Showing posts with label Konvensyen Nasional Amanah. Show all posts
Showing posts with label Konvensyen Nasional Amanah. Show all posts

Saturday, December 15, 2018

'Amanah perlu lebih tonjolkan ulama, agamawan untuk lawan PAS'

Hariz Mohd & M Fakhrull Halim
Diterbitkan 15 Dis 2018, 2:13 petang


KONVENSYEN AMANAH | Amanah perlu lebih menonjolkan kumpulan ulama dan golongan agamawan dalam parti itu jika mahu menewaskan PAS, kata seorang perwakilan.

Perwakilan Amanah Pahang Sazli Mohd Noor berkata parti itu masih gagal menjadi kuasa pengimbang kepada PAS dalam politik.

"Setakat hari ini Amanah masih belum diharap rakyat secara keseluruhan sebagai parti yang boleh mengimbangi kuasa 'radikal' PAS dalam arena politik.

"Ini kerana kita belum berjaya menonjolkan golongan ulama dan asatizah kita. Di mana mereka?

"Kumpulan ini mesti dibawa ke depan. Merekalah yang mampu meredakan, menewaskan parti yang 'radikal' dan kita berharap parti kita tida mengabaikan golongan ulama," katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden, hari ini.

Tiada lagi 'flip-flop'

Sementara itu, perwakilan Amanah Perlis Muhammad Yahaya menggesa pemimpin parti itu memainkan peranan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) agar tiada lagi keputusan dan dasar yang tidak konsisten di masa depan.


Beliau berkata perkara itu hanya akan mengelirukan dan mencetuskan kemarahan rakyat.

"Hari ini kita tengok banyak keputusan tidak konsisten dan 'flip-flop'. Contohnya isu PTPTN.

"Rakyat jadi keliru dengan kita, kita buat keputusan kemudian mengubahnya (dalam masa singkat)," katanya lagi.

Beliau merujuk skim pemotongan gaji baru terhadap peminjam PTPTN yang kemudian ditangguhkan susulan bantahan pelbagai pihak, termasuk dalam PH sendiri.

"Saya minta pimpinan, terutama yang ada dalam Majlis Presiden PH, untuk menegur...Walaupun yang terlibat (dengan keputusan) dari parti lain, tetapi kita ada autoriti untuk pastikan ia tidak berulang," katanya yang merujuk Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menganggotai majlis itu.

Wakil Pemuda koyak kertas gambarkan kekecewaan rakyat

M Fakhrull Halim & Hariz Mohd
Diterbitkan 15 Dis 2018, 1:02 petang |


KONVENSYEN AMANAH | Wakil Pemuda Amanah Mohd Ammar Atan nampaknya mempunyai cara tersendiri bagi menggambarkan kekecewaan rakyat terhadap manifesto-manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan.

Dan cara itu hanya memerlukan sekeping kertas.

“Tuan-tuan, bayangkan kalau inilah Buku Harapan yang kita janjikan kepada rakyat. Apa perasaan rakyat? Apa perasaan rakyat?

“Mereka kemukkan manifesto rakyat ini!” katanya sambil mengoyakkan sekeping kertas yang dipegangnya ketika berucap di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Ipoh hari ini.

“Itulah bagaimana perasan rakyat apabila melihat banyak janji yang dijanjikan oleh kita tak mampu dilaksanakan,” sambungnya lagi disambut oleh sorakan ratusan peserta konvensyen.

Antara janji manifesto yang belum dilaksanakan sejak PH mentadbir ialah penangguhan pinjaman PTPTN dan penghapusan tol secara berperingkat.

Namun hanya isu PTPTN yang termasuk dalam janji seratus hari manakala penghapusan tol dalam masa lima tahun.

Mohd Ammar berkata lagi, biarpun Amanah telah berjaya menjadi parti kerajaan di dalam PH, soal dasar dan janji dalam manifesto tidak harus dilupakan, sebaliknya sentiasa menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menaruh sepenuh keyakinan kepada barisan kepimpinan PH untuk melaksanakan janji-janji yang telah dikemukan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Kita yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, dengan timbalan perdana menteri, dengan Abang Mat (Mohamad Sabu), dan kepimpinan (lain) di atas bahawa janji yang dijanjikan dalam manifesto PH pasti akan dapat dilaksanakan.

“Ini yang kita mahu, sebab dalam PRU-15 akan datang kita akan dituntut semula ke mana janji kita," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-