Sunday, March 16, 2025

SURAT | URA: Anwar Ibrahim perlu henti retorik politik bantu Melayu

malaysiakini.com
Mohamad Shafiq Abdul Halim
Diterbitkan: Mar 16, 2025 10:17 AM
Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) berpotensi memberi kesan negatif yang signifikan kepada pemilik hartanah di bandar, merentasi semua golongan masyarakat.

Retorik politik yang cuba membataskan skop RUU ini kepada membantu golongan miskin bandar, khususnya Melayu, adalah tidak tepat dan mengelirukan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu berhenti menyembunyikan risiko sebenar dan bercakap benar kepada rakyat.

Cadangan penurunan ambang persetujuan untuk pembangunan semula (80 peratus untuk bangunan kurang 30 tahun, 75 peratus untuk lebih 30 tahun, dan 51 peratus untuk bangunan terbiar) boleh membuka ruang kepada jualan paksa dan pemindahan komuniti, di mana pemilik minoriti boleh dipaksa menjual hartanah mereka walaupun tidak bersetuju. Ini amat membimbangkan bagi pemilik di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana.

Kejelasan dan keadilan pampasan yang akan diberikan kepada pemilik yang terjejas masih samar. Rakyat berhak mengetahui bagaimana nilai pasaran akan ditentukan, sama ada mereka akan menerima unit penggantian yang setara, dan pampasan untuk kos pemindahan serta gangguan emosi.

Wujudnya potensi besar untuk opportunisme pemaju dan kurangnya ketelusan dalam pelaksanaan projek di bawah RUU PSB. Penubuhan jawatankuasa kerajaan untuk meneliti projek adalah langkah yang baik, tetapi keberkesanannya bergantung pada kebebasan dan ketelusan mereka. Ketiadaan kriteria pemilihan pemaju yang jelas juga menimbulkan kebimbangan.

RUU PSB berisiko menyebabkan peningkatan kos sara hidup (yuran penyelenggaraan, cukai, dan lain-lain) yang tidak mampu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang boleh mengakibatkan pemindahan mereka dari kawasan bandar.
Terdapat potensi konflik antara RUU PSB dan undang-undang sedia ada seperti Akta Hakmilik Strata 1985 yang memerlukan persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik, serta keperluan untuk memastikan ia selaras dengan hak perlembagaan untuk memiliki harta serta undang-undang lain berkaitan.

Harus diingatkan juga adalah bahawa RUU PSB ini bukan hanya terpakai kepada pemilik di kawasan PPR atau setinggan. Undang-undang ini juga berpotensi untuk digunakan kepada semua jenis pemilik hartanah di kawasan bandar pada masa akan datang, termasuk pemilik apartment, kondominium, dan premis komersial. Ini bermakna, tanpa penelitian dan perincian yang teliti, pemilik hartanah dari pelbagai latar belakang boleh terjejas oleh pelaksanaan RUU ini.

Saya menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk berhenti menggunakan retorik politik yang mengabaikan potensi keburukan RUU PSB. Beliau perlu mengakui dan menangani kebimbangan yang sah ini secara terbuka dan telus. Rakyat berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya mengenai implikasi undang-undang ini terhadap hak milik dan kehidupan mereka.

MOHAMAD SHAFIQ ABDUL HALIM ialah Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-