Showing posts with label Kementerian Sumber Manusia. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Sumber Manusia. Show all posts

Friday, January 31, 2025

Gaji minimum RM1,700 kuat kuasa esok, manfaat 4.37 juta pekerja

freemalaysiatoday.com
Bernama
31 Jan 2025, 01:13 PM

Kementerian Sumber Manusia berkata kenaikan kadar itu selaras agenda Ekonomi Madani menekankan keadilan sosial dan sejahtera rakyat.
Kementerian Sumber Manusia berkata majikan gagal patuh perintah gaji minimum boleh didenda bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

PUTRAJAYA: Perintah gaji minimum baharu berkuat kuasa di seluruh negara mulai esok, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih dan majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja digajikan majikan.

Bagi majikan menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Kementerian dalam kenyataan, memaklumkan langkah berkenaan bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi Madani menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” menurut kenyataan.

Kementerian turut menegaskan semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah gaji minimum itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.

Kegagalan majikan mematuhi perintah gaji minimum merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Kementerian itu turut mengingatkan gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.

“Pelaksanaan perintah gaji minimum ini merupakan satu daripada pendekatan besar kementerian dalam meningkatkan pendapatan kaum pekerja, selain pelaksanaan dasar gaji progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.

“Dengan pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja pendekatan ini dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Justeru, kementerian menyeru semua majikan, pekerja, dan pihak berkepentingan industri bekerjasama memastikan kejayaan pelaksanaan perintah gaji minimum baharu tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai perintah gaji minimum baharu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://minimumwages.mohr.gov.my/ dan bagi sebarang pertanyaan, majikan atau pekerja boleh emel kepada minimumwages@mohr.gov.my.

Friday, June 22, 2018

Kulasegaran: Hanya tukang masak tempatan dibenarkan mulai tahun depan

Bernama | June 22, 2018

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, berkata pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka.
Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Menterinya M Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka dan peraturan baru itu dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2019.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Dis untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” katanya, semalam.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya.

Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan PRISMA serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden Prisma P Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Muthusamy berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.

Wednesday, November 15, 2017

Isu tudung : Tindakan pada majikan diskriminasi

By watan
on November 15, 2017

Kementerian Sumber Manusia memberi amaran tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar hak serta melakukan diskriminasi kepada pekerja di Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, produktiviti dan prestasi syarikat adalah fokus yang harus diberi keutamaan berbanding isu konsep pemakaian yang kononnya didakwa melanggar etika antarabangsa.

Menurutnya, dalam etika berpakaian dalam kalangan pekerja, selagi mereka tidak memakai pakaian yang melanggar norma budaya, bangsa dan agama ia tidak perlu dipersoalkan oleh majikan apatah lagi dalam isu pemakaian tudung.

“Saya mahu memberi amaran kepada majikan dalam semua sektor samada awam atau swasta, jangan lakukan diskriminasi atau halangan kepada sesiapa yang ingin memakai tudung ke tempat kerja kerana ia langsung tidak melanggar mana-mana Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) .

“Utamakan produktiviti dan kemajuan syarikat, janganlah duduk sibuk pasal larangan pakai tudung atau tak,” katanya yang turut menggesa para pekerja melakukan aduan ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya merasa tertindas atau didiskriminasi oleh majikan dalam isu pemakaian tudung.

“Jika ada pekerja wanita yang ditamatkan kerja sebab bertudung, laporkan kepada kita (JTK) dan kita akan siasat majikan tak bertanggungjawab itu.

“Tindakan boleh diambil mengikut Faedah Penamatan kerja dan faedah-faedah lain di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) atau representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya di Putrajaya pada Selasa.

Jelasnya lagi, Perlembagaan negara jelas mengenai hak rakyat untuk mengenakan pakaian mengikut kepercayaan agama mereka dan pihak lain kena menghormatinya.

“Jika keadaan diskriminasi ini terjadi ia oleh meresahkan sesama kaum. Jadi perlu adanya persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat untuk kesejahteraan negara,” ujar beliau.

Wartawan Watan-Online

Friday, February 19, 2016

Berita yang pasti tidak akan tersiar dalam TV dan surat khabar kerajaan

MTUC bantah pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh
This Page Send by Email


Putrajaya – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan berhubung langkah untuk membawa masuk 1.5 pekerja dari Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia Kua Abun oleh Setiausaha Agung MTUC N.Gopal Krishnam di kementerian berkenaan di sini.

Memorandum tersebut antara lain meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan Pekerja Asing dan membatalkan pengambilan warga asing berkenaan demi kepentingan rakyat Malaysia.

“MTUC merasakan sekiranya kerajaan serius untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi maka kerajaan harus mengehadkan pengambilan pekerja asing.

“Negara tidak harus bergantung kepada sumber tenaga kerja dari negara asing. Keadaan ini sudah tentu akan memudaratkan ekonomi dan memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan,” menurut memorandum itu. – Bernama
Read more http://www.kualalumpurpost.net/mtuc-bantah-pengambilan-1-5-juta-pekerja-bangladesh/

Friday, November 28, 2014

Pengangguran di Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand, Singapura


KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kerajaan perlu mengambil langkah segera menangani masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) di kalangan anak muda kerana memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, antara langkah perlu diambil adalah berkaitan mutu pendidikan, latihan dan pekerjaan.

“Mutu pendidikan, latihan dan pekerjaan hari ini amat penting kerana kesannya akan kekal sekurang-kurangnya untuk satu dekad.

“Jika tiada langkah signifikan diambil hari ini, kita akan lihat kesan buruknya.

“Bukan sahaja kepada anak muda, tetapi ekonomi negara keseluruhannya sepuluh tahun daripada sekarang,” kata Steven dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2015 bagi peruntukan Kementerian Sumber Manusia semalam.

Beliau merujuk artikel The Economist edisi September 2011 berhubung kajian di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mendapati pengangguran awal 20-an meninggalkan ‘parut gaji’ yang memberi kesan kepada mutu pekerjaan ketika menginjak usia 30 tahun.

Dalam sesi perbahasan sebelumnya, beliau membangkitkan jawapan Parlimen

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot sebelum ini berkata, pengangguran anak muda di Malaysia pada kadar 10.4 peratus, lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand (3.4 peratus) dan Singapura (7 peratus).

Berhubung aspek guna tenaga tidak penuh, Kementerian Sumber Manusia menyatakan majoriti anak muda (usia 15-24 tahun) bersamaan 67 peratus mendapat gaji RM1,000 ke bawah dan 21 peratus lagi antara RM1,000 hingga RM1,500.

“Berpandukan paras kemiskinan kerajaan Pakatan Selangor pada RM1,500, 88 peratus adalah dalam kategori miskin.

“Ini juga menunjukkan sistem pendidikan kita termasuk program latihan semula yang gagal memberi pekerjaan yang bagus kepada anak muda,” kata Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP itu lagi.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan membuat kajian terperinci berhubung isu ini.

“Hari ini, tiada banyak maklumat tentangnya. Sedangkan kita perlu memahami masalah ini dengan lebih baik bagi merangka penyelesaian yang lebih baik.

“Saya menyeru Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama kementerian berkaitan mengeluarkan laporan NEET (Not in Education, Employment or Training) yang digunakan banyak negara untuk lebih memahami masalah anak muda ini,” katanya lagi. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-