Showing posts with label Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Show all posts
Showing posts with label Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Show all posts

Wednesday, August 17, 2016

Tiada parti Melayu yang akan bertahan lama selain UMNO - Nazri

Mana-mana parti yang keanggotaannya berasaskan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan diterima dan bertahan lama kecuali UMNO, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata sejarah politik membuktikan penubuhan parti yang cuba bertindak mewakili pribumi akan menjadi sia-sia dan hancur sebagaimana yang terjadi kepada Semangat 46 dan Berjasa.

Mengulas penubuhan Parti Pribumi yang diketuai bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamed Nazri berkata ia akan menerima nasib seperti Semangat 46 berdasarkan keanggotaannya yang terhad kepada Melayu dan Bumiputera semata-mata.

"Jika asasnya ialah Melayu dan Bumiputera, ia akan hancur kerana masyarakat lain tidak akan menyokong parti pribumi," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Rekod anjuran Arkib Negara di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata PKR, satu lagi parti serpihan UMNO, masih bertahan kerana ia merupakan parti yang boleh disertai pelbagai kaum.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu menyifatkan semua parti yang didaftarkan dengan hasrat menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya, sebenarnya memberi kelebihan kepada BN meraih kemenangan.

"Selain beri ruang yang mudah kepada BN, parti-parti ini juga boleh menjadi rumah baharu kepada mereka yang suka merosakkan UMNO bertapak dan merosakkan parti itu juga...dan ini proses pembersihan yang baik kepada UMNO," katanya.

Mengulas perhimpunan Bersih 5 yang dirancang diadakan, Mohamed Nazri berkata beliau sebagai pengamal undang-undang tiada masalah dengannya selagi ia dijalankan mengikut peruntukan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 tetapi tindakan akan diambil jika peserta melanggar peraturan dan membuat provokasi.

-- BERNAMA

Friday, June 24, 2016

MT Umno pecat Muhyiddin, Mukhriz

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan untuk memecat timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno.


[Berita penuh menyusul]

Saturday, April 30, 2016

Usul pecat Muhyiddin, Mukhriz selepas PRN Sarawak - Nazri

DI KUCHING
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada UMNO pada mesyuarat MT parti itu, yang dijadualkan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Mukriz yang juga bekas Mnteri Besar Kedah untuk bersekongkol dengan parti pembangkang sedangkan mereka masih anggota UMNO, adalah melanggar prinsip UMNO.

"Kebebasan bersuara yang diberikan UMNO kepada mereka selama ini telah disalahgunakan dan ia sudah cukup untuk membuktikan kesalahan mereka berdua," katanya di sini, hari ini.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, UMNO mengamalkan demokrasi dan membenarkan anggotanya mengkritik namun, kritikan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batasan.

"Selepas pilihan raya negeri ini, kita akan adakan mesyuarat dan saya sendiri akan mengusulkan supaya kedua-dua mereka dipecat. Kita perlu ambil tindakan," katanya.

Nazri diminta mengulas tindakan Muhyiddin, Mukhriz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri siri ceramah bertajuk 'Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia' di Jitra, Kedah, semalam.

Ditanya mengenai tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak, beliau berkata tindakan itu wajar demi menjaga keharmonian di negeri ini.

Keharmonian di Sarawak pada masa ini perlu diteruskan untuk menjamin kemajuan ekonomi yang berterusan, katanya.

"Jika kita lihat suasana kempen pilihan raya negeri kali ini, ia dijalankan dengan begitu tenang dan bertamadun sekali tanpa kejadian tidak diingini berlaku, jadi mereka ini perlu dihalang daripada menghasut rakyat Sarawak," katanya.

- BERNAMA

Saturday, April 2, 2016

Anti-Najib akan dicantas dalam mesyuarat MT akan datang

Usul yang akan dibawa mengusulkan pemimpin UMNO yang menghadiri atau menandatangani deklarasi untuk menjatuhkan Presiden dipecat
KUALA KANGSAR: Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usul bagi pemimpin UMNO yang terlibat dalam ‘Deklarasi Mahathir’ dipecat daripada parti akan dibawa pada mesyuarat MT akan datang.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana sudah jelas perbuatan itu melanggar disiplin parti.

“Akan diusulkan dalam mesyuarat MT UMNO akan datang agar mereka daripada UMNO yang menghadiri atau menandatangani deklarasi itu untuk menjatuhkan pemimpin (presiden) parti dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

“Segala prosedur akan dibuat oleh parti dengan (terlebih dahulu) menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Ketua-Ketua Kampung dan Ketua UMNO di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Mohamed Nazri berkata beliau percaya laporan tentang pemimpin terbabit telah dibuat kepada jawatankuasa disiplin parti untuk pertimbangan dan siasatan dan hasil laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat MT.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembabitan pemimpin UMNO dalam Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Padang Rengas Osman Rani Yang Ramli berkata satu memorandum telah diserahkan kepada Mohamed Nazri yang menyatakan sokongan penuh bagi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.

Katanya ini kerana tindakan Muhyiddin menandatangani deklarasi itu jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Semua ketua kampung dalam kawasan Parlimen Padang Rengas memberikan sokongan penuh kepada presiden Datuk Seri Najib untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi mengembalikan maruah parti dan kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-