March 13, 2025
Pada Februari 1943, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perancangan Tanah Melayu di London, United Kingdom, bagi merancang pembangunan semula Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) yang diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone. Beliau ditugaskan untuk merangka satu bentuk pentadbiran baharu bagi Tanah Melayu selepas tamatnya perang.
Hasil daripada semua perbincangan yang diadakan, satu cadangan telah dikemukakan untuk menggabungkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malayan Union. Adapun Singapura pula masih dikekalkan sebagai tanah jajahan secara berasingan.
Keputusan Malayan Union untuk mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan kebimbangan pihak British terhadap penentangan orang Melayu. Mereka bimbang penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut.
Selain itu, Kerajaan British juga berhasrat menjadikan Singapura sebagai pangkalan tentera laut untuk operasi strategiknya di Timur Jauh. Namun begitu, tujuan utama British mengecualikan penyertaan Singapura dalam Malayan Union adalah disebabkan kepentingan ekonominya di wilayah itu. Kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan utama dan pelbagai lagi faktor lain yang berteraskan kegiatan ekonomi mendorong pihak British untuk mengekalkan Singapura, kononnya sebagai tanah jajahan London.
Kebanyakan buku-buku dari Barat menyatakan bahawa salah satu sebab utama pembentukan Malayan Union ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu ke arah kemerdekaan. Tindakan ini dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri, atau dalam erti kata lain, mencapai kemerdekaan. Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu pada ketika itu percaya bahawa rancangan ini sebenarnya bertujuan menukar status negeri-negeri Melayu daripada negeri naungan menjadi tanah jajahan British. Langkah ini dilihat sebagai satu strategi untuk memanjangkan tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan berpura-pura berusaha memberikan kemerdekaan.
Sedangkan, kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan, telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union. Keadaan ini menjadikan raja-raja di Tanah Melayu sebagai raja-raja yang tidak berdaulat.
Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura ini, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Manakala Sultan-sultan Melayu pula masih mengekalkan kedudukan masing-masing, tetapi dengan bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu sahaja.
Adapun pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union juga akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset berkaitan agama Islam dan harta peribadi para sultan.
Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberikan banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Keadaan ini jelas menunjukan kedaulatan British ke atas Tanah Melayu di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Hal ini sekali gus menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.
Skim Malayan Union turut mencadangkan agar digubal undang-undang baharu yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura. Begitu juga kepada pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurangnya 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942.
Semua kewarganegaraan Malayan Union yang baharu itu akan mempunyai hak-hak yang sama dengan penduduk asal Tanah Melayu, termasuk penerimaan masuk ke perkhidmatan awam. Selain itu, kewarganegaraan Tanah Melayu juga turut diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan, selaras dengan prinsip jus soli.
Penjajah British tidak mengharamkan Umno dan membenarkannya bergerak aktif di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa yang sama, pihak British tetap meneruskan perancangan politiknya untuk memberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat yang mengekalkan pengaruh penjajahannya.
Apabila Umno menerima syarat-syarat British, khususnya prinsip jus soli dan perkara lain yang dilihat memberi kesan negatif terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, maka beberapa kumpulan parti politik dan NGO keluar daripada Umno. Antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Adapun kumpulan Islam pula menubuhkan Hizbul Muslimin.
Penjajah British kemudiannya mengharamkan kumpulan Islam, termasuklah PKMM. Mereka mengambil kesempatan daripada pengharaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengangkat senjata menolak sistem demokrasi.
Apabila British mencadangkan agar diadakan Pilihan Raya Umum Pra-Kemerdekaan pada tahun 1955, kumpulan Islam dalam PKMM, biro agama UMNO, dan NGO Islam telah menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Dalam pilihan raya tersebut, PAS bertanding dengan tema pembentukan Negara Islam, manakala UMNO berkempen dengan slogan “Agama, Bangsa, dan Tanah Air.”
Umno, sebagai parti Melayu terbesar, membentuk gabungan Perikatan bersama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), manakala PAS pula bertanding secara bersendirian. Keputusan pilihan raya menyaksikan Perikatan yang didominasi oleh Umno memenangi majoriti besar, manakala PAS hanya memperoleh satu kerusi sebagai parti pembangkang.
PAS bersama Umno dan kumpulan Islam yang lain telah berjaya meletakkan Islam, hak istimewa Melayu dan bumiputera, serta bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, konsep kebebasan beragama turut dilaksanakan bagi penganut agama bukan Islam.
Sepatutnya, Umno sebagai parti terbesar dalam kerajaan dengan majoriti yang besar berperanan memperkasakan Islam dan kedudukan Melayu serta bumiputera. Sebaliknya, perkara ini tidak dilaksanakan dengan berani, sehingga menyebabkan berlaku perselisihan yang sengit antara Umno dengan PAS dan membawa kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan Melayu Islam hanya kerana berbeza pendekatan.
Akhirnya, Umno mula dijangkiti penyakit gila kepada harta dan jawatan. Amalan politik wang dan rasuah semakin berleluasa, sehingga membarah dalam pemilihan kepimpinan parti. Lalu akhirnya, Umno kecundang dalam pilihan raya umum yang mutakhir.
Terdapat kalangan kepimpinan Umno yang memilih untuk menjadi parti yang menumpang Pakatan Harapan (PH). Sedangkan PH didominasi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu sebuah parti yang membawa konsep sekular yang meminggirkan Islam serta kepimpinan Melayu dan bumiputera. Kononnya, tindakan ini bertujuan untuk menguatkan semula Umno, tetapi hakikatnya lebih kepada usaha menyelamatkan diri daripada terjerat dalam kes mega rasuah dan pelbagai isu yang lain lagi.
Terkini, pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mengeluarkan kenyataan bahawa, “DAP tidak pernah dikuasai Umno semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.” Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Umno yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Situasi ini menunjukkan bahawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan UMNO dalam PH laksana mangsa yang dibelit oleh ular besar, sehingga letih lalu akhirnya ditelan sedikit demi sedikit.
Parti Amanah Negara dan pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi suara yang berteriak bagi pihak DAP, sementara PKR dan Umno (UmDAP) terpukau dengan belitan pangkat dan projek mega yang menidurkan. Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, atau Exco, malah ada yang menagih projek mega. Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis.
Bukan PAS yang membunuh Umno jika bersama-sama dalam satu gabungan, seperti yang diuar-uarkan. Sebaliknya, Umno yang sedang membunuh dirinya sendiri, laksana kelekatu yang terjun ke dalam api kerana tertarik kepada cahaya api yang akhirnya membakar diri.
Keadaan ini berbeza dengan PAS, yang pernah bekerjasama dengan DAP tetapi tetap berpegang teguh kepada petunjuk al-Quran, firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem, serta menolak pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta bumiputera.
Oleh itu, kita mengajak mereka yang telah terlanjur agar kembali ke pangkal jalan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Ramadan 1446 / 13 Mac 2025
[Bil: 18 / 2025] – HARAKAHDAILY 13/3/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.