Showing posts with label Kanun Jenayah Syariah II. Show all posts
Showing posts with label Kanun Jenayah Syariah II. Show all posts

Sunday, March 22, 2015

PAS keluar Pakatan, itu dalam ilmu Allah - Presiden

HARAKAHDAILY
MARANG: "Itu dalam ilmu Allah. Saya pun tidak tahu bila saya mati," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada pertanyaan media sama ada PAS akan keluar Pakatan Rakyat ekoran isu berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan pada persidangan Dun Kelantan, 19 Mac lalu.

"Kita (PAS) masih dalam Pakatan Rakyat," tegasnya pada sidang media selepas tamat program Pidato Kemuncak pada malam terakhir Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Dewan Tok Guru, Rusila tengah malam tadi.

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS dan Setiausaha Agung, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali serta Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Justeru, beliau berkata, kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perkara akan datang yang berada dalam ilmu Allah.

"DAP tak setuju, itu hak dia," ujarnya apabila ditanya mengenai pedirian DAP yang tidak bersetuju dengan enakmen tersebut.

Katanya, PAS juga tidak setuju dengan pilihan raya majlis berkuasa tempatan yang dicadangkan oleh DAP.

"Kita tak setuju, kita diam," ujarnya.

Beliau menegaskan lagi bahawa Pakatan Rakyat adalah pakatan yang longgar dan masing-masing ada pandangan berbeza.

"Kita tidak boleh halang berbeza pandangan. Kita pernah dalam kenyataan bersama pada 2011 kita terima itu (kanun jenayah syariah) hak negeri. Kita beri peluang kepada DAP untuk tidak setuju," ujarnya.

Justeru, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS adalah Melayu yang tidak mudah lupa.

"Kita Melayu yang tidak lupa, bukan mudah lupa. Kewajipan kita bentang, setuju tak setuju tengok dulu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang menyatakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan tidak mungkin dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

Kata menteri itu, ini berikutan banyak lagi Rang Undang-undang kerajaan perlu dibentangkan pada sidang Parlimen (Dewan Rakyat) kali ini yang akan berakhir 9 April hadapan.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memutuskan perkara itu nanti.

"Itu kita lihat dulu, kita tidk boleh bercakap perkara akan datang. Itu ikut peraturan dewan. Itu biasalah dalam negara demokrasi. Kita kemuka Rang Undang-Undang Persendirian secara demokrasi," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Saturday, March 21, 2015

Kelantan istiqamah dengan Kanun Jenayah Syariah II

HARAKAHDAILY
MARANG: Kerajaan Kelantan tetap istiqamah untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II setelah PAS diberi izin berkuasa kali kedua oleh Allah Taala pada 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nassuruddin Daud berkata, dengan kuasa yang diberikan oleh Allah itu, kerajaan negeri telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah II pada 25 November 1993.

Justeru, katanya pindaan kanun itu yang merupakan undang-undang jenayah Islam merangkumi hudud, qisas dan takzir yang diluluskan pada persidangan Dun kelmarin bukanlah enakmen yang baharu.

Jelasnya, pindaan yang dibuat itu adalah untuk mengemas kini enakmen yang telah diluluskan pada 1993.

"Insya Allah, pada tahun 2015 kita laksana syariah Islam di Kelantan. Ini tekad kita, penegasan kita," ujarnya ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Rusila sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3, malam ini.

Beliau berkata, apabila kerajaan negeri mengemukakan pindaan enakmen itu telah mendapat sokongan sebulat suara daripada 44 Adun pada persidangan Dun, Khamis lalu.

Jelas beliau lagi, antara pindaan itu ialah seksyen 2 bahawa undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja yang melakukan kesalahan jenayah di Kelantan.

"Bukan Islam tiada ruang dihukum di bawah enakmen pindaan ini," katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau sepatutnya bukan Islam tidak menentang pelaksanaan enakmen tersebut.

Beliau menegaskan bahawa orang Islam wajib menerima undang-undang Islam itu dan bukan Islam tiada hak menghalang, apatah lagi menentangnya.

"Kita tidak akan layan sesiapa lawan hudud, kita wajib istiqamah meneruskan perjuangan kita," ujarnya. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-