Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts

Sunday, January 18, 2015

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah

Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama-sama mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak. - Foto TRP/Zalikha Ameera

KUALA LUMPUR, 18 Januari:

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah seperti dakwaan sesetengah pihak kerana ia dilakukan bagi memperingati perjuangan Rasulullah SAW.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak dengan tema: “Kesedarhanaan Dikekalkan, Ekstremisme Dilawan”, semalam.

Beliau menyifatkan pihak yang melabel sambutan maulud nabi sebagai bidaah adalah orang yang cetek pengetahuan Islam.

“Memang zaman Rasulullah SAW dahulu tiada sambutan Maulidur Rasul tetapi selepas tahun 70 Hijrah, ia mula disambut bagi memperingati Rasulullah SAW dan mempamerkan kehebatan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul juga disifatkan ulama sebagai tidak bercanggah dengan Islam dan bukannya bidaah,” katanya.

Menurutnya, jangan sewenang-wenangnya melabel sesuatu perkara sebagai bidaah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.

Berteraskan tema Maulidur Rasul, beliau mahu Selangor menjadi negeri kosmopolitan, maju, aman dan menolak sebarang bentuk eksterisme agama dan kaum kerana ia boleh menghancurkan negara.

Dalam pada itu, Azmin meminta kejadian serangan akhbar mingguan Satira di Paris, Charlie Hebdo dijadikan sebagai tauladan kerana Islam tidak menyuruh berjuang secara keganasan.

“Dari zaman Rasulullah SAW lagi, kita tidak diajar mengenai keganasan maka jangan bertindak ganas kerana ia hanya memburukkan nama Islam di mata dunia.

“Saya juga menggesa Barat untuk lebih menghormati sensitiviti Islam supaya tidak membangkitkan kemarahan umatnya. Berhati-hatilah dalam menulis,”ujarnya.

Sejurus perasmian, Azmin menyampaikan sumbangan dana daripada Lembaga Zakat Selangor kepada mangsa kebakaran rumah di Taman Permata.

Sumbangan disampaikan kepada enam keluarga dan sebanyak RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada tahap kemusnahan.

Keseluruhan sumbangan yang disampaikan berjumlah RM12,500.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/18/sambutan-maulidur-rasul-bukan-bidaah/#ixzz3P6IVY0K4

Saturday, January 3, 2015

Negara Islam bukan sekadar pada nama, kata Sultan Perak

Negara Islam tidak terbentuk sekadar dengan menamakannya sebagai Negara Islam tetapi ia adalah satu kaedah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang melakukan amal makruf dan menegah kemungkaran, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (gambar).

Selain daripada itu, baginda bertitah rakyat di sesebuah negara Islam hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama, saling menghormati, bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan watan.

Mereka juga meluhurkan piagam atau perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang untuk memastikan wujudnya keadilan agar negara dilimpahi dengan rahmat keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan daripada Allah, titah baginda pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Ipoh, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah Rasulullah SAW menunjukkan contoh teladan pentadbiran negara Islam yang pertama di dunia di Madinah, yang menjunjung prinsip pemerintahan berpaksikan undang-undang yang bersumberkan Al-Quran.

Baginda bertitah negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW mengutamakan keadilan kerana ia adalah faktor yang akan menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin.

"Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah SAW tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam.

Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Perlembagaan Madinah menetapkan bahawa setiap insan tanpa mengira pegangan agama, tanpa mengira amalan budaya dijamin hak asasi masing-masing.

Baginda bertitah menggubal sesuatu piagam atau perlembagaan adalah satu permulaan namun apa yang lebih penting adalah kesediaan rakyat menerima pakai piagam yang digubal.

"Piagam yang diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.

Oleh itu pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bercanggah," titah baginda.

Sultan Nazrin juga bertitah Islam membenarkan umatnya bersuara, bersifat kritikal dan mereka diseru untuk memiliki keberanian menegakkan kebenaran dan ketegasan mempertahankan keadilan.

"Umat Islam diseru memenuhi tanggungjawab moral, menggunakan daya intelek kurniaan Ilahi untuk mencetuskan cadangan dan pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah.

Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tersebut wajib dikembarkan dengan tanggungjawab," titah baginda.

Baginda bertitah Islam menegaskan pentingnya diamalkan budaya syura dalam sistem pentadbiran untuk membolehkan pandangan dan pendapat disuarakan.

Islam juga menganjurkan kesediaan mendengar dan menganalisis secara rasional hujah dan pendirian yang berbeza untuk membolehkan keputusan yang dirumuskan dicapai secara kolektif.

Baginda bertitah Islam menegaskan pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.

"Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran – bertiangkan keadilan," titah baginda. – Bernama

Contohi sifat amanah Rasulullah dalam pentadbiran - Azizah

KUALA LUMPUR 3 JAN: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pemimpin Islam di negara ini agar mencontohi sifat amanah yang ditunjukkan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad saw.

Dalam peruntusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Azizah turut menggesa pemimpin umat Islam supaya menjauhi rasuah yang boleh merosakkan negara.


“Di dalam pemerintahan, kita harus mencontohi sifat Rasulullah iaitu amanah. Kita harus telus, berhemah dan bertangggungjawab.

“Kita juga harus berusaha mengelak dan menghapuskan segala unsur-unsur rasuah yang boleh merosakkan pentadbiran kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Muhammad sebagai seorang reformis agung yang berjaya mengubah dunia dengan pengembangan dakwah Islam, meliputi dua pertiga dunia.

“Mesej yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w amat jelas, iaitu baginda membawa rahmat kepada seluruh alam, meliputi semua umat manusia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, bangsa dan agama,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru pemimpin umat Islam di seluruh dunia agar bermuhasabah dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik yang melanda dunia Islam.

Katanya, umat Islam mutakhir ini menghadapi pertembungan fikrah, apabila masih terdapat mereka yang tidak memahami contoh dan akhlak baik yang dibawa Nabi.

“Akibatnya, peperangan, pembunuhan dan kezaliman terus berlaku di Syria, Iraq, Mesir dan beberapa negara lain.

“Mereka hanya menamakan diri mereka kumpulan Islam, tetapi sayangnya mereka melakukan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w,” ujarnya.

Friday, January 2, 2015

Maulidur Rasul: Ambillah iktibar daripadanya


ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR: Kedatangan tahun baru 2015 diharapkan lebih baik berbanding sebelumnya, lebih-lebih lagi ia datang bersama hari keputeraan Rasulullah SAW yang jatuh pada Sabtu, 3 Jan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, berkata segala peristiwa dan peringatan-peringatan yang Allah berikan perlu diinsafi bersama agar dapat membaiki akhlak dan meneguhkan jati diri sebagai seorang muslim.

"Segala peristiwa dan peringatan yang telah Allah SWT datangkan kepada kita mutakhir ini dengan peristiwa kehilangan beberapa pesawat kapal terbang MAS dan Air Asia, kemarau yang menyukarkan kehidupan seharian serta peristiwa banjir besar sehingga mengakibatkan kemusnahan yang sangat besar kepada rakyat dan kerajaan di beberapa buah negeri di Malaysia," kata beliau dalam perutusan tahun baru 2015 dan Maulidir Rasul 1436 Hijrah, hari ini.

"Pada masa yang sama tahun baru 2015 datang bersama hari keputeraan Rasul tercinta iaitu Nabi Muhammad SAW. Kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Anbiyak Ayat 107: “Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam”, katanya lagi.

Justeru, tambah beliau sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW ini wajarlah untuk kita sentiasa mengenang perjuang Baginda Rasullullah SAW dan pengorbanan sahabat-sahabat Baginda, dengan itu moga-moga kita semua dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

"Lantaran itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak kita semua merenungi ayat Al-Quran berikut: “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan melarang yang mungkar dan beriman kepada Allah, dan kalau sekiranya ahlul kitab beriman, tentulah hal itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada orang-orang yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” Surah Ali-Imran ayat 110," kata beliau. – HARAKAHDAILY

Wednesday, December 31, 2014

Pulau Pinang terus perarakan Maulidur Rasul, tambah baik program


PULAU PINANG, 31 DIS: Meskipun ditohmah media UMNO-BN, kerajaan Pulau Pinang tetap mengadakan perarakan Maulidur Rasul 1436H pada hari Sabtu, 3 Januari ini.

Perarakan yang akan bermula jam 8 pagi dari Vision Park ke Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas dijadualkan disertai lebih 50 kontinjen agensi kerajaan negeri, persekutuan dan NGO.

Ia merupakan sebahagian dari program Himpunan Ummah Maulidur Rasul yang dianjurkan kerajaan negeri mulai 26 Disember hingga 6 Januari depan.

Antara program lain termasuk 10 siri ceramah di Mutiara FM pada jam 2.30 petang setiap hari selain bacaan kitab Syamail Muhammadiah di 212 masjid seluruh negeri.

Pada hari perarakan, penerbitan i-Fikrah diedarkan kepada semua peserta perarakan memuatkan tulisan tokoh terkenal, Ustaz Shauqi Othman, yang sering terlibat dalam program televisyen dan radio.

Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Kassim berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada usaha pengembangan syiar Islam selain menambahbaik pengisian program setiap tahun.

Namun, beliau menyelar pihak tertentu termasuk media yang melemparkan tuduhan kononnya kerajaan negeri menyekat program perarakan Maulidur Rasul.

“Saya kesal apabila ada media dan pihak tertentu sengaja melemparkan tohmahan dan mengaitkannya dengan politik perkauman sempit.

“Perlu ditegaskan, pergerakan kontinjen adalah sebahagian acara sambutan, bukan intipati utama majlis Himpunan Ummah Pulau Pinang seperti mana amalan beberapa negeri lain selama ini,” kata Malik.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut menambah jumlah hadiah wang tunai untuk anugerah Maulidur Rasul di Pulau Pinang.

Antaranya Tokoh Maulidur Rasul, Qudwatul Rasul Dalam Inovasi, Qudwatul Rasul Masyarakat dan juga Qudwatul Rasul Belia.

Kerajaan negeri turut menambah program baru, iaitu tazkirah Dhuha yang disampaikan Ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang, Rosli Othman dikuti solat Dhuha berjemaah diimamkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Haji Wan Salim. – Roketkini.com

Saturday, December 20, 2014

Nak kene saman lagi agaknye ni.........?

Utusan bohong, Maulidur Rasul tetap berlangsung di Pulau Pinang
20 Disember 2014

GEORGE TOWN, 20 DIS: Utusan Malaysia dikecam kerana memfitnah kerajaan Pulau Pinang menyekat sambutan Maulidur Rasul di negeri itu.

Penolong Setiausaha Pemuda DAP Bukit Bendera Muhammad Shakir Ameer Mohideen menegaskan tuduhan itu tidak benar sama sekali dan jelas penipuan untuk memburukkan nama kerajaan Pulau Pinang.

“Perarakan Maulidur Rasul tidak dihentikan seperti yang didakwa, bukan saja tetap diadakan malah dibaik pulih agar lebih mendatangkan makna,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shakir, perarakan Maulidur Rasul tetap berjalan seperti biasa tahun ini bermula dari Padang Kota Lama ke Dewan Sri Pinang.

Manakala tahun hadapan, perarakan akan dilangsungkan di Kepala Batas dari Vision Park sehingga Masjid Abdullah Fahim.

Tegas Shakir, sebagai seorang Islam dari Pulau Pinang beliau sendiri melihat banyak aktiviti pendidikan disokong penuh Kerajaan Negeri.

Jelasnya, sejak Pulau Pinang ditadbir Pakatan Rakyat, peruntukan untuk hal ehwal Islam meningkat lebih 300 peratus berbanding pemerintahan BN sebelum Mac 2008.

“Kerajaan BN hanya memberikan peruntukan RM25 juta sahaja, tapi sejak 2009 dan tahun-tahun kemudian peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat kepada RM35.78 juta pada 2009, RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013) dan RM51.17 juta tahun ini.

“Peruntukan juga disediakan kepada Sekolah Agama Rakyat yang tidak pernah dilakukan sebelumnya oleh BN iaitu sebanyak RM1.5 juta hingga RM1.75 juta setiap tahun.

“Seluruh masjid di negeri ini juga menerima peruntukan tanpa sebarang penindasan tidak kira masjid berkenaan di lokasi kawasan Parlimen mahupun DUN yang disandang PR atau BN,” ujarnya,

Pada 17 Disember lalu, Utusan menuduh Kerajaan Negeri semakin hampir untuk menyekat perarakan Maulidur Rasul yang menjadi tradisi sejak lebih 20 tahun di negeri ini dan telah menggugurkan acara itu tahun kedua berturut-turut.

Sehubungan itu, Shakir memohon Kerajaan Negeri agar mengemukakan saman terhadap fitnah jijik Utusan Malaysia. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-