Showing posts with label Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Show all posts

Wednesday, May 4, 2016

Rasuah: Dua pemimpin Umno berdepan hukuman

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
3 MEI 2016
Nor Azamuddin (kiri) kelihatan menuding jari ke arah pengamal media sambil memberi amaran supaya tidak merakam wajahnya. - Foto Sinar Harian

ALOR SETAR - Dua pemimpin Umno Pulau Pinang berhadapan hukuman penjara selama 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah.

Mereka adalah Bendahari Umno Bahagian Permatang Pauh, Nor Azamuddin Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Farid Idris Khan.

Masing-masing dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan semula kes selepas diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin pada 9 Mac lalu.

Nor Azamuddin yang hadir mengenakan baju kemeja bercorak petak dan Farid memakai baju kemeja berwarna kelabu kelihatan tenang ketika berada dalam kamar mahkamah.

Bagaimanapun, pengamal media yang membuat liputan kes dimarahi dan diberi amaran oleh mereka agar tidak merakam gambar ketika di luar mahkamah.

Mereka kemudian cuba menyembunyikan diri di satu sudut selama beberapa minit untuk mengelak gambar dirakam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim, pada 2014.

Nor Azamudin Ahmad didakwa melakukan kesalahan pertama pada 4 Mei 2014 dengan menerima suapan wang tunai RM45,000 daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sebagai dorongan mendapatkan kuota beras Standard Tempatan dengan 15 peratus hancur (ST15) sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan sebuah syarikat bagi bulan Mei dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan mendapatkan bekalan beras ST15 sebanyak 100 tan metrik pada 6 Jun dan 2 Julai 2014.

Nor Azamuddin dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Sementara itu, Farid dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin yang menerima suapan RM45,000 daripada individu sama pada 4 Mei 2014 sebagai upah untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik.

Farid didakwa mengulangi kesalahan itu pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi sama.

Kes disebut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, masing-masing boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, A Hafizh Abu Bakar manakala kedua-duanya diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Hakim, Zanol Rashid Hussain menetapkan 2 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Thursday, February 12, 2015

Ismail bertemu Presiden MCA sebelum Tahun Baharu Cina

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi menjelaskan kenyataannya berhubung peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

Ismail Sabri berkata pertemuan itu dijangka diadakan sebelum Tahun Baharu Cina bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat kenyataan pada Jumaat lepas tentang perlunya peniaga tanpa mengira kaum menurunkan harga barang seiring dengan pengurangan kos berikutan penurunan harga minyak, isu itu masih dilihat belum selesai.

Ismail Sabri berkata MCA perlu berhenti mempolemikkan isu itu kerana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kalau MCA attack (serang) saya, orang Umno akan terasa, kerana saya merupakan pemimpin Umno," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Gen Y (Generasi Y) yang julung kali dianjurkan Yayasan Pertanian Belia Malaysia (YPBM) dengan kerjasama Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, termasuk Kelab Umno Luar Negara di sini Rabu malam.

Generasi Y ialah pelajar institusi pegajian tinggi dalam dan luar negara.

Kira-kira 100 orang pelajar menyertai program santai 'You Tanya, I Jawab' itu, yang membuka peluang kepada para belia untuk mendekati Ismail Sabri secara terus untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu semasa. - Bernama

Saturday, January 17, 2015

Epal Gala dan Granny Smith Amerika disekat masuk Malaysia

Sekatan dilakukan MAQIS setelah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima notis berkenaan pencemaran itu dua hari lalu, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERA, 17 Januari:

Kemasukan import buah epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kini disekat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis dan sudah meragut tiga nyawa.

Sekatan dilakukan MAQIS setelah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima notis berkenaan pencemaran itu dua hari lalu, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita menerima notis daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika yang memaklumkan tentang insiden pencemaran itu dan difahamkan ia telah menyebabkan tiga kematian dan ramai yang sakit di Amerika dan Kanada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk menarik semula epal jenis itu yang telah berada di Malaysia, kerana ia melibatkan soal pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan.

Isu berkaitan larangan pengambilan dua jenis epal terbabit telah tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah sebuah portal media turut melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California, melibatkan epal yang disaluti karamel.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang berkata pihaknya sedang menyelaras jumlah mangsa yang terperangkap dalam banjir, melibatkan 23,000 keluarga bagi tujuan pengagihan wang ihsan RM500.

“Kita juga sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah yang rosak atau terjejas teruk semasa banjir untuk tujuan pembinaan rumah sementara dan rumah baharu kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan ‘Program Servis Motosikal Pasca Banjir Parlimen Bera’, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 350 buah motosikal yang rosak akibat banjir dibaiki secara percuma, melibatkan usahasama antara Shell Malaysia, Naza Motor Trading Sdn Bhd dan GiatMara.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/17/epal-gala-dan-granny-smith-amerika-disekat-masuk-malaysia/#ixzz3P4HVdc47

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-