kita mentafsirkan Islam dengan mengembalikan semula kuasanya mengatasi segala yang lain.

Akibat tidak melakukan perubahan mengenai kedudukan Islam yang berdaulat, sebaliknya membenarkan demokrasi liberal berkuasa melakukan penentangan terhadap Islam dan umatnya. Malah, dilemahkan lagi oleh kefahaman politik yang lemah dalam kalangan Melayu Islam, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu menubuhkan sebuah kerajaan dominasi kumpulan liberal. Khususnya, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang secara terbuka cuba meminggirkan Islam dan kuasa umat Islam dalam perjuangannya, dalam keadaan lemahnya kehebatan Islam.

Demikianlah konsep yang tidak diizinkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

… وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١

“…Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk mengusai orang-orang yang beriman.” [Surah al-Nisa’: 141]

Keadaan ekonomi hari ini dikuasai oleh kalangan bukan Islam dan pendidikan yang melemahkan umat Islam, serta dirancang strategi politik untuk merampas kuasa Islam.

Inilah bentuk Kerajaan Pakatan Harapan yang dapat disaksikan telah melemahkan kehebatan Islam, sehingga keluarnya kenyataan dan tindakan yang berani menghina Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun dalam keadaan nisbah umat Islam berbangsa Melayu masih majoriti besar, hilang kedaulatan rajanya dan kehebatan politik bangsanya yang menganut Islam. Maka, berlakulah amaran Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.

“Tiba masanya umat pelbagai kaum dan agama berhimpun untuk mengepung kamu bagi merampas hak kamu, laksana mereka yang berhimpun di sekeliling makanan yang lazat untuk dimakan dengan rakus.”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟

Lalu salah seorang Sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?”

قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Bahkan, kamu sangat ramai jumlahnya bilangannya, tetapi laksana buih dan sampah sarap yang dihanyutkan oleh banjir. Allah mencabut rasa hebat musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam diri kamu penyakit al-wahn (hina dan lemah).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ ‌الدُّنْيَا، ‌وَكَرَاهِيَةُ ‌الْمَوْتِ.


Salah seorang sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah penyakit al-wahn?” Baginda menjawab, “Terlalu sayang akan dunia dan benci akan kematian.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22397, daripada Thauban bin Bujdud. Lafaz bagi Abu Dawud]

Penyakit mabuk terhadap harta dunia serta pangkat dengan nafsu yang membelakangi iman dan Islam, menjadikan umat Islam semakin lemah dihanyutkan dan dibeli oleh musuh-musuh dengan pemberian rasuah dan dibuli pemikirannya dari dalam dan luar negara.

Tambahan lagi, ditipu pula dengan slogan Daulat Tuanku yang telah dirampas kedaulatannya. Kini, pula berslogankan Madani dengan bahasa Arab yang menipu kalangan yang jahil tanpa dibezakan antara Islam dengan jahiliah.

Rasulullah SAW menamakan negara Islam pertama dengan nama Madinah al-Munawwarah berkonsepkan Madani dalam Piagam Madinah yang terkenal berpandukan Islam, firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩


“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (secara mutlak), dan ulu al-amr (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Ditegaskan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang berkonsepkan kepimpinan umara’ dan ulama’, Islam diletakkan sebagai sumber rujukan yang paling tinggi:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.


“Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan ahli yang terlibat dalam pemeteraian piagam ini yang menimbulkan masalah dan pertelingkahan sehingga perkara itu boleh merosakkannya, hendaklah ia diselesaikan dengan kembali kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah) (Islam adalah hukum yang tertinggi).” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jilid 1, Halaman 504]

Apabila penganut Yahudi melakukan sesuatu yang menentang Islam, lantas Rasulullah SAW mengarahkan agar tindakan yang tegas diambil terhadap mereka, termasuk membatalkan kerakyatan (Ahli Zimmah) dan dihalau keluar dari Madinah.

Amat memalukan, apabila kita meneruskan kerja penjajah dengan menugaskan pentadbiran berjenama jabatan agama Islam negeri untuk mengawal dan mengawasi guru-guru agama, pendakwah dan khutbah Jumaat. Bukannya hendak bertindak terhadap mereka yang telah menghina Islam.

Berselindung di sebalik undang-undang yang berjenama Islam. Allah melaknat orang-orang Yahudi yang mencipta undang-undang yang salah ini. Firman Allah SWT:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩


“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah’, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!”
[Surah al-Baqarah: 79]

Allah menguji keimanan kita kepada-Nya supaya membuat perubahan ke arah yang lebih baik berpandukan Islam yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat, atau perubahan ke arah yang buruk sehingga membawa kecelakaan di dunia dan balasan neraka di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]

Walaupun Islam dihina dan zalimi, Allah tetap memeliharanya sebagaimana firman-Nya:

يُرِيدُونَ لِيُطْۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨


“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya.”
[Surah al-Saff: 8]

Mereka menyangka bahawa cahaya Islam ini lemah, laksana pelita yang boleh dipadamkan dengan hembusan angin daripada mulut-mulut mereka. Namun, cahaya Islam terus bersinar ke seluruh pelosok dunia sehingga menembusi negara-negara musuh dan memasuki ke dalam masyarakat bukan Islam.

Kini, Islam semakin berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat yang pernah menjajah tanah air Islam, dan bangkit semula Islam di Asia Tengah yang pernah dibelasah oleh puak komunis dan Islam muncul kembali di Sepanyol yang telah dirampas dari tangan Islam.

Blok komunis yang paling ganas terhadap Islam terhumban jatuh kuasa besarnya pada abad yang lalu. Kini, kuasa besar liberal sedang menunggu giliran untuk terhumban, namun cahaya Islam akan terus bersinar.

Maka, jurucakap yang menghina Islam sangat kerdil kerana tidak mampu menjawab hujah, tidak berani berdialog, bahkan hanya berani menggunakan fitnah melalui media baharu yang dianggap menjadi senjatanya.

Umat Islam tetap wajib mempertahankan Islam dan meneruskan perjuangan untuk menegakkannya, dengan menyahut seruan Allah SWT melalui firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍۢ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣


“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih? (10) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (11) Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (12) Dan (ada lagi) kurniaan yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (13)” [Surah al-Saff: 10-13]

Masing-masing bertugas untuk menegakkan Islam di lapangannya dan kebolehannya bersama kemampuannya bagi mendapat kelebihan janji Allah bersama kemenangan di dunia dan akhirat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Ramadan 1446 / 17 Mac 2025
[Bil: 19 / 2025] - HARAKAHDAILY 17/3/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-