Showing posts with label Datuk Ismail Sabri. Show all posts
Showing posts with label Datuk Ismail Sabri. Show all posts

Sunday, February 23, 2025

SPRM reman 4 pegawai Ismail Sabri kes 'Keluarga Malaysia'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 2:19 PM
Empat pegawai Ismail Sabri Yaakob dilaporkan ditahan SPRM dalam siasatan rasuah berhubung kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan bekas perdana menteri itu pada Ogos 2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan kepada Malaysiakini hari ini.

Azam secara ringkas turut mengesahkan penahanan berkenaan berhubung siasatan kempen Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Harian Metro yang memetik sumber melaporkan SPRM mendapat perintah reman ke atas empat pegawai berkenaan di Mahkamah Putrajaya, semalam.

Menurut sumber laporan itu, perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.

Azam mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

"Kami memohon supaya pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi," katanya dipetik sebagai berkata.

Seksyen berkenaan menyentuh mengenai kesalahan meminta atau menerima rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ismail, dengan memfokuskan kepada projek tertentu semasa ahli Parlimen Bera itu memegang jawatan perdana menteri.

Sumber mendakwa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak yang dikaitkan dengan mempromosikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Ismail ketika menjadi perdana menteri.

Tuesday, February 17, 2015

Ismail Sabri cipta sejarah menteri pertama tidak mahu hadir perayaan Tahun Baru Cina

GELANG PATAH, 17 FEB: Isu keceluparan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri semakin hangat apabila beliau dilaporkan enggan hadir majlis perayaan Tahun Baru Cina kerana risau dibaling objek oleh penyokong DAP.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan dakwaan terbaru Ismail Sabri itu adalah tidak bertanggungjawab dan satu tuduhan melulu terhadap DAP.

“Beliau dakwa dapat nasihat supaya tak pergi majlis-majlis Tahun Baru Cina di Bera kerana penyokong DAP akan baling objek kepadanya.

“Ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan ia adalah tuduhan melulu kali kedua oleh Ismail Sabri untuk beberapa minggu ini.

“Ia menimbulkan persoalan apakah beliau masih layak menjadi seorang menteri untuk sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini,” ujar Kit Siang.

Ekoran kenyataan terbaru Ismail Sabri, DAP Kawasan Bera menafikan adanya plot untuk membaling objek kepada menteri itu di samping menyifatkan kenyataan Ismail Sabri itu adalah seperti kenyataan orang bersalah.

“Ismail Sabri sekali lagi cipta sejarah apabila menjadi menteri pertama tidak mahu tunjuk muka dalam majlis perayaan rakyat kerana kenyataan perkaumannya terhadap kaum Cina.

“Adakah dia rasa bangga menjadi menteri yang ada imaginasi akan dibaling objek, sedangkan beliau mempunyai banyak pengawal dan pengiring di tempat awam?” sindir Kit Siang.

Sambil itu, Kit Siang sekali lagi mempersoalkan kesediaan Kabinet untuk menyelesaikan isu kenyataan perkauman Ismail Sabri esok.

“Apakah mesyuarat kabinet esok akan selesaikan secara muktamad isu Ismail Sabri, atau mereka akan menghindari isu tersebut dengan ‘ponteng’ atas alasan Tahun Baru Cina?” tanya Kit Siang. -Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-