Showing posts with label Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Show all posts
Showing posts with label Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Show all posts

Saturday, August 13, 2016

Jangan ada nolstagia dengan bekas pemimpin khianat parti

OLEH RADZUAN HASSAN
Ismail Sabri Yaakob
Jangan layan sangat nolstagia bersama bekas pemimpin sehingga ia merosakkan kekuatan parti UMNO.

Itu nasihat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas sesetengah ahli parti yang masih obses dengan bekas pemimpin parti yang kini menjadi pembangkang.

"Kita (ahli-ahli UMNO) kena ingat mereka (bekas pemimpin) itu sudah jadi pembangkang..jangan ada nostalgia dengan mereka..taraf mereka kini pembangkang," ujarnya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Bekas pemimpin itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Ismail Sabri juga memberitahu, tindakan parti memecat dan membiarkan bekas pemimpin terbabit keluar dari UMNO adalah tepat kerana lebih mudah berhadapan dengan mereka di luar daripada di dalam parti.

Beliau juga yakin UMNO dan Barisan Nasional boleh merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai memandangkan faktor perpecahan dalam parti pembangkang dan wakil rakyat pembangkang, Nurul Izzah Anwar tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Mereka (berpecah) Nurul Izzah tak buat kerja takkan kita (UMNO) tidak boleh menang (pilihan raya umum akan datang) jangan ada masalah dalaman sahaja," katanya lagi.

Beliau berkata, dalam politik jangan jadi seperti pemain badminton kerana untuk menang tidak boleh menunggu lawan membuat silap sahaja tetapi dalam masa yang sama pemain itu sendiri tidak boleh melakukan kesilapan sendiri.

Menyentuh Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Ismail Sabri berkata, parti berkenaan hanya bermatlamat untuk menjatuhkan pemimpin negara dan tidak ada matlamat perjuangan jelas memperjuangkan agama dan Melayu seperti UMNO.

Beliau hanya menyebut nama parti itu sebagat parti Peribumi kerana beranggapan perkataan bersatu merupakan cogan kata dan milik UMNO.

"Saya harap kita kukuh bersatu kerana pilihan raya akan datang merupakan ibu segala pilihan raya..kalau UMNO kecundang berakhirlah hak orang Melayu dan kita mesti pertahankannya," jelasnya.

--MalaysiaGazette

Sunday, July 24, 2016

"Kenapa Najib didesak letak jawatan tetapi Guan Eng tak perlu'

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan pembangkang mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti atau meletak jawatan menyerlahkan sikap hipokrit mereka.

Menurut beliau, ini jelas menunjukkan sikap ‘pilih kasih’ apabila desakan seumpamanya tidak dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dakwaan rasuah.

“Dalam kes Guan Eng, yang jelas kes jenayah mereka pertahankan, tak perlu letak jawatan atau bercuti.

“Tapi dalam kes sivil ini, tidak ada pun dinamakan perdana menteri sebagai defendan, tiba-tiba mereka suruh perdana menteri letak jawatan. Nampak betapa mereka mempolitikkan isu ini dan mereka bercakap tidak konsisten…pilih kasih,” katanya, memetik laporan Umno Online.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, isu itu sengaja digembar-gemburkan bagi menutup kes jenayah yang dilakukan oleh Lim.

Tambah beliau, banyak pihak telah minta Lim berhenti tapi telah dipertahankan oleh semua ahli majlis tertinggi DAP dan juga pemimpin pakatan pembangkang yang lain.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Umno Online melaporkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu berkenaan tidak menjejaskan sektor pelaburan dan perdagangan negara.

“Kita tak boleh nak buat andaian. Ini bukan masa kita buat andaian (mengenai impak terhadap 1MDB terhadap pelaburan negara).

“InsyaAllah kita bersama-sama dalam prinsip tanggungjawab bersama bagi memastikan negara Malaysia akan terus ditadbir dan diuruskan dengan sebaik mungkin…maknanya pelaburan dan sebagainya berjalan dengan baik,” ujarnya lagi.

Sunday, June 28, 2015

Pembelian hartanah di Melbourne ikut prosedur - Shafie Apdal

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata hanya ada satu perjanjian berhubung pembelian bangunan Dudley International House dan tiada unsur yang menunjukkan harga dinaikkan bagi pembelian hartanah itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar Australia, The Age. - Foto TRP/Daniel Chan

SUNGAI PETANI, 28 Jun:

Mara Incorporated Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara), membeli hartanah di Melbourne, Australia mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata hanya ada satu perjanjian berhubung pembelian bangunan Dudley International House dan tiada unsur yang menunjukkan harga dinaikkan bagi pembelian hartanah itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar Australia, The Age.

“Kalau ada persoalan berbangkit tentang adanya kenaikan harga, kita ada perjanjian dengan pihak penjual dengan pembeli, berapa (harga) yang dijual, penilaian berapa…jadi, kalau ada tuduhan, kalau ada bukti, mereka boleh mengadu.

“Fakta yang mereka sebarkan tidak betul kerana kalau berdasarkan apa yang termaktub dalam perjanjian itu, apa yang perjanjian itu nyatakan adalah betul kecuali ada perjanjian yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Parlimen Sungai Petani dan majlis berbuka puasa pada Sabtu.

Menurutnya seperti mana yang dijelaskan oleh Pengerusi Mara, Tan Sri Anuar Musa baru-baru ini, bangunan itu dibeli pada harga A$22 juta tetapi kini, harganya semakin tinggi hingga mencecah A$27 juta.

“Maknanya, bangunan milik Mara itu kini jauh lebih tinggi nilainya daripada yang kita beli. Jadi, tiada kerugian dalam pembeliannya…bangunan itu milik sendiri, bukan milik sesiapa dan keuntungannya dimiliki oleh Mara,” katanya.

Mohd Shafie berkata pihak pengurusan Mara akan meminta badan antarabangsa untuk menilai tanah dan bangunan itu sebagai langkah menjelaskan perkara itu kepada rakyat.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut memberi kerjasama kepada badan penyiasatan namun menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada kaitan dengan pembelian hartanah itu, beliau menjelaskan:”Mana ada kaitan, beliau pengerusi Majlis Ekonomi yang turut dianggotai banyak menteri…semua setuju meluluskan (pembelian hartanah itu), proses ini melalui penelitian yang terperinci, kita patuhi peraturan.”

Baru-baru ini, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri itu pada 2013.

The Age melaporkan ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan Dudley International House iaitu daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, yang turut menyediakan biasiswa untuk penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat itu di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/28/pembelian-hartanah-di-melbourne-ikut-prosedur-shafie-apdal/#ixzz3eJwJQVAz

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-