Showing posts with label Ketua Menteri (KM). Show all posts
Showing posts with label Ketua Menteri (KM). Show all posts

Thursday, October 7, 2021

PH sahkan sedia terima 4 ADUN jadi punca krisis Melaka

agendaily.com
7/10/2
Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan (PH) mengesahkan kesediaan menerima sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi punca krisis politik di Melaka untuk membentuk satu kerajaan baharu dengan melantik seorang Ketua Menteri (KM) dikalangan wakil mereka.

Majlis Presiden PH menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Malah, turut mempersoalkan keputusan terdahulu yang berlaku ketika penyingkiran KM Adly Zahari ketika era kerajaan PH di Melaka selepas permintaan untuk membubarkan DUN tidak dipersetujui.

“TYT (Tun Ali Rustam) sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan,” kata kenyataan Majlis Presiden yang dikeluarkan secara bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan DSP Madius Tangau (UPKO).

Pendirian PH ini secara tidak langsung memberi isyarat berhubung kesediaan untuk menerima sokongan daripada empat ADUN yang bertindak menarik sokongan terhadap KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jika PH mendapat sokongan empat ADUN ini, ia bermakna mereka mendapat 15 majoriti dan akan memilih seorang KM yang baharu dari parti PH tetapi ia akan menimbulkan polemik memandangkan blok pembangkang sebelum ini meminta supaya satu undang-undang lompat parti baharu diperkenalkan.

Blok pembangkang itu sebelum ini menentang keras amalan segelintir wakil rakyat yang melompat parti tetapi dalam krisis politik Melaka mengambil keputusan yang sebaliknya, bukankah itu melanggar prinsip mereka.

Dalam pada itu, PH juga membidas Yang di-Pertua Negeri Melaka kerana keputusannya tersebut didakwa berdasarkan nasihat yang salah dari salah seorang Ketua Menteri yang sudah hilang majoriti.

Malah PH menyifatkan tindakan oleh pemerintah nombor satu Melaka itu juga melanggar prinsip duluan kerana sebelum ini pernah menolak permintaan sama untuk membubarkan DUN semasa era kerajaan PH yang juga hilang majoriti.

“Malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” kata kenyataan itu lagi.

Kerajaan Melaka pimpinan UMNO jatuh selepas empat ADUN yang terdiri daripada dua wakil UMNO juga menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Gerakan menjatuhkan kerajaan negeri tersebut diketuai ADUN UMNO (Sungai Udang), Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan bekas KM sebelum ini.

Gagal jadi PM, Anwar berpeluang jadi KM Melaka jika bertanding PRN

agendaily.com
7/10/2021
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menjadi Perdana Menteri (PM) berulang kali kini dilihat berpeluang cerah menjadi Ketua Menteri (KM) Melaka yang baharu sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.

Ketua Pembangkang wajar menguji tajinya dengan mengambil bahagian dalam PRN Melaka, memandangkan beliau juga sebelum ini bersekongkol dengan anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tidak menjadi permasalahan untuk Anwar masuk bertanding di Melaka kerana sebelum ini juga beliau dapat menang mudah di Port Dickson walaupun bukan kerusi tradisinya.

Kemenangan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) di Melaka boleh dijadikan pembakar semangat kepada Anwar yang sentiasa bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Bukankah sebelum ini Anwar juga beria-ria dan geli-geli mahu menjadi PM kononnya memiliki majoriti yang cukup, jadi apa salahnya jika beliau membuktikan majoriti yang dimilikinya dalam PRN Melaka nanti.

UMNO dijangka membuat pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan PN dan Anwar sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk meneruskan rancangan Jajaran Baharu yang selama ini diwar-warkan Zahid.

PRN Melaka boleh menjadi manifestasi sebagai satu bentuk kerjasama yang boleh dicapai antara Anwar dengan Zahid, gandingan cikgu dan anak murid itu pastinya akan membawa kemenangan yang besar buat UMNO dan PKR nanti.

Untuk rekod, ia bukan suatu yang janggal sekiranya Anwar diberikan laluan untuk bertanding dalam PRN Melaka, memandangkan sebelum ini pada 2014 satu gerakan politik yang dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’ dirancang untuk mengangkat Presiden PKR itu menjadi Menteri Besar (MB) Selangor.

Bagaimanapun hasrat Anwar untuk menjadi MB Selangor gagal ekoran sabitan kes Liwat II yang mengakibatkan beliau terpaksa ke tirai besi sekali lagi.

Kini, Anwar nampaknya berpeluang sekali lagi untuk mengulangi strategi ‘Langkah Kajang’ di Melaka dan berpeluang cerah untuk menjadi pemimpin nombor satu di negeri Hang Tuah itu, sekiranya ada rezeki mungkin selepas itu dapat menjadi PM pula selepas ini.

Kegagalan di Selangor tidak wajar melunturkan semangat Anwar yang sentiasa mengejar cita-citanya untuk menjadi PM, mungkin kali ini adalah platform terbaik buat dirinya membuktikan majoriti sebenar yang sebelum ini dilaung-laungkannya.

Dalam perkembangan lain, Zahid juga sudah membuat keputusan muktamad menolak kerjasama dengan PN khususnya Bersatu untuk mengharungi PRN Melaka, jadi tidak ada masalah bagi Anwar selaku cikgu menghubungi anak muridnya, Zahid sekali lagi bagi meneruskan rancangan mereka berdua untuk menggabungkan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Sekiranya langkah di Perak berjaya menghasilkan kerjasama dengan parti pembangkang walaupun Menteri Besarnya dari UMNO, tidak mustahil langkah sama itu boleh berulang di Melaka.

Rundingan pastinya sedang berjalan antara pemimpin UMNO dengan pembangkang seperti yang berlaku di Perak pada Disember 2020 lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkirkan sebagai MB dan diganti dengan Datuk Saarani Mohamad dari UMNO yang ketika itu mendapat dukungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti PKR dan DAP.

Namun, tindakan pembubaran DUN Melaka menjadi satu tamparan hebat kepada rancangan sulit yang mungkin berlaku antara UMNO dengan pembangkang di Melaka, ia mengakibatkan PRN terpaksa diadakan dan menyekat usaha menukar kerajaan yang sedang dirancang antara kedua-dua pihak.

Terdapat kemungkinan gerakan sama menukar MB Perak sebelum ini sebenarnya dirancang dalam krisis Melaka, tetapi tanpa disangka-sangka Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bertindak membubarkan dewan.

Apabila berlaku pembubaran DUN, ia akan memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan. Tindakan tersebut nampaknya menimbulkan kritikan dan kecaman khususnya daripada rakyat yang sudah penat melihat karenah ahli politik berebut kuasa.

Ketika usaha memerangi pandemik Covid-19 sedang menampakkan hasil dan rakyat sudah dapat hidup dengan sedikit bebas, ketika itu pula ahli politik juga mahu berebut kuasa.

Pastinya rakyat tidak mahu melihat satu lagi penularan mega Covid-19 sama berlaku selepas PRN Sabah. Kini, rakyat dapat menilai siapa sebenarnya dalang yang cuba mengambil kesempatan tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-