Showing posts with label MAQIS. Show all posts
Showing posts with label MAQIS. Show all posts

Thursday, January 23, 2025

Maqis rampas 29,113kg tongkeng ayam

KOSMO! ONLINE
Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
23 Januari 2025, 11:34 am
MAQIS Johor merampas tongkeng ayam yang cuba diseludup masuk melalui Kompleks KSAB, Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

ISKANDAR PUTERI – Cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup masuk 29,113 kilogram tongkeng ayam bernilai RM340,856 berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, cubaan itu digagalkan semasa memeriksa sebuah lori menghala masuk Malaysia di Kompleks Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini.

“Hasil pemeriksaan bersepadu dibuat, pihak berkuasa menemukan 2,241 kotak berisi tongkeng ayam yang cuba dibawa masuk tanpa permit import Maqis.

“Produk makanan itu juga didapati dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Edie Putra,bpemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import Maqis merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya lanjut.

 – KOSMO! ONLINE

Friday, December 16, 2022

Telur import dari India sudah tiba

hmetro.com.my
Irwan Shafrizan Ismail
am@hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam import dari India pagi ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian ditetapkan.

"MAFS telah membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara sejak beberapa bulan yang lalu.

"Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

"Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara," katanya.

MAFS berkata, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga sudah dipatuhi tanpa kompromi.

"Hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

"Sehubungan itu, kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil," katanya.

Menurutnya, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan.

"Sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.
Disiarkan pada: Disember 16, 2022 @ 11:01am

Wednesday, December 23, 2020

Produk makanan berasaskan babi dari Korea dirampas

Oleh Ruwaida Md Zain - Disember 23, 2020 @ 12:05pm
bhnews@bh.com.my

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor menahan dan merampas produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea. NSTP/IHSAN MAQIS

PELABUHAN KLANG: Sejumlah 354.96 kilogram produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea bernilai RM9,403.29 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor, Ahad lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin, berkata produk tanpa permit import MAQIS yang sah itu dirampas di Pelabuhan Klang Utara, di sini kira-kira jam 10 pagi.

"Kesemua barang dagangan itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai permit import yang sah ketika kemasukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Saturday, January 17, 2015

Epal Gala dan Granny Smith Amerika disekat masuk Malaysia

Sekatan dilakukan MAQIS setelah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima notis berkenaan pencemaran itu dua hari lalu, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERA, 17 Januari:

Kemasukan import buah epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kini disekat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis dan sudah meragut tiga nyawa.

Sekatan dilakukan MAQIS setelah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima notis berkenaan pencemaran itu dua hari lalu, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita menerima notis daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika yang memaklumkan tentang insiden pencemaran itu dan difahamkan ia telah menyebabkan tiga kematian dan ramai yang sakit di Amerika dan Kanada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk menarik semula epal jenis itu yang telah berada di Malaysia, kerana ia melibatkan soal pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan.

Isu berkaitan larangan pengambilan dua jenis epal terbabit telah tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah sebuah portal media turut melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California, melibatkan epal yang disaluti karamel.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang berkata pihaknya sedang menyelaras jumlah mangsa yang terperangkap dalam banjir, melibatkan 23,000 keluarga bagi tujuan pengagihan wang ihsan RM500.

“Kita juga sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah yang rosak atau terjejas teruk semasa banjir untuk tujuan pembinaan rumah sementara dan rumah baharu kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan ‘Program Servis Motosikal Pasca Banjir Parlimen Bera’, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 350 buah motosikal yang rosak akibat banjir dibaiki secara percuma, melibatkan usahasama antara Shell Malaysia, Naza Motor Trading Sdn Bhd dan GiatMara.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/17/epal-gala-dan-granny-smith-amerika-disekat-masuk-malaysia/#ixzz3P4HVdc47

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-