Showing posts with label Tabung Haji. Show all posts
Showing posts with label Tabung Haji. Show all posts

Thursday, March 7, 2024

Bekas pegawai kerajaan dakwa wang simpanan dalam Tabung Haji lesap

 hmetro.com.my

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
JABIDAH menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan wang simpanannya. FOTO Mohd Roji Kawi

Kuching: Bekas pegawai kanan kerajaan kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018.

Bagaimanapun, kehilangan wang itu hanya disedari Datuk Jabidah Monseri, 66, pada 30 November tahun lalu.

Jabidah berkata, selepas bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2017, beliau ditawarkan jawatan baharu sebagai Pengerusi Unimas Holdings iaitu anak syarikat milik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"Berikutan terlalu sibuk dengan tugas baharu, saya tidak mengemaskini akaun Tabung Haji, tambahan pula saya amat yakin dengan keselamatan wang yang disimpan di Tabung Haji.

"Pada 2019, saya dilantik pula sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dan saya bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji," katanya kepada wartawan NSTP.

Menurutnya, pada November tahun lalu, beliau terjumpa semula buku akaun Tabung Haji itu.

"Saya kemudian ke pejabat Tabung Haji di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun saya itu.

"Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74, sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000," katanya.

Menurutnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank, manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.

Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).

Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.

Berikutan itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita di sini, pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga kini, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.

"Saya mengharapkan pihak Tabung Haji memberi maklum balas dan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan saya itu," katanya.

Disiarkan pada: Mac 7, 2024 @ 9:12am

Tuesday, August 30, 2022

Terkini! Ulamak Pas kalah saman isu fitnah Tabung Haji jual aset kepada bukan Islam

malaysiamerdeka.com
August 30, 2022
Alhamdulillah, Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini memutuskan menolak kes tuntutan fitnah oleh Ustaz Dusuki Rani terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan saudara Jeming Hassan.

Saman fitnah ini dikemukakan Dusuki berhubung satu video yang dimuatnaik saudara Jeming menuntut permohonan maaf kerana Dusuki didakwa memfitnah aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam ketika PH memerintah sebelum ini.

Hakim Tuan Zaman Mohd Noor mendapati bahawa video saudara Jeming tersebut bukan satu fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam. Ia satu fitnah terhadap PH.

Sementara itu, Tuan Hakim juga mendapati pembelaan ‘common law’ yang dibangkitkan termasuk justification, fair comment dan qualified privilege sebagai ahli politik telah dibuktikan saudara Jeming.

Dengan kemenangan ini, Dusuki diperintahkan membayar kos sebanyak RM10 ribu kepada saudara Jeming.

Dusuki diwakili peguam Nuraliya dan saudara Jeming diwakili Faiz Fadzil.

Wednesday, January 19, 2022

Agong perkenan tubuh RCI siasat isu tabung haji - Wan Junaidi

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jan 19, 2022 9:03 PM

Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Samsudin Osman, Pengasas Kumpulan RHB Abdul Rashid Hussain, bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) Profesor Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

Wan Junaidi berkata ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah.

- Bernama

Sunday, October 17, 2021

Kontrak Md Nor 3 tahun lagi, kenapa tergesa-gesa tinggalkan Tabung Haji?

agendaily.com
17/10/2021

Tabung Haji pada Khamis mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Md Nor Yusof sebagai Pengerusinya berkuat kuasa pada hari sama.

Berbaki tiga tahun lagi untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Tabung Haji (TH), tiba-tiba kelmarin TH mengumumkan Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya serta-merta, sedangkan tempoh kontraknya belum tamat.

Adakah Md Nor ‘dipaksa’ meletak jawatan untuk memberi laluan kepada ahli politik? Adakah kontrak perkhidmatannya ditamatkan? Atau untuk mengelak ‘pemecatan’ beliau dinasihat meletak jawatan?

Semuanya mencetuskan persoalan kerana tidak semena-mena, tanpa ‘angin bertiup’ tokoh korporat itu membuatkan tumpuan massa kini beralih ke institusi kewangan terbesar umat Islam.

Namun, semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan isu politik.

Benarkan demikian halnya? Tiada tekanan politik, tiada ‘tangan-tangan ghaib’ yang telah membuka mata seluas-luasnya melihat kerusi Pengerusi TH itu setelah kerajaan Malaysia kini diterajui orang UMNO?

Ahmad Marzuk tidak boleh menjadikan alasan jika hendak ditukar Pengerusi TH itu sudah pun dilakukan apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, kerana Md Nor dilantik ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu tidak boleh menyamakan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu dan PN, dengan pentadbiran Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekarang.

Untuk rekod, Md Nor dilantik sebagai Pengerusi TH sebaik PH menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut bertanggungjawab ke atas TH.

Setelah PH tumbang tahun lalu, PN menjadi kerajaan dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, yang turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO.

Muhyiddin mengekalkan Md Nor di kerusi Pengerusi TH, walaupun – Agenda Daily difahamkan – ‘tangan ghaib’ dari UMNO berterusan mendesak beliau menggantikan Md Nor dengan orang lain, khususnya pemimpin UMNO.

Malah, usaha melobi supaya Muhyiddin melantik individu tertentu menjadi Pengerusi TH turut melibat ‘mak bapak’ mereka, namun Muhyiddin dengan lembut menolaknya, dan terus mengekalkan Md Nor, yang sememangnya tidak terlibat dengan politik.

Md Nor, 74, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan daripada Universiti Otago, New Zealand, dilantik sebagai Pengerusi TH pada 10 Julai 2018, menggantikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Untuk rekod juga, Azeez menjadi Pengerusi TH berkuat kuasa 1 Julai 2013, menggantikan Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor yang berkhidmat sejak Ogos 2007. Abi Musa sebelum itu adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pelantikan Azeez ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri mencetuskan kontroversi, khususnya berhubung tahap pendidikan dan kelulusan beliau, yang diizinkan untuk menjaga berbilion-bilion wang umat Islam Malaysia.

Namun, atas kapasitinya sebagai pemimpin kanan politik, apa lagi rapat dengan Najib, Azeez kekal sebagai Pengerusi TH sehinggalah UMNO/BN kalah pada PRU14 lalu.

Tidak sampai dua bulan, menyusul peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Ismail Sabri pada 21 Ogos lalu, kini syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar umat Islam pula, kembali menjadi perhatian.

Peletakan jawatan Md Nor yang dibuat tanpa ada ‘angin yang bertiup’ dilihat sebagai tergesa-gesa, menyusul keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diumumkan Ismail Sabri ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertujuan membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

TH dalam pengumuman peletakan jawatan itu semalam memaklumkan sepanjang menjadi Pengerusi TH, Md Nor memacu usaha penyusunan semula, memperkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan agensi itu sebagai organisasi Islam bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.

“Jumlah deposit pada 30 Jun lalu ialah RM81.14 bilion, tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu. Ini mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan lebih tinggi pendeposit,” kata TH.

Namun, kita percaya bukan sahaja Md Nor yang bertanggungjawab terhadap kejayaan TH sepanjang tempoh beliau memegang jawatan itu, sebaliknya semua pengurusan TH juga terlibat.

Cuma yang menjadi persoalannya ialah jika sudah melihat kejayaan yang diusahakan beliau – apa lagi beliau berkelulusan dalam bidang berkaitan perdagangan – kenapa harus ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang cemburu dan berhajat sangat kepada kerusi Pengerusi TH itu.

Atau apakah benar Md Nor tidak selesa dengan sikap kerajaan hari ini yang tidak memberi pengiktirafan kepada usaha pemulihan TH, sebaliknya mengikut telunjuk UMNO menubuhkan RCI bagi mencari kesalahan pihak tertentu.

Apa-apa jua yang hendak dicari oleh RCI itu, Perdana Menteri perlu membuktikan beliau tidak mengikut telunjuk pihak tertentu, terutama UMNO, dalam memilih Pengerusi Lembaga Pengarah TH.

Tidak sewajarnya pemimpin politik sama ada daripada UMNO, PAS, atau Bersatu – walaupun memiliki ijazah dalam bidang ekonomi, kewangan atau perbankan, atau yang ada PhD bidang apa pun – menjadi pengerusi TH.

Jawatan itu mestilah diisi oleh tokoh korporat yang berkelulusan dan difikirkan layak, kerana Lembaga Pengarah TH merupakan kuasa tertinggi dalam agensi itu yang berhak membuat sebarang keputusan, termasuk diberi kuasa mentadbir berbilion-bilion wang umat Islam.

Wednesday, July 14, 2021

TPM umum kerajaan setuju tubuh RCI Tabung Haji

gemilangdaily.com
14/07/2021 7:20 PM


TPM umum kerajaan setuju tubuh RCI Tabung Haji. Kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) dari tahun 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding-perunding seperti
PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Ujarnya, terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

“(Selain itu) Menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

“Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.
“Mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Bagaimanapun, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada Kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-setuju-tubuh-rci-siasat-lembaga-tabung-haji-tpm-308417

Friday, March 12, 2021

Azeez gagal batalkan tuduhan rasuah

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan 12 Mar 2021, 9:53 am

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan bekas pengerusi Tabung Haji itu untuk membatalkan tuduhan berkenaan dengan alasan ia cacat, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat atau mala fide.

Abdul Azeez sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Abang tertuduh, Abdul Latif Abdul Rahim, akan memberi keterangan ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semasa prosiding hari ini, hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa tertuduh gagal membuktikan bahawa tuduhan itu tidak berasas, cacat atau dilakukan dengan niat jahat oleh pihak pendakwaan.

"Bagi saya, kes ini tidak wajar untuk mahkamah ini menggunakan kuasa yang ada untuk membebaskan tuduhan terhadap pemohon (Azeez) dan membebaskan pemohon.

"Pemohon gagal menunjukkan tuduhan itu tidak tepat dan salah guna proses mahkamah. Permohonan ditolak, ” kata hakim.

Peguam tertuduh Amer Hamzah Arshad kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Pendakwaan diketuai oleh DPP Aslinda Ahad.

Menurut dokumen dalam talian di http://ecourtsevices.kehakiman.gov.my, kes Azeez akan dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Azeez dituduh melakukan kesalahan rasuah di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Thursday, August 6, 2020

RCI Tabung Haji: Dulu kita desak sebab tiada maklumat, kata PAS

N Faizal Ghazali
Diterbitkan Hari ini 12:47 pm
Keputusan kerajaan untuk tidak menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat urus niaga Tabung Haji mungkin dibuat selepas ada perkembangan baru mengenainya, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah.

Katanya, desakan yang dibuat oleh parti itu sebelum ini sebagai pembangkang kerana ketiadaan maklumat mengenainya.

"Mungkin ada perkembangan baru, sebab dulu kita sebagai pembangkang kita desak RCI sebab banyak maklumat yang kita tidak tahu. Jadi ada munasabahnya untuk kita desak.

"Sekarang kita dalam kerajaan, maklumat yang dulu tidak ada kepada kita, kini sudah ada.

"Jadi keperluan kepada RCI (Tabung Haji) sudah kecil, dulu kita di luar kita minta benda dalam rumah, sekarang kita dalam rumah boleh cari sendiri," katanya kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zulkifli Mohamad di Dewan Rakyat, semalam, yang menjelaskan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ada keperluan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, PAS tetap akan mengekalkan baiah (sumpah setia) kepada calon-calon yang menyertai pilihan raya.

Namun katanya, seperti kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini - kandungan baiah itu akan menggugur taklid cerai talak tiga.

"Baiah tetap ada, kita PAS ini sejak dulu dah ada baiah. Cuma masa zaman tok guru Nik Aziz (Nik Mat) dia masukkan taklid talak, tetapi presiden buat kenyataan baru ini kita buang taklid talak.

"Baru ini (PRU14) pun tak ada (taklid talak. Kita sebagai parti Islam, baiah itu penting, cuma kandungan. Presiden sebut yang itu akan ditiadakan," katanya selepas merasmikan program Jelajah Urusetia Belia dan Sukan, Muafakat Kelantanku Bersih peringkat DUN Panchor, hari ini.

Tuesday, July 21, 2020

Kata saya penyamun tapi kenapa tidak dituduh? Azeez cabar Dr M


PARLIMEN l Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim hari ini membidas Dr Mahathir Mohamad (Bebas - Langkawi) kerana mendakwa beliau mencuri dana Tabung Haji tetapi tidak pernah didakwa ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

"Untuk maklumat YB Langkawi, saya tidak ada satu kes pun dituduh atas Tabung Haji.

"Satu kes pun tidak ada. Go check the facts sir (Pergi periksa fakta kamu tuan).

"YB Langkawi waktu duduk di sana tunjuk kat muka saya, itu lah dia, penyamun, penyangak Tabung Haji ada di sini. Tapi, hakikatnya saya tidak pernah ada sebarang tuduhan," katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Azeez mengecam Mahathir setelah bekas perdana menteri itu cuba mencelah dan meminta laluan.

Beliau kemudian mencabar orang kuat Mahathir, Maszlee Malik (Bebas-Simpang Rengam) untuk mencari di internet dan membuktikan bahawa beliau ada dituduh berhubung sebarang kesalahan berkaitan Tabung Haji.

Untuk rekod, Abdul Azeez sedang berdepan 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pihak pendakwaan belum mengenakan sebarang pertuduhan berkaitan dengan Tabung Haji terhadap Abdul Azeez ketika kerajaan Pakatan Harapan di bawah pemerintahan Mahathir yang tumbang pada Februari, sekaligus menamatkan tempoh pemerintahan 22 bulannya.

Abdul Azeez, dalam perbahasannya, sebelum itu dengan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan semasa memegang jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji dari tahun 2013 hingga 2018.

Kajian bebas oleh PriceWaterhouseCoopers pada tahun 2018 mendapati bahawa liabiliti Tabung Haji melebihi nilai asetnya, yang bermaksud bahawa ia tidak boleh membayar dividen selaras ian dengan Akta Tabung Haji 1995.

Namun, pihak pengurusan Tabung Haji ketika era BN didakwa menyembunyikan kerugian yang ditanggung itu dan sengaja menunjukkan lebihan untuk membayar dividen.

Bank Negara pada tahun 2016 juga memberi amaran mengenai defisit yang semakin meningkat.

Abdul Azeez mengakui bahawa Bank Negara ada memberi peringatan kepada Tabung Haji tetapi menyatakan bahawa mereka bukannya berada di bawah Bank Negara dan tidak beroperasi seperti sebuah bank.

Dia mempertahankan bahawa lembaga Tabung Haji mempunyai kuasa untuk memutuskan dividen yang mahu dibayar badan itu.

Di bawah kerajaan PH, Tabung Haji memindahkan aset anak syarikat yang mengalami kerugiannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan untuk memastikan ia mempunyai wang berlebihan untuk membayar dividen.

Abdul Azeez mendakwa pemindahan aset sebagai "menjual" Tabung Haji.

Maszlee kemudian mencelah, dan berkata bahawa dia menyahut cabaran Abdul Azeez tetapi ketika pemimpin Umno itu memberi laluan kepadanya, Maszlee memberitahu bahawa dia membenarkan Mahathir bercakap bagi pihaknya.

Maszlee: Tadi Baling minta saya mencelah.

Abdul Azeez: Ya, pasal kes itu.

Maszlee: Saya bagi hak saya kepada Langkawi untuk mewakili.

Abdul Azeez: Ey..tak boleh lah macam itu. Ini bukan tukar batton. I give it to you.

Maszlee: You must be a gentleman.

Abdul Azeez: Tak boleh. Yang di-Pertua, saya ada bukti maklumat Harapan membohong.

Maszlee: Kalau Baling anak jantan, sila berdepan dengan Tun (Dr Mahathir).

Abdul Azeez: No... tidak saya tak bagi.

Dalam ucapan perbahasan, Abdul Azeez turut menuntut supaya sebuah Suruhajaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Tabung Haji.

Menurut kelaziman perbahasan parlimen, parti boleh menetapkan ahli parlimen pilihan mereka untuk berbahas dan mereka tidak boleh diganggu kecuali jika diberi kebenaran oleh speaker.

Namun, ketika Maria Chin Abdullah (PKR- Petaling Jaya) membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong mewakili pihak pembangkang, dia memberi laluan kepada Dr Mahathir supaya bekas perdana menteri untuk boleh memberi jawapan kepada Abdul Azeez.

Mahathir kemudian berkata jika Abdul Azeez yakin PH telah melakukan kesalahan dalam kes Tabung Haji, dia harus membuat laporan polis.

"Setakat kita tahu memberi penjelasan dalam dewan ini tidak mempunyai kesan.

"Nak dengar pun susah juga kerana dia cakap terlalu kuat, sehingga telinga saya bengang,” katanya.

Tuesday, March 3, 2020

‘Zaman gelap’ Tabung Haji semasa dibawah PH


KUALA LUMPUR: Tabung Haji semasa dibawah pemerintahan PH bukan sahaja gagal memberi hibah dan dividen pada kadar sebagaimana sebelumnya, malah telah menukar pemilikan aset yang menjadi hak umat Islam.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki bahkan menempelak cara urus tadbir PH ke atas Tabung Haji yang didepani dengan pelbagai alasan dan tuduhan terutama terhadap pemerintahan sebelum itu.

Antaranya kata beliau, PH menuduh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah mencuri wang Tabung Haji serta terbabit dengan pelbagai skandal lain tanpa mengemukakan bukti.

Malah ujarnya, PH gagal lagi apabila didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), sebaliknya mengeluarkan laporan bahawa kesalahan dibawah pemerintahan Dato’ Sri Najib adalah kerana memberi hibah dan subsidi.

“Bagi hibah kepada pencarum, bagi hadiah yang tinggi itu kesalahan ke? Kalau tanya orang ekonomi, salah tak? Tanya orang yang suka kepada kebajikan, salah tak? Deposit pencarum-pencarum Tabung Haji dijamin oleh kerajaan. Kalau kerajaan nak bagi lebih, itu hadiahlah, apa nak dipertikaikan?

“Kesalahan yang kedua (dilaporkan PH terhadap BN) ialah terus memberi subsidi haji walaupun kos haji meningkat setiap tahun. Subsidi meningkat. Yang terakhir, RM400 juta Tabung Haji bagi subsidi kepada para hujjaj. Pergi dengan Mu’assasah, dapat subsidi. Sepatutnya bayar RM17,000 zaman itu, kita bayar RM9,000 sahaja.

“Salah ke tak salah subsidi ini? Tak salah. Kerajaan nak bagi, kerajaan ini bukan syarikat. Siapa yang memiliki Tabung Haji? Kita. Bukannya pemegang saham, syarikat-syarikat besar, bukan. Kitalah (para pencarum) pemilik Tabung Haji,” kemukanya membidas laporan pernah dikeluarkan PH.

Selar beliau, Kerajaan PH bukan sahaja gagal menunaikan janji manifesto dengan alasan memikul hutang lama, bahkan juga gagal menubuhkan RCI berkaitan skandal dituduh mereka, sedangkan ia tidak memerlukan wang.

Dr Zuhdi turut menyatakan bahawa PAS akan suarakan supaya kerajaan baharu dibawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memberi hibah tinggi serta mengekalkan subsidi kepada pencarum Tabung Haji untuk menunaikan ibadah itu. 

HARAKAHDAILY
   3/3/2020

Monday, February 17, 2020

Asyraf Wajdi percaya empat hotel TH ditutup bukan kerana rugi


BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan kenapa empat hotel milik Kumpulan TH Hotel and Residence Sdn. Bhd. (THHR) ditutup.

Asyraf Wajdi percaya keputusan untuk menghentikan operasi dan membuang pekerja di empat hotel tersebut bukanlah kerana hotel terlibat dalam kerugian.

Sebaliknya, Asyraf Wajdi mendakwa penutupan tersebut disebabkan pemilikan bangunan-bangunan berkenaan telah dipindahkan daripada Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan.

“Pemindahan milik bangunan hotel-hotel kepada syarikat lain sepatutnya bukanlah alasan kenapa hotel-hotel itu terpaksa ditutup.

“Melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri. Harap Menteri Haji atau Menteri Kewangan dapat menjelaskan!” gesa Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, berita penutupan empat hotel milik anak syarikat Tabung Haji bermula April ini sangat menyediahkan.

“Sepengetahuan saya, keempat-empat hotel ini adalah popular kepada pengunjung sejak dibuka tujuh tahun dahulu.

“Rating keempat-empat hotel dari ribuan pelanggan dalam laman web Agoda serta Trivago juga adalah tinggi dengan kebanyakan rating pada tahap “Very Good” atau “Excellent,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut surat pekeliling yang tular di media sosial empat hotel berkenaan melibatkan TH Hotel Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel and Convention Center Alor Setar dan TH Hotel and Convention Center Terengganu.

Pekerja yang telah dikenalpasti sebagai berlebihan akan diberhentikan melalui skim penamatan pekerjaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Utusan Kumpulan THHR, Zulkefli Ahmad berkata, penamatan operasi dan perkhimatan itu merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan.

Ini memandangkan operasi pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut akan diambilalih oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik daripada Lembaga Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji.

-SM

Wednesday, January 29, 2020

TH gagal ditadbir oleh PH – Razlan



Apa yang menakutkan orang Islam hari ini sudah menjadi kenyataan, Negara berstatus Agama Rasminya Islam tidak lagi diberi keutamaan Islam disebabkan Pentadbiran yang mengamalkan samarata.

Sedikit demi sedikit kepentingan Orang Islam akan dilemahkan oleh Pentadbiran Kerajaan PH hanya disebabkan mereka menerima pakai Kaedah Samarata.

Sekira dahulu, setiap sektor yang menguntungkan, kerajaan akan melibatkan Tabung Haji, ianya adalah untuk memberikan pulangan keuntungan kepada Orang Islam. Kerana Negara ini Negara Islam.

Hari ini, dibawah pentadbiran PH, aset-aset yang membawa keuntungan kepada TH dijual dan akhirnya tiada lagi keuntungan yang boleh dikongsikan oleh Orang Islam untuk menunaikan Haji setiap tahun.
Duit penjualan aset ini hanya digunakan untuk menangung kos operasi TH dan akhirnya ianya akan habis begitu sahaja.

Itu sebab tahun ini, walaupun kuota yang dibanggakan oleh kerajaan PH sebanyak 32 Ribu, ianya gagal di tampung perbelanjaan kesemua jemaah.

TH memaksa mereka yang membuat rayuan untuk membayar sebanyak RM22,900, iaini harga penuh untuk menunaikan Haji, konsep kongsi keuntungan TH sudah perlahan-lahan ditolak dan akhirnya TH sendiri boleh gulung tikar.

Setiap kuota yang tidak diisi perlu diberikan kepada mereka yang menunggu, dan yang menunggu berhak untuk mendapat harga yang ditanggung oleh TH, ininya bukan bentuk subsidi, ianya bentuk perkongsian keuntungan atas perniagaan TH yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan, kerana Negara ini Negara Islam.

PH gagal mentadbir dengan bentul, mereka sengaja tidak mahu memahami tujuan asal penubuhan Tabung Haji, Menteri PH takut kepada pimpinan DAP, pemimpin Islam lain pula berjiwa Liberal dan tidak berani memegang bahawasanya Islam adalah agama Rasmi Negara ini, itu sebab tindakan mereka semua samarata.

Razlan Rafii
28hb Jan 2020.

Friday, February 1, 2019

PH hadapi krisis keyakinan dari rakyat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
 01 FEBRUARY 2019


PAKATAN Harapan (PH) sebenarnya sedang menghadapi krisis yang amat besar, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap PH sebagai Kerajaan walaupun baharu 9 bulan memerintah. Boleh kita lihat secara terang sekarang rakyat sudah mula menolak PH terutamanya selepas kekalahan dalam PRK Cameron Highland.

Rakyat mula mempersoalkan kewibawaan PH sebagai Kerajaan. Ada beberapa contoh jelas yang menggusarkan rakyat seperti pelantikan Ahli Lembaga Pengarah YADIM, isu ICERD, kes yang membabitkan kematian Almarhum Muhammad Adib dan lain-lain lagi yang membabitkan isu agama dan pengurusan sosial.

Isu Tabung Haji, janji manifesto untuk menangani masalah ekonomi, rakyat dan negara tidak ditunaikan, tiada pelan penambahbaikan ekonomi negara serta amalan Federalisma yang tidak adil seperti berdolak-dalik berkaitan agihan royalti terhadap Kelantan dan Terengganu adalah di antara isu ekonomi dan Federalism yang menghakis keyakinan rakyat.

Kepercayaan rakyat juga mula terhakis terhadap integriti PH sebagai Kerajaan dan institusi badan Kehakiman Negara. Kes rasuah terhadap Lim Guan Eng tiba-tiba digugurkan, isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara serta isu menari Menteri Kehakiman, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang jelas mengecewakan rakyat.

Krisis tersebut berlaku akibat dominasi DAP dalam PH. Rakyat melihat DAP seperti tangan ghaib di belakang tabir yang mencatur pentadbiran negara walau bukan Lim Kit Siang yang menjadi Perdana Menteri. Mampukah Kerajaan PH bertahan akibat krisis keyakinan rakyat ini atau nasib PH seperti telur di hujung tanduk?

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

 - HARAKAHDAILY 1/2/2019

Wednesday, January 16, 2019

Tabung Haji lapor polis: Hibah langgar undang-undang

Diterbitkan Hari ini 6:10 petang


Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis mengenai penyata kewangannya pada tahun 2017 dan bagaimana representasi yang dibuat beberapa eksekutif membawa kepada pengisytiharan bayaran hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.

"Dalam laporan polis itu, Tabung Haji mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji dalam dua mesyuaratnya pada 6 Februari dan 9 Februari 2018.

"Kertas kerja eksekutif itu disediakan ketua pegawai kewangan Rozaida Omar dan disokong oleh pengarah urusan kumpulan dan ketua eksekutif Johan Abdullah.

"Kertas kerja eksekutif iti mengandungi kenyataan dan representasi yang membawa kepada angka yang salah telah digambarkan di dalam penyata kewangan berkenaan yang diterima oleh lembaga pengarah," kata kenyataan Tabung Haji.

Menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh PwC, TH didapati membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit.

Bagaimanapun, atas kertas, TH memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut suatu laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Azeez tanda tangan penyata TH 2017

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa pada Disember tahun lalu mendedahkan Tabung Haji terus membayar hibah walaupun defisit sejak 2016.

Menurut Akta Tabung Haji 1995, dana berkenaan tidak boleh membayar dividen jika liabilitinya melebihi aset.

"Berdasarkan penyata kewangan tersebut, lembaga pengarah Tabung Haji membuat cadangan kepada menteri yang bertanggungjawab, yang kemudiannya meluluskan pengisytiharan hibah yang dapat diagihkan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 4.5 peratus dan Hibah Haji sebanyak 1.75 peratus yang bertentangan dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

"Penyata kewangan Tabung Haji yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh pengerusi Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak lembaga Tabung Haji dan Rozaida sebagai pegawai utama yang bertanggungjawab ke atas kewangan pengurusan dan rekod perakaunan Tabung Haji," kata kenyataan lembaga pengarah dana jemaah haji itu lagi.

Tuesday, December 11, 2018

Azeez persoal Mujahid isu Tabung Haji

Yasmin Ramlan
Diterbitkan 11 Dis 2018


Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa semalam berkaitan kedudukan kewangan badan berkanun itu.

Katanya, Mujahid tidak menyentuh langsung berkenaan laporan Tabung Haji oleh syarikat Ernst&Young (E&Y).

Menurut anggota Parlimen Baling itu, laporan E&Y tersebut dari tahun 2015 hingga 2017 menunjukkan lebihan aset.

"Apa yang dinyatakan dalam sidang akhbarnya tidak tepat.

"Menteri tidak mengambil kira laporan E&Y dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

“Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Katanya, Mujahid sebaliknya hanya menyebut tentang laporan audit pada 31 Disember 2017 dengan RM4.1 bilion defisit yang dijalankan oleh juruaudit bebas dari syarikat Price Waterhouse Coopers (PwC), iaitu dilantik selepas pengurusan baharu.

Monday, December 10, 2018

[UPDATE] Siasat segera dakwaan Mujahid

MyMetro
Asmah Rusman
cnews@nstp.com.my


KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berhubung tindakan salah Lembaga Tabung Haji (TH) membayar dividen secara haram berjumlah RM12.652 bilion.

Bekas Timbalan Menteri di JPM itu berkata, jika benar pengurusan TH terdahulu melakukan tindakan salah kerana membayar dividen secara haram selama empat tahun sejak 2014, maka pengurusan TH hari ini perlu menyaman mereka berbanding membuat kenyataan awam yang boleh mencetuskan panik.

“Sepanjang memegang portfolio Timbalan Menteri di JPM, saya tidak pernah pula mendengar laporan daripada Jabatan Audit Negara mahupun audit luar berkenaan dengan isu pemberian dividen sepanjang empat tahun terdahulu.

“Apatah lagi kuasa Menteri di JPM hanya boleh mengumumkan pemberian dividen selepas disahkan Jabatan Audit Negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Asyraf turut menzahirkan kebimbangan terhadap reaksi pasaran dan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa lantaran kurang yakin terhadap kemampuan TH untuk memberikan dividen seperti sebelum ini.

“Jika ini berlaku, TH akan berhadapan dengan krisis besar atau istilah kewangannya ‘bank-run’ yang mampu melumpuhkan sebuah institusi Islam yang besar sumbangannya kepada umat.

“Sedangkan TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian bahkan setiap wang pendeposit dijamin oleh kerajaan sebagaimana peruntukan Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Asyraf berkata, perbezaan pandangan mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset TH di antara pengurusan baru dengan pengurusan lama tidak wajar disensasikan secara umum.

“Perkara ini tidak wajar disensasikan sehingga tercetus pelbagai persepsi awam mengenai kedudukan kewangan TH yang tidak tepat dan boleh memudaratkan.

“Jangan pula isu ini menjadi alasan menutup kelemahan kerajaan PH yang selama ini masih gagal menstabilkan pasaran saham dan modal negara sehingga TH tidak mampu lagi memberikan dividen yang setara atau lebih baik kepada pendeposit berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Tabung Haji langgar dua syarat bayar hibah - Mujahid

Yasmin Ramlan
Diterbitkan 10 Dis 2018, 11:34 pagi


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata Tabung Haji melanggar dua syarat pemembayaran hibah (dividen) sejak 2014.

Mujahid menjelaskan, terdapat dua syarat tersebut merupakan sebelum pembayaran hibah dibuat, aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.

"TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.

"Hibah hanya boleh dikeluarkan kepada pendeposit bila aset lebih daripada liabiliti tapi yang terjadi adalah sebaliknya. Tapi mereka masih keluarkan hibah," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata, melalui penemuan yang didapati selepas akaun TH diaudit, aset keseluruhan TH merupakan RM70.3 bilion sedangkan liabilities tanggungan adlaah RM74.4 bilion.

[Berita penuh menyusul]

Sunday, January 7, 2018

HARAPAN ikrar selesai masalah kos sara hidup

HARAPAN mengeluarkan dokumen resolusi konvensyennya hari ini yang diberi nama Muafakat Pakatan Harapan, berupa janji-janji parti-parti dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-14 ini.

Ketua setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah membacakan janji-janji itu dalam di IDCC, Shah Alam.

"Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya saing.

"Sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi," kata Saifuddin membacakan pembukaan dokumen Muafakat HARAPAN itu.

Dokumen itu menggariskan 13 janji untuk dilaksanakan jika mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-14 nanti.
Antaranya, HARAPAN berjanji untuk mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat," kata Saifuddin.

Muafakat HARAPAN berikrar membentuk kabinet berwibawa selain memperkukuh parlimen. HARAPAN juga berjanji melaksanakan reformasi menyeluruh di Malaysia.

"Meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial," kata Saifuddin.

HARAPAN akan mengehadkan tempoh masa memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal pilihanraya sahaja.

"(Ia) untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negara," kata Saifuddin.
Selain mengulang komitmen membanteras rasuah di Malaysia, Muafakat HARAPAN juga berjanji membela kebajikan rakyat.

"Membersihkan Malaysia dari najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah.

"Membela kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah.

"Mengkaji semua sistem percukaian negara untuk memastikan pembayara cukai, terutamanya golongan kelas menengah , tidak tertekan dengan bebanan cukai yang berganda," ucap Saifuddin membacakan dokumen itu.
HARAPAN juga berjanji memastikan institusi awam seperti Felda, Tabung Haji, Kumpula Wang Simpanan Pekerja dan Majli Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan amanah.

Janji HARAPAN tidak melupakan masyarakat luar bandar, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak.

"Merapakan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia," kata Muafakat HARAPAN lagi.

Konvensyen HARAPAN hari ini juga turut menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM, manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Read more at
https://www.malaysiakini.com/news/407877#qUuPS9KEgBAZ4v0z.99

Sunday, November 6, 2016

Khairy gesa kerajaan jawab dakwaan pembangkang segera

Bernama  :

Beliau berkata sebarang dakwaan tidak seharusnya dibiarkan tidak dijawab dalam tempoh yang lama agar tidak timbul persepsi negatif.
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus bertindak pantas dalam menjawab sebarang dakwaan dan tuduhan pihak pembangkang bagi memastikan tidak wujud persepsi negatif, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sebarang dakwaan jangan dibiarkan tidak dijawab dalam tempoh yang lama, dan perlu dijawab pihak berwajib selewat-lewatnya 2 hari selepas sesuatu isu ditimbulkan.

“Sebagai contoh dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Lembaga Tabung Haji kerugian RM3.09 bilion dijawab dengan lengkap dan dalam masa yang pantas oleh Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

Malah saya difahamkan isu ini juga akan dijawab di Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Kursus Pemukiman Penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Ditanya mengenai sebuah portal berita tempatan yang didakwa menerima dana daripada kumpulan asing, Khairy berkata Bank Negara dan polis harus menyegerakan siasatan untuk membuktikan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Khairy mengumumkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Perak yang baharu.

“Saya menerima surat peletakan Hairul Anwar Mohamed Noor, penyandang jawatan itu, beberapa bulan lepas dan perlu mengambil masa untuk menggantikannya. Kesemua anggota Pemuda Umno bersetuju dengan pelantikan Khairul Sharil,” katanya.

Tuesday, September 13, 2016

5 jemaah haji Malaysia tidak dapat laksana wukuf

Lima jemaah haji Malaysia tidak dapat melaksanakan ibadat wukuf berikutan masalah kesihatan yang serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua mereka berusia antara 39 tahun dan 87 tahun, membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

"Mereka mengalami masalah pernafasan dan pendarahan otak. Mereka kini menerima rawatan rapi di hospital Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Syisyah, di Makkah, hari ini.

Jamil Khir berkata, TH memberi jaminan semua pesakit itu akan diberikan keutamaan untuk mengerjakan ibadat haji sekali lagi pada masa hadapan.

Selain itu, Jamil Khir berkata, jumlah kematian jemaah haji negara yang direkodkan sehingga hari ini adalah 10 orang.

Daripada jumlah itu tujuh kematian itu berlaku di Makkah, dua ketika di Madinah, manakala seorang ketika di tanah air.

Katanya, kematian terbaharu dilapaorkan semalam membabitkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika mabit di Muzdalifah.

Penerbangan pulang haji bermula Sabtu ini

Pada sidang media itu, beliau juga memberitahu wartawan bahawa penerbangan pertama yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadualkan, Sabtu ini.

Jamil Khir, berkata mereka terdiri daripada 450 jemaah haji melalui penerbangan KT02.

"Semua jemaah haji pertama itu akan berlepas dengan penerbangan Saudi Arabia SV5644.

"Mereka akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke Kuala Lumpur pada jam 10 malam waktu tempatan (3 pagi, Ahad waktu Malaysia)," katanya.

Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan haji pada musim haji kali ini.

- Bernama

Saturday, December 12, 2015

Tiada perwakilan Umno berani bangkit isu Tabung Haji, tanah TRX, kata PKR

Tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal Tabung Haji yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Gambar fail Reuters, 12 Disember, 2015.

Tiada perwakilan Umno berani membangkitkan isu tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang membabitkan Tabung Haji, meskipun perhimpunan agung parti itu sudah berlangsung selama 4 hari, kata PKR.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal institusi negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Mahu tidak mahu, umum mengakui, presiden Umno sudah pun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada institusi ibadah Tabung Haji," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu merujuk kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata, Tabung Haji dalam pembelian tanah TRX daripada1MDB sebanyak RM 188.5 juta menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.

"Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan pada masa hadapan dan terjejasnya kewangan untuk menjalankan ibadah haji.

"Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat Tabung Haji," katanya.

Memetik jawapan Parlimen, beliau berkata, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM2,773 per kaki persegi (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM64 per kaki persegi pada 2011.

"Lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan Tabung Haji?"

Beliau berkata, transaksi yang melibatkan Tabung Haji merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut "pintu belakang".

"Menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej Tabung Haji dan wang pendeposit.

"Tabung Haji secara tidak langsung membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini," katanya.

Nurul Izzah berkata, isu itu juga membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang "kritikal" dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.

"Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, presiden Umno perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan Tabung Haji, terutamanya sekiranya Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?

"Apakah jaminan dan mekanisme Tabung Haji memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif daripada penjualan semula tanah tersebut?" soalnya.

Beliau berkata, persepsi umum hari ini adalah Tabung Haji menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut.

Tabung Haji sebelum ini mengatakan sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015.

Tabung Haji juga dilaporkan berkata, rundingan jual tanah TRX mengambil masa 2 minggu.

"Malangnya, Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh 8 bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.

"Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli?" kata Nurul Izzah.

"Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan Tabung Haji membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada Tabung Haji dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung."

Tambahnya, kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum Tabung Haji.

"Jangan cemari nama baik Tabung Haji dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti Tabung Haji dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan perdana menteri," katanya. – 12 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-perwakilan-umno-berani-bangkit-isu-tabung-haji-tanah-trx-kata-pkr#sthash.bJb3CzUG.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-