Showing posts with label Muktamar PAS Ke-63. Show all posts
Showing posts with label Muktamar PAS Ke-63. Show all posts

Sunday, April 30, 2017

Ulama PAS 'diserang'

N Faizal Ghazali

Hari kedua Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar hari ini dikejutkan dengan kewujudan poster menyerang beberapa tokoh ulama parti itu.

Bertajuk ‎'Zuhud PAS???' kertas bersaiz A4 itu menyerang tiga pemimpin PAS berstatus ulama dengan memaparkan perbandingan kenderaan digunakan sebelum dan selepas mereka menjadi anggota parlimen‎.

Gambar pertama mempamerkan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan kereta yang didakwa pernah ‎dimilikinya sebelum ini dan sekarang.

Mangsa kedua poster tersebut ialah Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

‎Di samping gambar Khairuddin ialah gambar kereta mewah jenis Audi Q7 disusuli dengan keterangan 'bini bawa jalan-jalan'.
Sementara itu, poster itu juga menyerang seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mokhtar Senik, yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang.

Serangan terhadapnya berbentuk paparan skrin mengenai tuduhan 'skandal seks' yang pernah kecoh di media sosial sebelum ini.

Risalah itu diiringi keterangan gambar: "Jika anda bijak, anda tidak akan terpedaya dengan 'lebai-lebai' RUU355 ini.." 

Sementara itu, semakan Malaysiakinimendapati poster-poster itu diselit dalam helaian akhbar berbahaya Melayu yang diberikan secara percuma kepada pengunjung muktamar.

Bagaimanapun perkara itu sempat disedari Unit Amal PAS yang kemudian membuang risalah tersebut sebelum mengedarkan akhbar berkenaan kepada pengunjung.

Namun, punca sebenar kewujudan risalah berniat jahat itu belum dikenal pasti.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata perjalanan muktamar hari ini akan berlangsung seperti biasa.

Kenyataan itu dibuat bagi menjelaskan kepada perwakilan situasi semasa ekoran kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan malam tadi.

Takiyuddin juga memberitahu insiden berkenaan menyebabkan 18 orang cedera, dengan 13 daripadanya dirawat di hospital.

Dalam tenang PAS diuji

N Faizal Ghazali
Sepanjang hari pertama Muktamar PAS ke-63 semalam, tidak banyak berita benar-benar hangat keluar melalui kenyataan pimpinan tertinggi parti itu.

Justeru, selain ucapan-ucapan perbahasan bersemangat perwakilan dan cuaca hangat dan terik, perjalanan perhimpunan tahunan parti itu berlangsung dengan tenang.

Kemudian datanglah ribut.

Tidak ada sesiapa menjangka selepas kehangatan cuaca tiba-tiba angin kencang pun datang menguji semangat anggota PAS dan keutuhan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Kejadian belaku sekitar waktu Maghrib semalam.

Kejadian yang meranapkan beberapa buah khemah peniaga di pekarangan ‎kompleks itu turut menyebabkan kecederaan melibatkan 17 mangsa.

‎Terdahulu, PAS melalui presidennya dilihat begitu tertib dan mengambil pendekatan berhemah serta ilmiah dalam penyampaian ucapan dasarnya pada majlis perasmian muktamar‎ berkenaan.

Tiada sebarang bidalan, perumpamaan atau peribahasa bersifat keras seperti sebelum ini digunakan dalam tutur bicara Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perkara belum berlaku

Malah beliau sepatah pun tidak menyebut nama parti-parti politik lawan sama ada dipihak Umno atau Pakatan Harapan.

Anggota Parlimen Marang itu hanya menegaskan betapa PAS mahu terus memperkasakan blok ketiga atau dipanggil sebagai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah pada sidang media, Abdul Hadi menegaskan betapa ucapan dasarnya lebih berunsur akademik dan ilmiah.

Antara inti patinya menyentuh mengenai mewajipan menegakkan kerajaan yang adil dengan prinsip asas-asas Islam‎, keperluan memahami dan berpegang pada konsep takwa dalam bernegara, tafsiran salah tentang maqasid syariah, siyasah syariah dan fiqh awlawiyat dan Islam sebagai paksi kesejahteraan negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasib tahaluf siyasi antara PAS dan PKR yang menjadi usul Dewan Pemuda dan Muslimat, Abdul Hadi memilih untuk tidak memberi komen lanjut.

Tegasnya, Islam melarang‎ untuk bercakap mengenai suatu perkara yang belum berlaku.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa hasrat PAS untuk menang di 40 kerusi ‎pada pilihan raya umum ke-14 adalah sasaran yang sederhana jika dibandingkan dengan kekuatan parti yang mempunyai 195 kawasan.

Wednesday, April 26, 2017

Jawatankuasa terima lebih 30 usul ke Muktamar PAS

Bernama
Jawatankuasa Usul PAS Pusat sehingga kini telah menerima lebih 30 usul daripada 194 kawasan Parlimen untuk dibawa pada Muktamar PAS Ke-63 yang akan bermula esok, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sedang dalam proses merumus dan membahagikan usul tersebut mengikut kategori sebelum dibawa pada Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Jumaat ini.

"Kesemua usul berkenaan akan dibahagi kepada empat kategori iaitu usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan," katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Seramai 1,231 perwakilan akan menghadiri muktamar bermula esok sehingga 1 Mei, di Alor Setar.

Mengenai agenda pemilihan yang akan menggunakan kaedah e-voting buat julung kalinya pada 29 April ini, beliau berkata kesemua keputusan hanya akan diumumkan pada 1 Mei agar ia tidak menganggu emosi calon-calon yang bertanding ketika muktamar sedang berlangsung.

Bagi jawatan naib presiden, katanya terdapat empat calon yang akan bertanding, manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri dan menurutnya kesemua calon berkenaan adalah mereka yang 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Amalan demokrasi dijamin di dalam PAS dan kita yakin pertandingan ini tidak akan menyebabkan apa-apa perpecahan dalam PAS sebagaimana yang diperkatakan," katanya.

Takiyuddin berkata kaedah pemilihan secara e-voting diyakini selamat memandangkan perisian tersebut dihasilkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS sendiri, dan pemilihan hanya dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan.

"Pada tahun ini bagi semua jawatan yang dipertandingkan, tidak ada wakil calon kepada calon-calon, ini menunjukkan dalam kalangan pimpinan PAS tidak ada perasaan curiga mencurigai, berbanding sebelum ini Muktamar 2015 ada ejen pengiraan, ejen pengundian," katanya.

PAS, katanya turut mengundang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan namun tidak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Hubungan kami dengan PPBM boleh kami sifatkan sebagai digantung sementara, kami tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah mereka mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan," katanya.

Ditanya sama ada muktamar kali ini akan membincangkan mengenai kes disiplin anggota PAS, Takiyuddin berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan dan dianggotai oleh mereka yang tidak memegang jawatan dalam parti.

"Ada prosedur untuk seseorang anggota PAS boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, bukan melalui muktamar atau usul, sebab dalam perlembagaan PAS ada prosedur, maknanya sesuatu aduan terhadap seseorang perlu melalui banyak tahap," katanya. 

-Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-