Showing posts with label PEMBELA. Show all posts
Showing posts with label PEMBELA. Show all posts

Tuesday, August 3, 2021

Sudahlah ahli politik kerajaan langgar SOP, kini pembangkang juga sama

ismaweb.net
ainulillia
3/8/2021

Ada yang mula guna hujah berhimpun sebahagian daripada hak asasi


BANGI, 24 Zulhijjah 1442H, Selasa – Perarakan yang dilakukan oleh ahli politik pembangkang semalam, hanya akan mencetuskan dampak yang negatif kepada persepsi masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sebelum ini rakyat sudah melihat ahli politik di pihak kerajaan bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini rakyat disajikan pula dengan kelakuan yang sama daripada pihak pembangkang.

“Sudahlah ahli-ahli politik kerajaan tanpa segan silu melanggar SOP sesuka hati secara berkali-kali, kali ini ahli-ahli politik pembangkang pula melanggar SOP beramai-ramai dengan melakukan himpunan. Kata orang, cukuplah satu pakej.

“Kita sudah lihat, bagaimana ahli-ahli politik melanggar SOP dengan membuat majlis-majlis tertutup secara curi-curi yang akhirnya ramai rakyat marhaen turut mengikutinya sehingga mencetuskan kluster-kluster baharu.

“Lihatlah apa yang terjadi di Terengganu baru-baru ini. Saya yakin mereka akan berhujah, ‘menteri boleh, kenapa kami tak boleh?’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melihat kepada tindakan ahli-ahli politik melakukan himpunan sebagaimana yang berlaku di Dataran Merdeka semalam, Aminuddin berkata, beliau yakin selepas ini akan lebih banyak siri-siri himpunan jalanan tercetus oleh rakyat marhaen tatkala keadaan wabak COVID-19 sedang menular ini.

Malah, katanya, ada juga yang sudah mula menggunakan hujah hak untuk berhimpun sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia yang perlu dilindungi.

“Sehingga ada yang menghantar petugas untuk memantau agar hak itu diberikan secara bebas.

“Ingatlah, pemimpin adalah cerminan masyarakat; baik pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang, mahupun pemimpin NGO,” katanya.

Semalam, Ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Semua ahli parlimen pembangkang daripada DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Upko berkumpul untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

Kumpulan itu bersurai secara aman pada jam 11 pagi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar membuat ucapan ringkas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, July 9, 2021

‘Win-win solution’? Mengarut! Jangan berunding dengan penceroboh haram

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
8/7/2021


Sudah jarah tanah, berlagak mangsa pula konon dilayan seperti pengganas

BANGI, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini menggesa kerajaan negeri Pahang menutup semua ruang rundingan dengan penceroboh haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub.

Gesaan itu susulan laporan yang mendakwa kumpulan pekebun haram mahu berunding dengan kerajaan negeri, kononnya supaya ada keputusan ‘menang-menang’ antara kedua-dua belah pihak.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang Yee Chin dilaporkan meminta kerajaan negeri memberhentikan segala operasi pembersihan dan mengadakan dialog dengan pekebun secepat mungkin bagi mencapai penyelesaian menang-menang.

Dia kononnya mendakwa, kerajaan Pahang bukan sahaja mengabaikan seruan pekebun-pekebun, malah mengancam dan menganiaya pekebun dengan tindakan penguatkuasaan.

“Samka terkejut kenyataan Ketua Jabatan Perhutanan Negeri bahawa mereka akan memusnahkan kebun durian seluas 101 hektar serta membuat rondaan dan tangkapan ke atas mana-mana individu atau pekebun yang memasuki kawasan tersebut.

“Samka menyeru supaya pihak berkuat-kuasa tidak menganggap pekebun-pekebun sebagai pengganas padahal mereka hanya pekebun-pekebun yang rajin bekerja,” dakwanya.

Menyelar tindakan kumpulan penceroboh itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan permintaan rundingan berkenaan seolah-olah menunjukkan tanah itu milik mereka.

“Lihatlah betapa angkuhnya mereka. Sudah menjarah ratusan juta ringgit hasil dari pencerobohan pun mahu kaut untung lagi? Memang tamak haloba sungguh.

“Malah, mereka ‘play victim’ pula dengan kononnya pihak berkuasa melayan mereka seperti pengganas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Membidas kembali tuduhan itu, Aminuddin berkata, umum mengetahui bahawa pihak berkuasa tidak langsung bertindak seperti pengganas, kerana tiada mana-mana penceroboh didera atau ditembak.

Sebaliknya, kata beliau, penceroboh dan pengikutnya yang telah bertindak mengasari pihak berkuasa dan memusnahkan jambatan-jambatan untuk menyekat pergerakan serta operasi.

“Itupun pihak berkuasa masih berlembut lagi dengan mereka. Sepatutnya mereka bersyukur. Saya harap pihak kerajaan negeri menutup segala pintu rundingan kerana apa yang layak buat mereka, hanyalah hukuman.

“Jika pencerobohan boleh dirunding-runding, maka lagi banyaklah pencerobohan yang berlaku di kemudian hari,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 penceroboh haram kebun durian Musang King ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Mereka ditahan selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, July 5, 2021

Pertahan penceroboh haram, ADUN DAP tak malu

ainulillia
ismaweb.net

Mengapa mereka marah sangat bila penguat kuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?

BANGI, 24 Zulkaedah 1442H, Isnin – ADUN Tras DAP, Chow Yu Hui makin melampau menuduh pihak berkuasa tidak mematuhi perintah mahkamah apabila menghalang penceroboh haram memasuki kebun durian di Raub, Pahang.

Walhal, secara dasarnya, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, tanah yang diceroboh itu adalah milik kerajaan dan para penceroboh telah mengaut hasil jutaan selama berpuluh tahun.

“Dakwaan ini sungguh ironi dan tidak malu. Mengapakah mereka marah sangat apabila pihak penguatkuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?,” soalnya.

Terdahulu, dalam satu video tular, Chow Yu Hui mendakwa, apa yang dilakukan penguat kuasa terhadap pekebun adalah salah kerana mereka mempunyai perintah mahkamah.

Chow mendakwa, beliau akan meminta nasihat pasukan undang-undang untuk langkah selanjutnya.

“Operasi dilakukan pada musim buah durian di mana pihak berkuasa terus mengeksploitasi pekebun. Penguatkuasaan itu didorong oleh kepentingan konsortium yang disokong negeri (Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd),” katanya.

Selain itu, penceroboh mendakwa, mereka memiliki hak untuk memasuki tanah itu kerana mereka telah mendapat penangguhan terhadap pengusiran mereka dari Mahkamah Rayuan.

Ini sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengusiran mereka.

Save Musang King Alliance (Samka) mendakwa, walaupun mahkamah memberi penangguhan itu, pekebun durian tidak dibenarkan masuk ke tanah berkenaan.

Walau apa alasan sekalipun, Haji Aminuddin menyokong usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

“Saya menyokong usaha pihak berkuasa ini dan mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil kesempatan ini untuk menyiasat dan mengkaji apakah tanah yang diceroboh itu menjadi semakin besar; apakah ada tanah baharu berdekatan yang diceroboh?

“Ini menjadi tanda tanya masyarakat dalam kes pencerobohan tanah oleh pekebun haram tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dilaporkan menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi tersebut.

Jabatan itu berkata, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Malah, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua 18 pekebun itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu dilaporkan mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, September 7, 2020

Kebun haram: MCA tunggang nama permuafakatan!

Siti Hafidah
ismaweb.net

Sikap menang sorak, kampung tergadai politik Melayu merugikan


BANGI, 19 Muharram 1442H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) secara sinis menyindir ahli politik Melayu dengan mendakwa mereka lebih gemar menang bersorak namun kampung tergadai.

Menerusi hantaran di Facebook, PEMBELA mendakwa, ahli politik Melayu seolah-olah cuba menutup hakikat bahawa MCA juga berusaha sebagaimana DAP membela penceroboh tanah kerajaan di Raub, Pahang.

“Berapa ramai yang tahu MCA sedang bergerak di belakang tabir berjumpa dengan exco negeri untuk berunding macam-macam?

“Dan exco negeri tersebut adalah dari parti Melayu yang ‘menang bersorak’ itu tadi,” katanya sinis.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata demikian merujuk kepada perjumpaan Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker bersama-sama Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram yang difahamkan cuba mencari jalan penyelesaian berhubung isu penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang.

Terdahulu, Lian Ker berkata, sementara ada pihak cuba mengeksploitasi dan memomokkan peneroka-peneroka dengan memutar belitkan isu di luar perspektif semata-mata atas naratif perkauman, pihaknya bersama-sama exco tempatan cuba mencari penyelesaian dengan memberi pertimbangan kepada sosioekonomi.

“… dan perundangan melalui perspektif yang sihat, secara hemah dan positif. Syabas kepada permuafakatan!,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PEMBELA merayu kepada parti politik Melayu supaya jujur dalam perjuangan mereka.

“Tolonglah jujur dalam perjuangan. Lihatlah apa yang berlaku dalam isu UEC, isu sekolah vernakular, kempen BMF dan sebagainya. Depan cakap lain, belakang buat lain.

“Akhir sekali, apabila pilihan raya, beri kerusi majoriti Melayu untuk diwakili bukan Melayu. Hipokrit,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Wednesday, May 20, 2020

Parlimen ‘sampah’: PEMBELA buat laporan polis

fazleensafina

Jangan jadi pembangkang melampauI batas, derhaka kepada tuanku


BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ke atas bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan dalam satu video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen, semalam.

Naib Pengerusinya, Masridzi Sat berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak menghormati Parlimen, malah satu penghinaan kepada institusi diraja yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat itu dilihat seolah-olah menghina dan mencaci dengan perkataan ‘sampah’ dan ‘Parlimen tidak berguna’ tidak wajar keluar dari mulut beliau.

“Apa yang diperkatakan oleh Dr Xavier itu juga seolah-olah menidakkan apa yang diperkatakan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengenai kerajaan yang dibentuk itu adalah sah.

“Sepatutnya semua pihak seharusnya menerima dengan hati yang terbuka kerana ini adalah kerajaan daripada pembentukan yang mengikut Perlembagaan,” katanya menerusi satu hantaran video berdurasi 10 minit 35 saat di Facebook PEMBELA.

Dalam pada itu, Masridzi berkata, tindakan yang dilakukan Xavier itu turut dianggap sebagai menghina kerajaan dan titah Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengheret polemik politik yang tiada kesudahan.

Katanya, masalah politik seharusnya diselesaikan secara politik bukannya dengan menghina kerajaan dan juga Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan sebagai melampai batas dan undang-undang kerana mengundang kebencian dalam kalangan rakyat.

“Jadi sekiranya kamu nak menjadi pembangkang jadilah pembangkang yang sihat, jangan jadi pembangkang yang melampaui batas dan menderhaka kepada titah Tuanku.

“Tuanku sudah jelaskan supaya jangan panjangkan polemik politik yang tiada kesudahan ini dan terima keputusan Tuanku. Kerajaan yang ada, adalah kerajaan yang sah. Tunggu PRU15 dan lakukan mengikut cara yang sah,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit.

Katanya, Ahli Parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang Parlimen diadakan semalam dengan hanya Titah Diraja saja sebagai urusan mesyuarat manakala sesi perbahasan akan diadakan pada satu tarikh ditentukan kemudian.

Sunday, March 22, 2020

Perlekeh PM berucap dalam BM, PEMBELA bidas netizen Cina

'Inilah kesan negatif bila UEC diiktiraf, sekolah vernakular dikekalkan’
21/03/2020



BANGI, 26 Rejab 1441H, Sabtu – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari membidas segelintir netizen kaum Cina negara ini, yang mempertikaikan ucapan siaran langsung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bahasa Melayu.

Menyifatkan ‘mereka’ sebagai tidak beradab, Cikgu Izzat menggesa kerajaan Malaysia untuk mewajibkan segala arahan, berita dan makluman dalam bahasa Melayu yang juga bahasa Kebangsaan.

“…kecuali penerima info duduk di China. Orang India pun lagi fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang pengguna laman sosial, Qilhong Gan yang tidak berpuas hati dengan tindakan netizen Cina lain yang memperlekehkan bahasa digunakan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan secara langsung.

Dalam tulisannya, Gan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan baharu di atas respon yang pantas menangani wabak COVID-19.

“Walaubagaimanpun, saya berasa malu apabila melihat komen secara langsung oleh segelintir kaum Cina yang kebanyakannya berbunyi : “Tak faham BM, Can you speak English?, Mengapa tiada sari kata bahasa Cina?

“Hello, ini berita siaran langsung okay. Dan mengapa siaran berita rasmi perlu sertakan sarikata bahasa Cina dan sebagainya?

“Hello rakyat Malaysia berbangsa Cina, berhentilah jadi pembenci yang bodoh. Kamu mahu masa hadapan hebat untuk anak-anak kamu, tetapi kamu buatkan diri kamu nampak bodoh tidak kira sama ada dari luaran mahupun dalaman.

Selain itu, Gan turut menggesa kaum Cina negara ini untuk mempelajari dan menghormati bahasa kebangsaan.

“Tolonglah, ini sudah tahun 2020, dan saya percaya kebanyakan dari kamu dapat belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sekurang-kurangnya 9 tahun. Kamu mahu masa hadapan cerah?

“Aku anak Malaysia, walaupun BM aku tidak fasih, tetapi masih boleh faham BM,” perlinya.

Mengulas mengenai perkara itu, Cikgu Izzat berkata, tindakan segelintir netizen jelas membuktikan kesan negatif kewujudan sekolah vernakular dan juga Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di negara ini.

“Inilah yang digelar sebagai tiada jati diri,” katanya.

Justeru, Cikgu Izzat turut menggesa kerajaan supaya memansuhkan sekolah vernakular sambil mencadangkan supaya subjek elektif bahasa Mandarin dan bahasa Tamil diwujudkan dalam sekolah kebangsaan.

“Kepada Dong Zong juga, sila bubarkan pertubuhan anda kerana anda sudah tidak relevan.

“Pengerusi Dong Zong pun tak mampu berbahasa kebangsaan. Tak percaya? Tolong Google, jangan jadi pemalas,” tegasnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-