Showing posts with label Narisan Nasional (BN). Show all posts
Showing posts with label Narisan Nasional (BN). Show all posts

Friday, December 9, 2022

‘Jangan kecewakan akar umbi yang setia kepada parti’

ismaweb.net
Siti Hafidah
Hishammuddin enggan tunding jari salahkan sesiapa

BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan terus melangkah ke hadapan berjuang dan enggan menuding jari menyalahkan sesiapa mahupun parti.

Menerusi hantaran di Facebook, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau adalah seorang pejuang dan akan tetap istiqamah dalam perjuangannya bersama UMNO.

“Sejak keputusan PRU15, saya kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet. Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Saya tahu kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.

“Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa. Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan beliau sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk melihat mood serta sentimen rakyat terhadap sokongan yang diberikan.

Katanya, penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.

“Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” katanya.

Dalaman UMNO terus tegang, terbaharu tiga pemimpin bahagian dipecat serta-merta antaranya kerana lantang mengkritik Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/12/09/dipecat-umno-hanya-mampu-lihat-rumah-pusaka-terbakar/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, October 23, 2022

Zahid cadang 3 jawatan TPM dimasukkan dalam manifesto BN

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Oct 23, 2022 5:51 PM
PRU15 | Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan agar tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM), masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung, diwujudkan jika BN menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS, pada PRU15 ini.

“Ini adalah pendekatan baharu dicadangkan oleh BN agar BN Sabah, GPS di Sarawak serta BN di Semenanjung, memasukkan ia dalam manifesto,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort, Sipitang di Kimanis, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO; Naib Pengerusi BN Datuk Arthur Kurup yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Ahmad Zahid berkata adalah tidak mustahil untuk mempunyai tiga TPM masing-masing satu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, selain yakin perdana menteri akan menerima cadangan berkenaan.

“Ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan. Itu sebabnya tidak ada jawatan TPM (ketika ini) yang ada hanyalah empat jawatan menteri kanan.

“Jadi, tidak mustahil kalau (ada) tiga jawatan TPM jika BN menang dengan dominan, maka jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menduduk jawatan kedua penting negara,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid pelantikan tiga TPM berkenaan juga adalah selaras dengan semangat Sabah dan Sarawak, sebagai sebuah wilayah.

Mengulas lanjut mengenai cadangan lantikan TPM dari Sabah dan Sarawak itu, Ahmad Zahid berkata BN tidak pernah berbohong, dalam melaksanakan manifesto.

“BN tidak pernah bohong dari segi manifesto. Jadi, oleh kerana ini merupakan manifesto BN (jika dimasukkan), maka wajib kita akan laksanakan apa yang ditulis dalam manifesto, TPM dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid juga mencadangkan BN Sabah memohon kepada kerajaan Persekutuan agar setiap peruntukan untuk Sabah, disalurkan terus kepada kerajaan negeri bagi membolehkan ia dilaksanakan sendiri oleh kementerian, jabatan dan agensi peringkat negeri.

- Bernama

Saturday, July 2, 2022

Hayat UMNO, BN masih panjang: Zahid

agendaily.com
02/07/2022
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kota Kinabalu, semalam (1 Jun 2022).
- Gambar FB

Kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) terutama dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Sabah sebelum ini adalah bukti komitmen dan keprihatian kepimpinan parti itu dalam menambat semula hati rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebangkitan semula gabungan politik itu sekali gus meranapkan segala telahan pihak luar kononnya Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 adalah penghujung hayat BN.

“Jika telahan penghujung hayat BN telah sampai pada 2018 lalu, mereka silap menganalisis dan melakukan telahan. Sekarang ini, terdapat empat permohonan parti lain mahu menyertai BN sebagai parti teras.

“Ertinya jika UMNO dan BN serta parti komponen lain berada di hujung hayat politik, tidak mungkin parti-parti terbabit memohon untuk masuk BN.

“Atas kekuatan semula, atas kebangkitan BN di Sabah dalam PRN (Pilihan Raya Negeri), atas kebangkitan pada PRN di Melaka dan Johor, insya-Allah saya yakin BN akan bangkit semula dalam PRU15,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah di Bangunan UMNO, Karamunsing, malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan ahli BN untuk mewujudkan kesepaduan minda serta bersama-sama fokus memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat amat rindukan BN, rakyat amat sayang kepada BN, rakyat mahu melihat BN menjadi pemerintah semula di Putrajaya. Jika mereka mengharapkan kita, tolong jangan hampakan harapan mereka. Kepada mereka kita berikan keyakinan, kepada kita mereka berikan harapan.

“Kita yakin di bawah kepimpinan PM sebagai ketua kerajaan di peringkat Persekutuan, kepimpinan BN akan mendukung hasrat (Perdana Menteri) untuk menyelesai perkara-perkara yang menjadi isu rakyat.

“BN akan terus mendukung semua dasar kerajaan… kita mahu meraih semula mandat daripada rakyat, mudah-mudahan BN dapat berada di tampuk kemuncak, bukan hanya di Putrajaya tetapi juga di negeri lain termasuk Sabah,” katanya. 

– Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-