Diterbitkan: Feb 23, 2025 2:19 PM
Empat pegawai Ismail Sabri Yaakob dilaporkan ditahan SPRM dalam siasatan rasuah berhubung kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan bekas perdana menteri itu pada Ogos 2021.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan kepada Malaysiakini hari ini.
Azam secara ringkas turut mengesahkan penahanan berkenaan berhubung siasatan kempen Keluarga Malaysia.
Terdahulu, Harian Metro yang memetik sumber melaporkan SPRM mendapat perintah reman ke atas empat pegawai berkenaan di Mahkamah Putrajaya, semalam.
Menurut sumber laporan itu, perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.
Azam mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM.
"Kami memohon supaya pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi," katanya dipetik sebagai berkata.
Seksyen berkenaan menyentuh mengenai kesalahan meminta atau menerima rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ismail, dengan memfokuskan kepada projek tertentu semasa ahli Parlimen Bera itu memegang jawatan perdana menteri.
Sumber mendakwa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak yang dikaitkan dengan mempromosikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Ismail ketika menjadi perdana menteri.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.