Showing posts with label Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. Show all posts
Showing posts with label Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. Show all posts

Monday, July 4, 2016

Kes LGE seperti ulang tayang kes Anwar

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
4 JULAI 2016
Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
GEORGETOWN - Pakatan Harapan memberi jaminan tidak akan menganiaya rakyat sekiranya diberi mandat untuk memerintah negara ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pemerintah yang baik tidak sesekali akan menganiaya rakyat seperti mana yang dipraktikkan kerajaan pada masa kini.

Menurutnya, pakatan itu juga tidak akan menggunakan kuasa yang diberikan sewenang-wenangnya sehingga menjurus kepada penyalahgunaan kuasa ke atas rakyat.

"Saya terpanggil untuk menyertai solidariti Ketua Menteri Lim Guan Eng ini kerana ia seperti ulang tayang apa yang berlaku ke atas bapa saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inilah bukti penyalahgunaan kuasa apabila mereka menahan individu yang bertungkus-lumus membela hak rakyat. Perilaku menyalahgunakan kuasa ini tidak boleh dibiarkan kerana kita sebagai rakyat akan menjadi mangsa, tidak kira siapa anda...dan yang terbaru adalah Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri. Cakap sikit kena tahan, kena dakwa.

"PKR akan menyokong Guan Eng sehingga ke titisan terakhir kerana kita tahu, dia tidak bersalah. Tiada pendakwaan terhadapnya, tetapi disebabkan mereka tidak senang dengan kebaikan yang dibawa olehnya (Guan Eng) maka dia diheret ke mahkamah. Saya kagum dengan kehadiran rakyat yang sama-sama memberi sokongan kepada solidariti ini. Ia bukan sahaja untuk menuntut keadilan untuk Guan Eng sebaliknya sebagai perjuangan reformasi keadilan untuk rakyat," katanya ketika berucap di Sesi Penerangan Ketua Menteri Bersama Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, perjuangan agen reformasi adalah demi pembaharuan badan kehakiman dan polis bagi mewujudkan sebuah negara yang adil selain menyekat kerajaan BN daripada terus merampas hak rakyat.

"Saya jamin, jika diberi mandat untuk memerintah negara, Pakatan Harapan tidak sesekali menganiaya rakyat sepertimana yang berlaku sekarang. Oleh itu, saya mohon agar rakyat menyokong gerakan reformasi demi masa depan negara.

"BN mengamalkan dasar memecah dan mentadbir rakyat mengikut kaum berbanding dengan Pakatan Harapan yang mempunyai prinsip. Pakatan Harapan akan menawan seluruh Malaysia dan menjatuhkan BN mengikut lunas undang-undang untuk menyelamatkan Malaysia demi masa depan negara yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 penyokong berkumpul di Dewan Sri Pinang di sini untuk memberi sokongan selain mendengar penerangan dari beberapa pemimpin parti Pakatan Harapan berhubung penahanan Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu.

Wednesday, May 4, 2016

Zahid: Kita bukan kelawar dan keluang ketika musim buah...

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemberian bantuan dan dana kepada Sarawak adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan bukan secara bermusim atau ketika pilihan raya sahaja malah ia juga berdasarkan permintaan dan keperluan negeri.

“Mana-mana kerajaan akan membantu rakyatnya. Jika tiada pilihan raya, bantuan dan peruntukan juga disalurkan sebab (kami) kerajaan persekutuan bukan kerajaan berlandaskan kepada kepimpinan politik bermusim.

“Kita tidak hanya datang ketika pilihan raya. Kita bukan kelawar dan keluang yang mengutip buah ketika musim buah sebaliknya kita memberi kesinambungan peruntukan. Ini adalah tanggungjawab kami membantu rakyat,” katanya kepada Bernama ketika melawat Pusat Operasi Media Bernama di Kuching semalam.

Ahmad Zahid diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kononnya pengumuman dana di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawa kelmarin adalah satu tindakan cubaan membeli undi.

Ahmad Zahid berkata kehadiran menteri persekutuan membantu BN Sarawak adalah merupakan tanggungjawab anggota pentadbiran kerajaan apabila berada dalam parti yang sama.

“Kita turun ke bawah bukan sekadar membantu dari segi sokongan moral tetapi juga memenuhi keperluan pembangunan dan peruntukan ikut bidang masing-masing. Sebenarnya, Sarawak memerlukan banyak peruntukan untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan juga bantuan lain.

“Saya berharap apa yang telah disumbangkan bukan sahaja membantu rakyat secara langsung, ia juga menunjukkan keikhlasan yang dilakukan kerajaan pusat.

“Ini menunjukkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang jarang bermukim begitu panjang pada (mana-mana) pilihan raya negeri. Kesungguhan perdana menteri adalah untuk menterjemahkan sokongan peribadi kepada (Ketua Menteri Tan Sri) Adenan (Satem)dan juga rakyat Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang melawat banyak tempat di Sarawak sejak hari penamaan calon pada 25 April untuk Pilihan Raya Sarawak ke-11, berkata respons keseluruhan pengundi adalah amat positif dan menggalakkan berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Saya yakin ini berlaku kerana kami mempunyai Team Adenan. Beliau telah memilih calon yang baik mahupun calon langsung daripada parti bukan gabungan BN. Saya fikir memanglah akan ada sedikit masalah kerana tidak semua akan berpuas hati dengan calon pilihan beliau.

“Kami sedang bekerja keras untuk mendekati mereka ini dan dapat menyelesaikan banyak masalah yang timbul dalam tempoh berkenaan yang tinggal tiga hari lagi, saya percaya gerakan jentera kami telah masuk gear lima untuk menambah kelajuan sehingga 7 Mei, hari bagi kami untuk meneruskan sokongan terhadap Adenan," katanya.

Bila ditanya secara peribadi apa yang disukainya tentang Sarawak, Ahmad Zahid menjawab 'penduduknya'.

Mereka mempunyai budaya, agama dan bahasa berbeza tetapi mereka ketepikan semua ini dan ini amat mengagumkan, katanya.

- Bernama

Monday, May 2, 2016

Surat terbuka Nurul Izzah untuk Tok Nan

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Nurul Izzah (kanan) dihalang masuk ke Sarawak pagi tadi.
SHAH ALAM - "Terima kasih budi bicara Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang dengan kuasa seorang Ketua Menteri yang berlapang dada memberi laluan saya masuk selepas Dun dibubarkan jika saya menulis meminta kebenaran dengan baik."

Demikian tulis Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkenaan keputusan Adenan sebelum ini.

Susulan itu katanya, maka sepucuk surat dihantar kepada Adenan membenarkan beliau selaku Ahli Parlimen, Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR dibenarkan masuk berkempen secara sah seperti yang tertakluk di bawah Akta Pilihan Raya.

"Sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal, saya menjunjung tinggi perlembagaan dan menghormati autonomi yang diperolehi oleh rakyat Sarawak.

"Jika tawaran janji Tok Nan benar, maka saya harus dibenarkan masuk tetapi ternyata usaha saya untuk bersama rakyat Sarawak telah dinafikan.Saya diminta pulang ke Kuala Lumpur hari ini," ujar Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, larangan ke atas beliau itu adalah bukti bahawa peranan pembangkang bersama rakan-rakan di Sarawak amat berjaya dalam memberikan tekanan di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

"Tindakan dan tawaran Tok Nan dan Team Najib BN nampaknya selari dengan manifesto yang dibawa oleh pihak pembangkang. PKR perjuangkan tolak GST, pertahan autonomi dan pemeliharaan tanah adat.

"Hampir 200 kes tanah adat diperjuangkan oleh peguam-peguam PKR yang juga calon pada PRN 11 ini. YB Baru Bian, YB See Chee How, Saudari Jamilah Baharuddin, Saudara Abun Sui, Saudari Athina Sim dan ramai lagi," katanya lagi.

Menggulas lanjut, Nurul Izzah berkata, bayangkan sekiranya pembangkang tetap menambah kerusi dan mengurangkan majoriti calon-calon BN, walaupun dalam keadaan dilarang masuk akan menguntungkan bukan mengurangkan suara rakyat Sarawak dalam Dewan nanti.

"Jadi Tok Nan yang mengaku lain dari Taib Mahmud dan lain dari Najib, buatlah cara lain dari mereka. Ajulah kita bersaing dengan sihat dan embak Sarawak tok ke mercu kejayaan yang sebenar," katanya.

Selain Nurul Izzah, beberapa lagi pemimpin pembangkang turut dilarang memasuki Sarawak.

Saturday, December 12, 2015

Tiada perwakilan Umno berani bangkit isu Tabung Haji, tanah TRX, kata PKR

Tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal Tabung Haji yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Gambar fail Reuters, 12 Disember, 2015.

Tiada perwakilan Umno berani membangkitkan isu tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang membabitkan Tabung Haji, meskipun perhimpunan agung parti itu sudah berlangsung selama 4 hari, kata PKR.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal institusi negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Mahu tidak mahu, umum mengakui, presiden Umno sudah pun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada institusi ibadah Tabung Haji," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu merujuk kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata, Tabung Haji dalam pembelian tanah TRX daripada1MDB sebanyak RM 188.5 juta menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.

"Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan pada masa hadapan dan terjejasnya kewangan untuk menjalankan ibadah haji.

"Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat Tabung Haji," katanya.

Memetik jawapan Parlimen, beliau berkata, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM2,773 per kaki persegi (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM64 per kaki persegi pada 2011.

"Lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan Tabung Haji?"

Beliau berkata, transaksi yang melibatkan Tabung Haji merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut "pintu belakang".

"Menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej Tabung Haji dan wang pendeposit.

"Tabung Haji secara tidak langsung membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini," katanya.

Nurul Izzah berkata, isu itu juga membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang "kritikal" dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.

"Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, presiden Umno perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan Tabung Haji, terutamanya sekiranya Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?

"Apakah jaminan dan mekanisme Tabung Haji memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif daripada penjualan semula tanah tersebut?" soalnya.

Beliau berkata, persepsi umum hari ini adalah Tabung Haji menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut.

Tabung Haji sebelum ini mengatakan sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015.

Tabung Haji juga dilaporkan berkata, rundingan jual tanah TRX mengambil masa 2 minggu.

"Malangnya, Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh 8 bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.

"Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli?" kata Nurul Izzah.

"Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan Tabung Haji membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada Tabung Haji dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung."

Tambahnya, kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum Tabung Haji.

"Jangan cemari nama baik Tabung Haji dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti Tabung Haji dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan perdana menteri," katanya. – 12 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-perwakilan-umno-berani-bangkit-isu-tabung-haji-tanah-trx-kata-pkr#sthash.bJb3CzUG.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-