Showing posts with label UMNO Kelantan. Show all posts
Showing posts with label UMNO Kelantan. Show all posts

Saturday, July 28, 2018

Umno Kelantan: Adun kami bermaruah, tak mungkin lompat parti

Faiz Zainudin
July 28, 2018

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub berharap semua ahli dan pemimpin terus beristiqamah dengan Umno dan tidak mengkhianati amanah rakyat.
Ahmad Jazlan Yaakub mendakwa ada usaha agresif untuk menarik ahli dan pemimpin Umno Kelantan menyertai PPBM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Kelantan menyangkal dakwaan 8 wakil rakyatnya di negeri itu akan menyertai PPBM kerana tiada sebarang maklumat dan tanda mereka akan berbuat demikian.

“Saya tak ada berita, yang jelas cuma khabar angin yang mengatakan ada pimpinan, Adun Umno Kelantan akan keluar parti. Saya menganggap ianya berita tidak benar.

“Setahu saya, semua 8 Adun Umno Kelantan masih bersama Umno dan setakat ini langsung tidak ada tanda-tanda mereka akan keluar parti,” kata Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kepada FMT hari ini.

Beliau yakin semua wakil rakyatnya tidak akan meninggalkan Umno kerana mereka bermaruah.

“Saya tak fikir mereka akan pergi kerana saya tahu mereka pemimpin bermaruah, pemimpin yang berjiwa besar, menerima takdir dan mereka ini adalah pemimpin berjuang untuk rakyat, bukan untuk kepentingan individu, saya yakin.”

Sebuah portal berita melaporkan seorang Adun Umno akan menyertai PPBM kerana kecewa dengan pucuk pimpinan dan sukar menjalankan tugas sebagai wakil rakyat selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Jika Adun itu melompat parti, beliau akan menjadi satu-satunya wakil rakyat Pakatan Harapan di Kelantan kerana gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sementara itu, Jazlan mendakwa terdapat usaha agresif daripada parti lawan untuk menarik ahli dan pemimpin Umno Kelantan menyertai PPBM.

“Kita tidak mampu untuk menahan mereka kerana Umno parti yang besar, terlalu ramai, mana mungkin kita dapat mengawal ahli-ahli kita.

“Begitu juga parti lain, dari PAS, PKR ada yang menyertai Umno. Maknanya perpindahan dari satu parti kepada satu parti ini tidak mampu dikawal oleh mana-mana pemimpin.”

Beliau berharap semua ahli dan pemimpin terus beristiqamah dengan Umno dan tidak mengkhianati amanah rakyat.

“Kita masih sebuah parti yang besar dalam negara ini, jumlah di Parlimen kita masih ramai, jumlah Adun kita masih ramai, tidak ada satu sebab mengapa kita nak sertai parti lain.

“Hanya dalam tempoh 3 bulan kita sebagai pembangkang, kalau parti kerajaan hari ini menunggu berpuluh tahun tubuh kerajaan, tidak mustahil bila sampai masa dan ketika, Umno kembali menjadi kerajaan.

“Kita mesti ingat amanah dan tanggungjawab yang diberi adalah amanah daripada parti, kita menang atas tiket parti, maka kita tak boleh mengkhianatinya.”

Saturday, August 20, 2016

Tiga prinsip utama untuk UMNO, BN Kelantan menang PRU14 - Ahmad Zahid

 by Abdul Mursyid Zainuddin|
JELI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga prinsip utama untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid berkata, tiga prinsip yang perlu diamalkan oleh seluruh kepimpinan UMNO dan BN Kelantan itu ialah memenangi hati dan minda rakyat, elakkan budaya ‘cah keting’ (mencantas) dan jangan bersikap berkabilah (berpuak-puak).

“Kita mesti mendekati rakyat supaya hati dan minda mereka sayang kepada kepimpinan, mereka (rakyat) sayang kepada UMNO tetapi mereka benci perangai sesetengah pemimpin yang pentingkan diri sendiri dan tidak menunaikan amanah dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Pusat Dakwah Jeli, Pondok Moden di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata pemimpin di semua peringkat perlu ‘turun padang’ menemui rakyat pada setiap waktu dan bukannya bermusim terutama menjelang pilihan raya.

Kata beliau, ‘cah keting’ atau menikam dari belakang telah menyebabkan UMNO Kelantan menjadi lemah kerana ia tercetus daripada rasa kecemburuan politik yang menebal dalam kalangan pemimpin apabila melihat kejayaan rakan mereka.

“Jangan ada sikap nak cah keting, ini budaya lama dan (UMNO) di bawah kepimpinan (Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang tidak ada chah keting, dan budaya ini perlu diketepikan,” katanya.

Beliau juga mahukan anggota dan pemimpin UMNO Kelantan mengenepikan sikap ‘duri dalam daging’ yang boleh merosakkan kesaksamaan dan keakraban dalam kalangan mereka.

Ahmad Zahid juga tidak mahu wujud kabilah atau berpuak-puak dalam UMNO Kelantan sebaliknya beliau mahu seluruh pemimpin saling percaya mempercayai dan bekerja dalam sebuah pasukan.

Jelas beliau, UMNO Kelantan perlu sedar bahawa sikap buruk telah menyebabkan mereka menjadi lemah dalam tempoh lama iaitu 26 tahun sejak PAS memerintah negeri ini pada 1990.

Beliau percaya, sekiranya mereka dapat melaksanakan semua prinsip ke arah kebaikan dan kemenangan, UMNO dan BN akan kembali memerintah negeri ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 8,000 orang itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 – BERNAMA

Monday, March 28, 2016

Deklarasi Kelantan sokong pecat Muhyiddin, Mukhriz

NIZAM ZAIN
28 MAC 2016
Datuk Seri Mustapa Mohamed.
KUALA LUMPUR - Semua pimpinan Umno Kelantan sebulat suara bersetuju memecat mana-mana pemimpin parti itu yang terlibat dalam usaha penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan itu dicapai pihaknya menerusi 'Deklarasi Kelantan' sebagai ikrar taat setia kepada presiden parti.

"Ikrar taat setia itu diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan pada Khamis lepas. Deklarasi ini ditandatangani oleh semua ketua bahagian semasa perhimpunan 'Deklarasi Kelantan pada 19 Mac lalu.

"Kami sependapat mereka kena dipecat daripada parti, itu bertulis dalam deklarasi itu bertarikh 19 Mac lalu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang menghadiri Kongres Rakyat anjuran pembangkang di Shah Alam, pada Ahad lepas.

Mustapa juga mengesahkan bahawa veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah turut menandatangani deklarasi, sekali gus menyatakan sokongan kepada usaha mempertahankan kepimpinan Najib.

Thursday, November 12, 2015

Peguam negara akui bertanding atas tiket Umno dalam PRU 1990

OLEH LIONEL MORAIS DAN ANISAH SHUKRY
Published: 12 November 2015 5:40 PM

Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui menjadi calon bagi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) pada 1990, tetapi menafikan ia mempengaruhi peranannya sebagai peguam negara pada masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 November, 2015.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui menjadi calon bagi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) pada 1990, tetapi menafikan ia mempengaruhi peranannya sebagai peguam negara pada masa ini.

“Ya, saya pernah jadi calon tetapi semua orang perlu diingatkan setiap suruhanjaya kehakiman, hakim mahkamah tinggi, hakim mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan perlu angkat sumpah untuk menegakkan undang-undang.

“Jadi berat sebelah apa yang mereka cakap ini?,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana Datuk Ariff Yussof, yang bertanding atas tiket PAS dalam PRU pada 2004, kemudiannya dilantik sebagai suruhanjaya kehakiman pada 2008.

Apandi berkata beliau sendiri dilantik sebagai suruhanjaya kehakiman pada 2013, iaitu 13 tahun selepas bertanding dalam PRU pada 1990 itu.

Peguam negara berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dokumen mahkamah yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider, yang mendedahkan beliau bertanding sebagai calon Umno pada 1990.

Apandi kemudian ketika menjadi hakim bagi satu kes di Mahkamah Tinggi Kelantan, diminta memberi respons terhadap permohonan melucutkan kelayakannya mendengar kes itu dengan alasan beliau akan berat sebelah.

“Saya menjadi calon untuk Umno pada PRU 1990 adalah situasi yang sudah lama, 14 tahun lalu,” tulis Apandi, ketika menolak permohonan berkenaan pada 18 April, 2004.

Dalam temubual eksklusif dengan The Malaysian Insider yang disiarkan pada Selasa, Apandai menafikan beliau pernah memegang jawatan bendahari Umno Kelantan, meskipun pelbagai laporan menyatakan sebaliknya.

Apandi berkata jawatan rasmi tertinggi dipegangnya ialah ketua Pemuda Umno di bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tetapi bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dengan cepat berkata jawatannya dalam Umno “tiada apa-apa” dan tidak ada kaitan dengan jawatankuasa penerangan negeri.

Beliau juga dikenali sebagai “penasihat undang-undang” Umno kerana mengendalikan petisyen pilihan raya parti itu selepas PRU pada 1982.

Tetapi, dalam Perlembagaan parti, tidak wujud jawatan penasihat undang-undang, kata Apandi.

Walaupun ada yang berkata tanpa memegang jawatan, tempoh yang lama dalam Umno akan menyebabkan beliau terhutang budi kepada parti itu, Apandi berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata, beliau menghabiskan lebih banyak masa di Majlis Peguam; 12 tahun, berbanding 9 tahun dalam Umno.

“Saya jadi mangsa tanggapan salah kerana setahu saya, tempoh singkat salam dalam Umno – jelasnya saya tidak memegang sebarang jawatan tinggi – digunakan (terhadap saya) untuk mengatakan saya orang Umno dan sebagainya.

“Tetapi, sebaliknya, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam,” katanya. – 12 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam-negara-akui-bertanding-atas-tiket-umno-dalam-pru-1990#sthash.SDGVUkbu.dpuf

Thursday, March 19, 2015

DUN Kelantan lulus pindaan Kanun Jenayah Syariah

ASLANI M
KOTA BHARU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II pindaan 2015 dilulus dengan sokongan padu ahli dewan.

Peristiwa itu merakam detik bersejarah kedua selepas mendapat sokongan kesemua ahli dewan pada November 1993. Ketika itu dua Adun BN dari Sungai Pinang dan Limbongan.

Dan hari ini, apabila ditanya speaker, Datuk Abdullah Yakub kesemua 44 Adun termasuk 12 Adun pembangkang menyokong dengan berkata bersetuju.

Turut menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang melibatkan perundangan hudud, qisas dan takzir itu ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas) yang juga pengerusi Umno Kelantan.

Selain itu Ruslan Puteh (PKR-Guchil) yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan.

Rang Undang-Undang diluluskan sehingga diberitahu melalui pewartaan kerajaan. – HARAKAHDAILY

Sunday, February 15, 2015

PAS tetap sedia pertahan DUN Chempaka

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 15 Februari 2015.
TEMERLOH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS tetap bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Kelantan sama ada melalui pilihan raya kecil (PRK) atau sebaliknya.

“PAS bersedia dalam apa saja keadaan sama ada akan ada PRK Chempaka nanti menentang calon dari BN ataupun calon Bebas ataupun menang tanpa bertanding.

“Persoalan mungkin BN tidak meletakkan calon, dulupun pernah berlaku dalam PRK Penanti (Pulau Pinang),” katanya dalam sidang media selepas majlis Taklimat Tertutup antara barisan Jawatan Kuasa Harian PAS Pusat diketuai Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Jawatan Kuasa PAS kawasan-kawasan negeri ini di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai saranan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa BN tidak perlu meletakkan calon bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di negeri itu.

Pendapat tersebut turut dikongsi Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin

Sementara itu, mengenai calon PAS yang akan menggantikan tempat Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mohamad berkata Perhubungan PAS Kelantan dan Pusat belum bermesyuarat.

“Tunggulah, kita belum bincang lagi dan SPR juga belum umumkan kekosongan lagi,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat dan Setiausaha PAS negeri, Roslan Zainal.

Sementara itu jelajah pimpinan PAS Pusat ke seluruh negeri ini bermula dengan kuliah subuh hari ini, taklimat tertutup, jamuan rakyat di Bandar Pusat Jengka, ziarah, hi-tea dan ceramah umum serentak pada sebelah malamnya di Kuantan, Jerantut, Bera dan Kuala Krau. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-