Showing posts with label Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim). Show all posts

Tuesday, September 24, 2024

Tindakan Jaim pecat, tukar pegawai keterlaluan, zalim - PN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 24, 2024 9:46 AM
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) tampil menyelar tindakan tatatertib Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) ke atas empat pegawainya susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu, minggu lalu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang gambarnya disiarkan di slaid semasa khutbah Jumaat di semua masjid dan surau di Melaka pada 20 September lalu berkata, tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan ke atas pegawai Jaim berkenaan adalah keterlaluan.

“Saya amat bersimpati dan terkejut dengan tindakan yang amat keterlaluan dikenakan ke atas pegawai Jaim yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di X.
Slaid Jaim yang bertajuk “Negaraku, Tanah Air Ku”, bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September itu mencetuskan kontroversi apabila wajah Abdul Hadi diselitkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi; “Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia”.

Dalam slaid berasingan, turut dipaparkan wajah bekas Yang di-Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berbanding wajah Agong baharu, Sultan Ibrahim.
Ia menimbulkan pelbagai persoalan kerana agensi kerajaan sendiri dikatakan tidak mengemaskini info pentadbiran baharu dan didakwa tidak cakna dengan larangan penyebaran agenda politik di masjid.

Jaim bagaimanapun dalam satu kenyataan, kemudian membuat permohonan maaf atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan terdapat ralat dalam infografik yang disediakan serta menarik balik infografik tersebut dengan serta merta.

Sementara itu, ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, tindakan memecat atau penukaran jawatan itu adalah bersifat politik, semata-mata.

Dalam satu hantaran di Facebook, pemimpin Bersatu itu yang juga adalah pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, ini jelas menunjukkan pemikiran kerajaan negeri yang sempit, dan zalim.
Mas Ermieyati Samsudin

“Ke sebab nak menjaga hati rakan sekutu iaitu DAP dalam kerajaan negeri Melaka ni? “

“Sampai menyebabkan tindakan menakut-nakutkan orang ramai dengan imej ulama boleh menyebabkan keharmonian tergugat!!

“Gila!” tulisnya.
Mas Ermieyati juga mengingatkan bahawa Abdul Hadi merupakan mantan naib ketua Kesatuan Ulama Sedunia malah dia telah menghasilkan ratusan kitab agama dan menulis tafsirnya sendiri.

“Zalim benar kerajaan negeri Melaka ni!

“Takkan dengan ada gambar Abdul Hadi dalam slaid yang tak beberapa saat dalam khutbah Jumaat baru-baru ini sampai boleh buat tindakan memecat atau menukar pegawai Jaim,” katanya.
Semalam, exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.

Dalam masa, katanya, Jaim memberi jaminan kesilapan seumpama itu tidak akan berulang, malah menganggap isu berkenaan sudah selesai.

Friday, April 3, 2015

Ada juga yang sanggup buat air zamzam tiruan

Air zamzam tiruan bukan dibungkus di Melaka

Gambar ini menunjukkan seorang lelaki sedang mengisi air zamzam palsu dalam botol yang didakwa berlaku di Melaka dan tersebar di media sosial. - Foto FB

MELAKA, 3 April:

Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menafikan pembungkusan air zamzam tiruan, seperti yang tersebar di laman sosial Facebook hari ini, dilakukan di premis negeri itu.

Ketua Penguatkuasanya, Rahimin Bani berkata, pihaknya tidak pernah mendapat maklumat mahupun melakukan serbuan di mana-mana premis yang didakwa membungkus air zamzam tiruan itu.

“Viral gambar yang memaparkan pembungkusan air zamzam tiruan ini sengaja diada-adakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, bertujuan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran gambar itu mungkin juga berlaku dari luar negara, bukan seperti yang didakwa berlaku di Melaka,” lapor Harian Metro Online.

Rahimin berkata, pihaknya berharap orang ramai menghentikan penyebaran gambar terbabit, bagi mengelakkan timbulnya salah faham.

Penyebaran gambar ini mula menjadi viral di Facebook sejak pagi tadi, di mana empat keping gambar menunjukkan ratusan kotak serta seorang lelaki sedang mengisi air zamzam tiruan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/03/air-zamzam-tiruan-bukan-dibungkus-di-melaka/#ixzz3WFr8AtIG

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-