Showing posts with label Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Show all posts
Showing posts with label Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Show all posts

Thursday, May 18, 2023

Kalimah Allah: Pemuda PAS Selangor sokong pendirian MAIS

agendaily.com
18/05/2023
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

Pemuda PAS Selangor menyatakan sokongan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam isu kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Langkah MAIS yang mengambil ketetapan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan campuran dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar, kata Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar.

“Pemuda PAS Selangor ingin menzahirkan sokongan dan kebersamaan dengan MAIS dalam isu-isu yang melibatkan kesucian agama Islam khususnya di negeri Selangor.

“Ketegasan yang telah dizahirkan oleh MAIS telah menunjukkan bahawa institusi agama Islam di setiap negeri perlu bertindak dan menyatakan keberanian dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

“Pemuda PAS Selangor menyeru agar rakyat negeri Selangor bersatu padu dalam mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sukri bagaimanapun berkata, keputusan menarik balik rayuan yang dibuat oleh kerajaan campuran itu dilihat membelakangi titah Sultan Selangor sebelum ini berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Pengumuman penarikan semula rayuan penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan tersebut sekali gus menggambarkan sikap derhaka dan tidak menghormati titah DYMM Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah di negeri Selangor,” ujarnya lagi.

MAIS terdahulu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Isnin lalu melibatkan isu kalimah Allah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan kes itu bukan soal isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai ketua agama negeri.

Wednesday, March 21, 2018

Lepas doa Ahzab, Mais gantung tauliah Dasuki


Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung sementara tauliah anggota perhubungan PAS negeri itu Ahmad Dusuki Abd Rani selepas terpalit kontroversi mendoakan kehancuran "pakatan yang jahat".

Sepucuk surat dikatakan daripada JAIS kepada Dusuki kini mula beredar di Internet selepas dimuat naik ke Facebook oleh pegawai penerangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin petang ini.

“Tauliah Ustaz Dasuki ditarik oleh Majlis Agama Islam Selangor.

"Agak-agak kalau dia mengajar juga, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) datang tangkap tak?” soal ustaz muda itu.

Surat itu antaranya berkata tauliah mengajar dan berceramah Dusuki digantung serta-merta sementara menunggu siasatan susulan aduan dan laporan media berkaitan kontroversi itu.

Sumber-sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan tindakan Mais itu tetapi enggan mengulas berkaitan keaslian surat yang dikatakan dikeluarkan oleh jawatankuasa tauliah majlis itu.

“Digantung sahaja sementara jawatankuasa tauliah Mais bersidang.

"Jawatankuasa ini yang akan tentukan keputusan sebenar,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Dusuki selepas solat hajat sempena 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam pada 18 Mac lalu dilapor berdoa menyamakan pertempuran antara PAS dan parti lain pada pilihan raya umum akan datang seperti Perang Ahzab.

Baca: Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'

Peperangan Ahzab atau Perang Khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangi Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.

Dusuki berdoa antaranya memohon agar PAS diberi kemenangan pada pilihan raya umum akan datang serta dapat memerintah di Selangor.

Dusuki yang juga seorang pendakwah turut berdoa agar 'pihak' yang meninggalkan PAS serta 'memungkiri' baiah mendapat balasan daripada Allah.

Selepas kritikan, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu tidak patut timbul atau dimanipulasikan kerana ia dibuat untuk mengharapkan kemenangan parti itu, serta mengalahkan musuhnya.

Mais, Jais dan Dusuki ketika dihubungi enggan mengulas isu itu.

Dusuki bagaimanapun memberitahu Malaysiakini beliau akan menyentuh isu itu di Facebook beliau dalam sehari dua lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-