Showing posts with label PRK DUN Balakong. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Balakong. Show all posts

Saturday, September 8, 2018

Tidak rasmi: DAP pertahan Balakong, MCA tertinggal jauh


PRK BALAKONG | Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengekalkan kemenangan di Balakong. Undi yang diterima calonnya Wong Siew Ki telah melepasi jumlah yang diperlukan untuk menang.

Ketika kemas kini ini ditulis, HARAPAN telah mendapat 18,812 undi berbanding 2,983 undi untuk MCA.

Menurut SPR, peratus keluar mengundi di sana adalah 43 peratus. Jumlah layak mengundi pula 62,219.

Ini bermakna DAP telah mendapat lebih separuh daripada anggaran 26,765 undi pada PRK ini.

Dengan hanya 11,000 undi yang belum dikira, mustahil untuk MCA mengejar walaupun semua undi itu memihak kepadanya.

Wednesday, August 22, 2018

Chee Teong bantu lapah lembu korban

MyMetro
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

WAN Chee Teong mengangkat lembu korban sempena sambutan Aidiladha bersama penduduk di perkarangan Masjid Nurul Ihsan, Taman Sri Cheras, Batu 10. FOTO Rosela Ismail

KESIBUKAN berkempen tidak menghalang calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong, untuk meraikan sambutan Aidiladha bersama penduduk Taman Sri Cheras, Batu 10.

Chee Teong sebelum itu mengadakan jelajah 'walkabout' di sekitar Taman Megah mengambil kesempatan singgah di Masjid Nurul Ihsan, yang kebetulan sedang mengadakan program ibadah korban.

Menurut Chee Teong, sambutan perayaan di Malaysia diraikan oleh pelbagai kaum dan sebagai calon yang akan bertanding pada PRK, 8 September depan, kesempatan itu digunakan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri dengan masyarakat terutama pengundi Melayu.

"Kehadiran saya pada pagi ini, bukan untuk berkempen semata-mata sebaliknya mahu bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha dengan penduduk setempat

"Ini kerana sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita bukan sahaja menghormati satu sama lain malah turut meraikan pelbagai perayaan bersama.

"Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua, " katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, dalam kunjungan berkenaan, Chee Teong meluangkan masa hampir 40 minit beramah mesra dengan orang ramai selain turut sama membantu melapah lembu korban.

Pengerusi Masjid Nurul Ihsan, Ezzaldin Yahya, berkata, pihaknya terkejut dengan kunjungan Chee Teong dan tidak menyangka dia sanggup mengenepikan jadual padat untuk singgah meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama penduduk.

Kata Ezzaldin, meskipun dalam cuaca yang panas namun Chee Teong tidak kelihatan kekok menolong memegang lembu ketika hendak dikorbankan selain turut membantu melapah daging lembu untuk diagihkan.

"Wakil rakyat terdahulu (mendiang Ng Tien Chee) memang cukup dikenali ramai kerana sering menyertai program bersama penduduk.

"Justeru, kunjungan Chee Teong pada pagi ini bukan sahaja dapat beramah mesra malah membantu memperkenalkan lagi dirinya kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 7:46 PM

Thursday, August 16, 2018

PAS mahu anggota undi calon MCA di Balakong

Anne Muhammad | Diterbitkan 16 Ogs 2018, 6:00 pagi 


PAS mahu anggota parti mereka mengundi calon MCA di pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia adalah atas "semangat pembangkang".

"InshaAllah kerana kita sama-sama semangat pembangkang," katanya menjawab soalan pemberita sama ada PAS akan mengarahkan anggotanya mengundi calon MCA di Balakong.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman calon PAS bagi kerusi DUN Seri Setia di Petaling Jaya, semalam.

MCA sebelum ini mengumumkan meletakkan Ketua Pemuda MCA Cawangan Batu 11 Cheras Tan Chee Teong sebagai calon parti mereka untuk pilihan raya kecil (PRK) Balakong.

PRK Balakong dan Seri Setia akan diadakan serentak pada 8 September depan.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga merupakan anggota parlimen Marang yakin penyokong Umno akan mengundi calon PAS di kerusi DUN Seri Setia.

"Bukan sahaja pengundi Umno tetapi pengundi bukan Umno, yang ada rakan-rakan kita, Umno yang ada pengaruh itu boleh menambah nilai," katanya.

'Buka pintu pada semua'

Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa pihaknya membuka pintu kepada semua yang ingin membantu kempen PAS di Seri Setia, termasuklah kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kita tak tutup pintu pada semua, terpulang pada pandangan masing masing untuk datang (membantu kempen)," katanya.

Umno sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kerusi DUN Seri Setia.

Pada PRK di Sungai Kandi 4 Ogos lalu, PAS tidak meletakkan calon untuk "memudahkan mengalahkan calon HARAPAN".

Pada sidang media semalam, PAS menamakan bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Selat Kelang Dr Halimah Ali, sebagai calon PRK Seri Setia.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; Mohd Ghazali Daud (PAS) dan S Vigneswaran (Bebas).

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-