Showing posts with label Jabatan Tenaga Kerja. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Tenaga Kerja. Show all posts

Wednesday, November 15, 2017

Isu tudung : Tindakan pada majikan diskriminasi

By watan
on November 15, 2017

Kementerian Sumber Manusia memberi amaran tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar hak serta melakukan diskriminasi kepada pekerja di Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, produktiviti dan prestasi syarikat adalah fokus yang harus diberi keutamaan berbanding isu konsep pemakaian yang kononnya didakwa melanggar etika antarabangsa.

Menurutnya, dalam etika berpakaian dalam kalangan pekerja, selagi mereka tidak memakai pakaian yang melanggar norma budaya, bangsa dan agama ia tidak perlu dipersoalkan oleh majikan apatah lagi dalam isu pemakaian tudung.

“Saya mahu memberi amaran kepada majikan dalam semua sektor samada awam atau swasta, jangan lakukan diskriminasi atau halangan kepada sesiapa yang ingin memakai tudung ke tempat kerja kerana ia langsung tidak melanggar mana-mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) .

“Utamakan produktiviti dan kemajuan syarikat, janganlah duduk sibuk pasal larangan pakai tudung atau tak,” katanya yang turut menggesa para pekerja melakukan aduan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya merasa tertindas atau didiskriminasi oleh majikan dalam isu pemakaian tudung.

“Jika ada pekerja wanita yang ditamatkan kerja sebab bertudung, laporkan kepada kita (JTK) dan kita akan siasat majikan tak bertanggungjawab itu.

“Tindakan boleh diambil mengikut Faedah Penamatan kerja dan faedah-faedah lain di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) atau representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya di Putrajaya pada Selasa.

Jelasnya lagi, Perlembagaan negara jelas mengenai hak rakyat untuk mengenakan pakaian mengikut kepercayaan agama mereka dan pihak lain kena menghormatinya.

“Jika keadaan diskriminasi ini terjadi ia oleh meresahkan sesama kaum. Jadi perlu adanya persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat untuk kesejahteraan negara,” ujar beliau.

Wartawan Watan-Online

Sunday, May 1, 2016

Surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan pekerja asing

Ramai anak tempatan menunggu peluang bekerja di kilang. Realitinya, majikan mengaji pekerja asing kerana lebih senang diurus dan dibuli.

FMT LETTERS
Oleh Jeyakumar Devaraj

Kepada:

YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,

Pada 21/4/2016 surat-surat khabar tempatan telah melaporkan bahawa pihak majikan mengatakan perniagaan mereka terjejas kerana mereka tidak dapat bekalan pekerja asing yang mencukupi. Suratkhabar The Star melaporkan bahawa,
84% daripada kilang-kilang sedang menghadapi kekurangan pekerja
49% daripada kilang tidak dapat menempuhi order yang sedia ada
21% telah menutup beberapa line pengeluaran dalam kilang kerana kekurangan pekerja

Mereka sedang merayu pada kerajaan untuk membenarkan mereka membawa masuk pekerja asing baru.

Saya harap Yang Berhormat akan meneliti situasi sebenarnya sebelum membenarkan permohonan mereka.

Yang Berhormat, di kawasan saya di Sungai Siput, Perak, ada beribu-ribu orang tempatan yang tidak dapat kerja penuh masa.
Dalam satu kajian di Sungai Siput, saya mendapati bahawa 43% daripada lelaki dalam kawasan luar bandar hanya dapat kerja 3 atau 4 hari seminggu.

Ada penoreh getah, “kerja kampung” dan pekerja kontrak dalam kalangan yang menghadapi masalah pengangguran.

Lebih daripada 45% daripada keluarga di kampong memperolehi pendapatan isi rumah di bawah RM 1200 sebulan. Sudah tentu adanya ramai orang di kawasan saya yang rela kerja di kilang-kilang jika ditawarkan kerja.

Masalahnya Dato’ Seri, adalah syarikat-syarikat perkilangan tidak begitu berminat mengupah orang tempatan kerana lebih murah untuk mengupah pekerja asing. Tiada perlu mencarum pada KWSP untuk pekerja asing. Memang kena membayar levi untuk pekerja asing, tetapi ramai majikan memotong bayaran ini daripada gaji pekerja asing. Majikan juga menjimatkan kos dengan mengurangkan bayaran ‘overtime’ untuk pekerja asing.


Ada majikan yang membayar lebih masa yang dikira hanya selepas 10 jam tempoh kerja. Ada juga majikan yang bayar lebih masa dengan kadar 1.0 dan bukan 1.5 kali gaji satu jam sepertimana yang ditetapkan dalam Akta Kerja. Realitinya ialah para pekerja asing takut mengadu kerana mereka boleh dibuang kerja ataupun dibatalkan permit kerja mereka. Justeru itu, malangnya, majikan minat mengaji pekerja asing kerana mereka lebih senang diurus dan dibuli.

Maka, bagaimanakah Kerajaan boleh memainkan peranan untuk membuka ruang kepada golongan 40% berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan peluang pekerjaan di kilang-kilang. Mereka sekarang ini mengadu susah untuk dapat pekerjaan?

Satu kempen harus dilancarkan Jabatan Tenaga Kerja untuk mengenalpasti masyarakat tempatan yang berminat bekerja di kilang. Mereka yang berminat harus didaftarkan. JTK perlu bergerak ke kampung-kampung dengan kaunter mobil dan mendaftarkan para anak muda ini.

Pada masa yang sama Kerajaan harus meningkatkan penguatkuasaan dan memastikan majikan kilang tidak memaksa pekerja untuk melakukan kerja ‘overtime’. Pekerja tempatan mempunyai tanggungan keluarga berbanding dengan pekerja asing.

Maka kebanyakan majikan mengunakan alasan bahawa pekerja tempatan malas dan tidak mahu kerja lebih masa. Ada ramai pekerja tempatan yang ada tanggungjawab keluarga, dan mereka perlu meluangkan masa melaksanakan tanggungjawab ini. Jika kilang-kilang menawarkan kerja 8 jam sehari dan mengaturkan kemudahan pengangkutan sudah tentu ramai orang tempatan yang rela bekerja.

Jika kita berjaya menggalakkan masyarakat daripada B40 ini berkerja di kilang kita dan bukannya pekerja asing, maka pendapatan mereka akan naik. Permintaan dalam pasaran di kawasan luar bandar juga akan meningkat apabila pekerja tempatan kita yang bergaji ini membelanjakan duit mereka dalam kalangan peniaga kecil di desa dan pasar malam setempat.

Jika para penduduk setempat bekerja dan bergaji tetap, ianya akan membantu semua peniaga kecil dan kegiatan perniagaan di kawasan itu.

Pada takat ini lebih kurang RM30 bilion dihantar keluar negara oleh pekerja asing, apabila mereka menghantar pulang pendapatan ke keluarga mereka di negara asal. Jika sebahagian daripada duit ini dapat dikitarkan dalam ekonomi tempatan, ramai perniaga kecil akan bermanfaat .

Faedahnya amatlah besar pada negara kita jikalau kita dapat kurangkan kadar pengangguran dalam kalangan B40 kita dengan membuka peluang untuk mereka berkerja di kilang-kilang dan di sektor perkhidmatan. Oleh itu, kami memohon pada Dato’Seri, supaya jangan membenarkan kemasukan pekerja asing pada takat ini. Tumpukan pada usaha mengembleng pekerja tempatan untuk memenuhi kekosongan kerja yang ada.

Sebagai tambahan, selain daripada membawa masuk pekerja asing baru, cadangan untuk mendaftar pekerja asing tanpa dokumen yang sudah berada di Malaysia dan menghubungkan mereka kepada semua pekilang-kilang yang memerlukan pekerja harus dijalankan dengan serius.

Terima kasih.

Yang benar,

Jeyakumar Devaraj
Ahli Parlimen Sungai Siput
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-