Sunday, March 16, 2025

PRK DUN N.48 Ayer Kuning: PN terawal lancar jentera

harakahdaily.net
March 16, 2025
TAPAH: Perikatan Nasional (PN) menjadi parti terawal melancarkan jentera secara rasmi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning bertempat di Padang Awam Tapah Road, di sini malam tadi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz berkata, pelancaran tersebut membuktikan kesediaan Jentera Pilihan Raya PN dalam menghadapi PRK tersebut yang disempurnakan Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Sebenarnya gerak kerja pilihan raya sudah pun dimulakan lebih awal oleh jentera di semua Unit Daerah Mengundi (UDM) di DUN Ayer Kuning ini, cuma pada malam ini secara rasmi kita lancarkan,” katanya ketika berucap di pelancaran Jentera PRK DUN Ayer Kuning.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta beberapa wakil parti komponen PN.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang mengalami serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon adalah pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.

“Oleh itu, saya berharap semangat jentera PRK DUN Ayer Kuning ketika ini berada pada tahap tertinggi untuk memberi saingan sengit kepada parti lain yang bertanding,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kamunting.

Terdahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi dalam pertembungan lima penjuru, mengatasi calon PH (6,875), PN (6,812), Pejuang (105) dan PSM (586).

PRK ini adalah yang ke-11 selepas PRU15 iaitu Parlimen Kuala Terengganu, DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai, DUN Pelangai, DUN Jepak, Parlimen Kemaman, DUN Kuala Kubu Baharu, DUN Sungai Bakap, DUN Nenggiri dan DUN Mahkota. 

HARAKAHDAILY 16/3/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-