Showing posts with label MPPK. Show all posts
Showing posts with label MPPK. Show all posts

Saturday, April 11, 2020

Pemuda AMANAH Perak ucap terima kasih kepada MPKK Kerajaan PH Perak



Pemuda AMANAH Perak mengucapkan terima kasih kepada semua lantikan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak atas khidmat yang diberikan sepanjang tempoh 22 bulan PH memerintah negeri tersebut.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, khidmat mereka yang dilantik tersebut sangat besar nilainya untuk rakyat dan negeri tercinta itu.

“Walaupun bukan lagi sebahagian Jawatankuasa MPPK, Pemuda AMANAH Perak menyeru agar khidmat-bakti tuan-puan tidak terhenti setakat ini.

“Teruslah berkhidmat kepada rakyat walau jawatan tidak lagi berada di pundak bahu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, beliau yakin dan percaya, prestasi mereka sebagai Jawatankuasa MPKK adalah yang terbaik dan wajar dipuji.

“Hal ini kerana tuan-puan telah laksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan dedikasi. Hanya Allah SWT mampu membalas segala jasa baik yang tuan-puan berikan untuk umat ini,” tambahnya.

Dalam sepucuk surat bertarikh hari ini (11 Mac) yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Nor Sham Rahman, adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan MPKK Negeri Perak bagi Penggal Semasa adalah ditamatkan.

“Perkhidmatan semua Pengerusi, Setiausaha dan Biro/Ahli Jawatankuasa MPKK termasuk Kampung Baru dan Kampung India di Negeri Perak ditamatkan berkuatkuasa pada 30 April 2020,” surat itu dipetik.

Thursday, February 7, 2019

Kementerian pandang serius dakwaan ‘pasukan de facto DAP’ mahu ubah sejarah

Bernama
-February 6, 2019 10:09 PM

PUTRAJAYA:   Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius tulisan di media sosial mendakwa ada ‘pasukan de facto DAP’ dalam kementerian itu yang mahu mengubah subjek Sejarah di sekolah rendah dan menengah.

Kementerian dalam kenyataan hari ini berkata ia merupakan satu tuduhan liar yang dikitar semula dan berunsur fitnah meskipun pernah diperjelaskan dan disangkal Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada 23 Disember 2018.

“Kurikulum kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal melainkan jika ada cadangan atau saranan baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Pendidikan Negara (JKD),” katanya.

Katanya, MPPK dan JKD sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan dan syor penambahbaikan menyeluruh ke atas pendidikan termasuk dari aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

Untuk rekod, kementerian berkata semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula pada 2017, yang mana kementerian mengambil usaha berterusan menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.

Panel Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks lantikan sesi kedua dibentuk pada 2017 dan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah bagi Tingkatan 1, 2 dan 3 selesai disemak, diteliti dan disahkan bermula 2017, manakala bagi buku teks KSSR (Semakan 2017) Sejarah Tahun 4 dan KSSM Sejarah Tingkatan 4 masih dalam proses penerbitan.

KPM yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks serta anggota panelnya yang profesional dalam membuat keputusan sewajarnya berhubung penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Kurikulum dan buku teks termasuk Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan dan laporan akhir daripada MPPK dan JKD, menurut kenyataan itu.

Oleh itu, KPM berkata sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal dan tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan tidak berasas bertujuan memburukkan imej kementerian berkenaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-