Showing posts with label Majlis Belia Malaysia (MBM). Show all posts
Showing posts with label Majlis Belia Malaysia (MBM). Show all posts

Sunday, June 9, 2019

MBM gesa kerajaan hentikan lantikan politik

Oleh MOHD ALI HASHIM


Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menghentikan lantikan politik terhadap badan-badan kerajaan tertentu yang memerlukan kepada imej dan persepsi bebas politik dalam kalangan belia dan rakyat negara ini agar ia terus berfungsi secara efisien.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Jufitri Joha (gambar atas) dalam kenyataan beliau.

Menurutnya lagi, walaupun Lateefa Beebi Koya layak dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, MBM berpandangan pelantikan berbaur politik sebegini wajar dihentikan.

“Walaupun beliau difahamkan sudah pun meletakkan jawatan, bahkan mungkin sudah tidak menjadi ahli mana-mana parti, pelantikan beliau masih berkait dengan politik kepartian atas aktivismenya yang lama dalam politik kepartian sebelum ini.

“Sementelah itu, beliau akan terpaksa membuktikan ianya benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh politik bagi memenangi persepsi belia dan rakyat negara ini.

“Sedikit sebanyak ia akan turut menghilangkan fokus SPRM terhadap usaha bersungguh-sungguh mencegah rasuah dan juga korupsi,” jelasnya.

Kata Jufitri lagi, SPRM wajib membersihkan diri dan kelihatan bersih agar dapat menegakkan keadilan serta dilihat benar-benar berusaha bagi menegakkan keadilan.

Justeru itu ujarnya, pelantikan ini akan merencatkan usaha mereformasikan beberapa institusi dan pembasmian rasuah oleh kerajaan yang dilihat cukup progresif sebelum ini.

Tambahnya, MBM amat optimis masih ada tokoh-tokoh besar yang mampu untuk menerajui SPRM dengan imej yang lebih bersih dan bebas.

Sehubungan itu katanya, lantikan politik sebegini seharusnya tidak lagi menjadi amalan kerajaan dan dihentikan dengan kadar segera.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/mbm-gesa-kerajaan-hentikan-lantikan-politik/

Monday, July 23, 2018

Belia bebas kritik kerajaan, zaman budaya takut sudah berlalu - TPM

Rahimah Abdullah
Astro Awani | Julai 23, 2018 14:17 MYT

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah meyakinkan belia-belia masa kini untuk menyertai pertubuhan belia. - Foto Astro AWANI.

BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pemimpin belia bebas mengkritik kerajaan memandangkan zaman budaya takut sudah berlalu.

Bagaimanapun jelasnya, kritikan berkenaan sepatutnya memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan.

“Zaman budaya takut sudah berlalu, pemimpin belia seharusnya bebas mengkritik tetapi memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan selama mana menjaga adab keagamaan dan tatasusila ketimuran yang tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, kini peranan dan tanggungjawab golongan belia masih sama.

"Bezanya belia terdahulu menuntut kemerdekaan manakala belia masa kini bertanggungjawab mengisi erti kemerdekaan. Di era Malaysia baharu ini, peranan dan suara pemimpin belia khususnya MBM amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kerajaan serta menjadi kumpulan pendesak sebagai mekanisme semak-imbang terhadap segala polisi dan keputusan yang berkaitan kepentingan belia dan rakyat.

Mengulas mengenai MBM, kerajaan katanya amat memerlukan peranan badan itu dalam memainkan core business iaitu melahirkan kepimpinan yang berkaliber untuk negara.

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah meyakinkan belia-belia masa kini untuk menyertai pertubuhan belia.

“Jika dulu, semasa zaman 70-an, 80-an dan 90-an, kebanyakan belia secara sukarela melibatkan diri dalam pertubuhan. Keadaan tersebut amat berbeza dengan belia masa kini yang mempunyai minat dan kehendak yang pelbagai. Mereka sering bertanya apa faedah yang mereka perolehi jika melibatkan diri dalam sesuatu pertubuhan,” katanya lagi.

Friday, June 16, 2017

Ulama, NGO Islam selar 'big gay iftar'



Penganjuran acara buka puasa 'Big Gay Iftar' di Kuala Lumpur minggu lalu diselar pelbagai pihak, termasuk NGO Islam dan ahli agama.

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan pendakwah terkenal Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz antara yang dilapor menyatakan rasa tidak senang mereka.

Turut berbuat demikian Majlis Belia Malaysia (MBM) – badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini.

Ketua Biro Islamiyah ISMA Omar Kassim berkata penganjur majlis itu perlu disiasat dan dipanggil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.

“Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Islam mengharamkan zina, macam mana kita boleh membiarkan orang mempromosikan zina.

“Islam mengharamkan seks sejenis, apa yang mereka lakukan ialah mempromosikan maksiat dan kehancuran,” katanya dalam satu kenyataan, yang disiarkan Ismaweb.

Berkaitan: Penganjur: Kenapa kami anjur 'big gay iftar'

Acara kontroversi itu dianjurkan minggu lalu di Bangsar, Kuala Lumpur, bagi mempertemukan masyarakat pelbagai latar.

Ia juga dianjurkan sempena memperingati 49 anggota komuniti lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) yang terkorban dek tragedi keganasan di Florida, Amerika Syarikat pada 12 Jun 2016.

Selain berbuka puasa, program anjuran Pelangi Campaign – kumpulan yang mempromosikan kesetaraan untuk LGBT – itu turut melibatkan forum dan tayangan filem berkaitan golongan itu.

Menurut Pelangi Campaign, hanya melalui acara sebegitu kita dapat membuktikan kepada golongan ekstremis dan pengganas bahawa mereka tidak dapat memecahkan persaudaraan dan kemanusiaan semua orang.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pula berpendapat, pihak yang terlibat dengan majlis itu perlu bertaubat dan menghormati bulan Ramadan.

“Menganjurkan program berbuka puasa itu tak ada masalah tapi nampaknya apa yang mereka lebih tonjolkan itu adalah LGBT.

“Tindakan mereka amat dikesali kerana seperti yang semua maklum LGBT adalah bercanggah dengan Islam,” kata presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid.

Haram, kata Hassan

Hassan pula menyifatkan penganjuran majlis itu haram di sisi Islam kerana majlis berbuka puasa seperti itu “bukan sahaja sia-sia bahkan mempermainkan hukum Allah”.

Katanya, penganjuran majlis berkenaan juga bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang mengharamkan seks sejenis.

“Orang yang puasa perlu ikut semua perintah Allah dan puasa ini merangkumi semua perbuatan kita.

“Sekarang ini pula wujud golongan yang tolak hukum Allah tapi terima hukum lain dan itu tidak boleh dalam Islam,” lapor Ismaweb yang memetik Sinar Harian.

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) pula mendakwa penganjuran majlis itu sengaja dibuat bagi melanggar kesucian Islam dan norma masyarakat Malaysia.

Presidennya Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, apa yang dilakukan sebenarnya cubaan untuk mempromosikan gerakan LGBT yang menurutnya bertentangan dengan ajaran Islam dan mahu mempersendakan agama.

“Mereka dengan jelas cuba memesongkan pemikiran majoriti masyarakat negara ini khususnya umat Islam dengan menggunakan platform agama.

“Matlamat iftar tidak boleh menghalalkan cara mempromosikan aktiviti songsang itu apatah lagi ia jelas hanya mengambil agama pada bahagian yang disukai sahaja,” beliau dipetik sebagai berkata.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-