Showing posts with label Dr Teo Kok Seong. Show all posts
Showing posts with label Dr Teo Kok Seong. Show all posts

Sunday, March 31, 2019

Peguam Negara tak sensitif isu iktiraf UEC, kata Prof Kok Seong

31/03/2019

Tindakan Tommy Thomas boleh cetus polemik berpanjangan


BANGI, 24 Rejab 1440H, Ahad – Peguam Negara, Tommy Thomas sepatutnya sensitif terhadap isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sebelum mengiktiraf lulusannya sebagai layak menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Malah, langkah Tommy mengiktiraf UEC untuk CLP adalah tindakan gopoh yang tidak menghormati sensitiviti rakyat, terutama orang Melayu, kata Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau menyifatkan kenyataan Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB), sebagai mengejutkan dan boleh mengelirukan masyarakat.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Kok Seong berkata, Tommy seharusnya lebih sensitif kerana UEC masih lagi berada dalam kajian dan pertimbangan kerajaan untuk diiktiraf.

“Sebelum ini hanya ada satu aspek dalam UEC sahaja yang diterima iaitu berhubung kemasukan ke institut pendidikan guru (IPG), itu pun untuk opsyen bahasa Cina dan melalui beberapa syarat lain yang ketat.

“Jadi, mengiktiraf UEC dalam CLP ini saya lihat tindakan yang gopoh. Kerajaan dan Tommy seharusnya lebih berhati-hati dengan menjaga sensitiviti umum kerana perkara ini ada kaitan dengan keharmonian sosial,” katanya, hari ini.

Kelmarin, Tommy dalam kenyataan berkata CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Tommy bakal mengundang polemik berpanjangan dan membuka isu yang lebih besar pada masa depan.

“Tommy mungkin terlepas pandang bahawa sejak mula lagi UEC tidak diiktiraf kerajaan sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Malah, pendapat ini turut sama dipegang tokoh sezaman beliau seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin. Tokoh ini turut sama memacu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan memiliki semangat nasional tinggi.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah jurang di antara kaum akan menjadi lebih besar kerana UEC dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina. Dengan medium pengajaran bahasa Mandarin, ini akan mengakibatkan kurangnya pendedahan komunikasi di antara pelajar tersebut dengan pelajar dari kaum lain di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap UEC juga bermakna negara akan melahirkan generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum.

“Kesannya mungkin tidak dirasai secara mengejut tetapi masalah perbezaan pendapat di antara kaum akan lebih buruk sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf UEC hanya atas dasar kepentingan masyarakat Cina semata-mata,” katanya.

Monday, July 30, 2018

Ramai pihak ambil kesempatan

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
30 JULAI 2018

KOK SEONG

SHAH ALAM - Dasar liberal dan kebebasan bersuara yang digalakkan kerajaan baharu PH didakwa menyebabkan ramai pihak mengambil kesempatan.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ini termasuklah tindakan segelintir pihak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan kaum dan membangkitkan kemarahan khususnya orang Melayu.

Beliau berkata, antaranya ialah isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kenyataan menteri mengenai kedatangan orang India di Tanah Melayu serta pengiktirafan komunis dalam sejarah negara.

“Cukup menyedihkan apabila akhir-akhir ini terdapat banyak sangat kenyataan daripada orang bukan Melayu yang menyakitkan hati orang Melayu. Ini semua kerana kerajaan baharu ini menggalakkan dasar liberal.

“Maksudnya, mereka galakkan rakyat bebas bersuara dan galakkan perubahan. Galakan itu telah menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan membangkitkan isu sensitif,” katanya kepada Sinar Harian.

Kok Seong berkata, semua pihak perlu bertekad menghentikan semua perkara yang boleh jejaskan hubungan kaum di negara ini lebih-lebih lagi menjelang bulan kebangsaan.

“Saranan saya kepada pemimpin tertinggi kerajaan yang rata-ratanya Melayu, khususnya perdana menteri dan timbalan perdana menteri, mereka harus lebih tegas menegur pemimpin DAP yang nampaknya sekarang agak lantang menuntut pelbagai perkara,” katanya.

Menurutnya, tidak salah sekiranya kerajaan ingin membawa dasar yang lebih liberal tetapi harus dilakukan secara perlahan-lahan.

“Ini tidak sampai tiga bulan mereka memerintah nampak sangat dah besar kepala. Ini cukup berbahaya kepada hubungan etnik.

“Kalau nak lebih saksama dari banyak segi, ia harus dibuat perlahan-lahan. Tak boleh mendadak seperti sekarang supaya orang Melayu tak terkejut dan marah,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-